Khamis, 10 Mei 2012

PUTERI UMNO BAHAGIAN CHERAS

PUTERI UMNO BAHAGIAN CHERAS


PERUTUSAN PRESIDEN UMNO SEMPENA ULANG TAHUN UMNO KE 66

Posted: 09 May 2012 10:55 PM PDT



 

Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya kita diberi peluang untuk meneruskan perjuangan bagi memartabatkan agama, bangsa dan tanah air. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, rahmat sekalian alam.

Hari ini genap 66 tahun usia UMNO. Alhamdullilah 55 tahun daripada kewujudan tersebut telah menyaksikan UMNO menjadi tulang belakang kepada Kerajaan Barisan Nasional yang semenjak merdeka terus diberi kepercayaan melalui pilihan raya yang adil dan bebas oleh majoriti rakyat untuk memimpin negara.

Sepanjang tempoh tersebut juga menyaksikan bagaimana UMNO dan rakan-rakannya di dalam Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional menyelamatkan demokrasi dari rahang kediktatoran komunisme, menjadi bidan kepada pembentukan Malaysia, membawa pembangunan kepada kawasan luar bandar, melancarkan perang terhadap kemiskinan dan buta huruf, merencana kejuruteraan sosial yang menyaksikan pembentukan kelas menengah yang besar, melaksanakan prakarsa pembaharuan tanah melalui FELDA, melakukan pelaburan besar di dalam bidang pendidikan dan prasarana asas negara dan merubah status negara dari negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian berpendapatan sederhana tinggi.

Terbukti perjuangan UMNO telah memanfaatkan semua rakyat Malaysia, ia telah melimpahkan nikmat kepada semua tanpa mengira kaum, anutan agama mahupun fahaman ideologi.
UMNO sesungguhnya ialah pertubuhan massa yang bersifat kebangsaan dan demokratik. Keunikan UMNO ialah ia parti yang sentiasa terhubung dengan denyut nadi serta menggarap aspirasi rakyat. Tuduhan liar pihak tertentu bahawa UMNO ialah parti rasis, anti demokrasi mahupun parti elitis tidak benar sama-sekali.

Namun kejayaan yang telah dicapai tidak boleh menjadikan kita alpa terhadap keperluan untuk terus memugar semangat yang mendasari penubuhan UMNO itu sendiri iaitu untuk memartabatkan agama, bangsa dan bumi tercinta. Masa berlalu persekitaran berubah cabaran parti era pasca merdeka sudah tentu berbeza dengan cabaran parti pra merdeka dan ketika awal merdeka tetapi di atas segalanya ia demi agama, bangsa dan negara.

Kita tidak mahu semangat asas yang menjadi teras kekuatan UMNO ini tinggal di dalam lipatan sejarah semata-mata dikenang dan dinostalgiakan. Hari ini UMNO mempunyai tugas yang amat berat untuk memastikan bukan sahaja sokongan dan dukungan padu massa terhadap Dasar Transformasi Nasional berserta semua komponennya ke arah merealisasikan Wawasan 2020 tetapi juga untuk menentukan semua rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan kaum Bumiputera mendapat peluang yang adil dan saksama daripada usaha menjayakannya.

Ayuh kukuhkan saf perjuangan, satukan hati-hati kita dalam perpaduan, yakinlah bahawa perjuangan kita ialah perjuangan yang benar dan mulia. Inilah masanya untuk kita mengukuhkan barisan yang ada demi memastikan masa depan bangsa dan negara. Perjuangan ini tidak boleh berhenti. Ahli-ahli UMNO mesti memastikan kejayaan parti terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13. Marilah kita bersama-sama memperbaharui azam serta tekad untuk terus berjuang ke arah Malaysia yang sejahtera, maju dan makmur.

DATO' SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK

 

PERGERAKAN PUTERI UMNO BAHAGIAN CHERAS MENYERU AHLI - AHLI PUTERI UMNO BERAMAI - RAMAI MENGHADIRI MAJLIS SAMBUTAN ULANG TAHUN KE 66 DI BUKIT JALIL SEBAGAI TANDA KASIH SAYANG PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU BERSATU (UMNO) YANG TELAH BERUSAHA MEMARTABATKAN AGAMA, BANGSA DAN NEGARA SELAMA 66 TAHUN.

Tiada ulasan:

Pengikut