Isnin, 14 Mei 2012

PEMUDA UMNO BAHAGIAN JASIN

PEMUDA UMNO BAHAGIAN JASIN


ERA BARU DEMOKRASI DI MALAYSIA BERMULA.

Posted: 13 May 2012 09:49 PM PDT

Utusan Malaysia Online - Rencana

Posted: 13 May 2012 09:46 PM PDT

Negara berasaskan sistem beraja.

Posted: 13 May 2012 09:42 PM PDT


Negara berasaskan sistem beraja



Demokrasi awal mula diamalkan di kota Athens pada zaman silam di Yunani atau Greece purba dengan warganegaranya secara langsung membuat keputusan pemerintahan.
Di kota dan zaman itu jugalah muncul ahli-ahli falsafah Socrates, yang mengajar muridnya, juga ahli falsafah terkenal Plato. Beliau pula mempunyai seorang murid yang juga ahli falsafah besar, iaitu Aristotle.
Kota Athens tumbang ditawan dan dimusnahkan oleh pesaingnya ketika itu, iaitu Sparta yang mengamalkan sistem pemerintahan ketenteraan dan berakhirlah sistem demokrasi awal dalam kehidupan politik manusia itu.
Tetapi antara banyak-banyak negara dalam Yunani purba itu, muncul sebuah kerajaan yang dianggap berada di pinggiran tamadunnya. Negara itu, Macedonia dipimpin oleh Raja Philip yang mempunyai putera bernama Iskandar. Baginda mengarahkan Iskandar belajar daripada Aristotle mengenai segala perkara yang diketahui.
Setelah kemangkatan Philip, baginda digantikan dengan Raja Iskandar. Baginda memimpin bala tenteranya menawan keseluruhan Yunani. Bukan itu saja, baginda merentas ke timur, menakluki Parsi dan terus hingga ke India. Maka wujudlah kerajaan besar Iskandar Agung yang wilayahnya merentas tiga benua, Asia, Eropah dan Afrika.
Baginda menubuhkan ibu kotanya di Babylon (sekarang Iraq) dan mengasaskan sebuah kota besar di Mesir purba yang dinamakan Iskandariah. Dalam bahasa Inggeris disebut Alexandria.
Pengaruh Iskandar Agung ini menyerap ke India yang seterusnya budaya serta pemikiran mengenai kerajaannya tentu akhirnya sampai juga ke Asia Tenggara.
Justeru apabila kitab Sejarah Melayu mengisahkan asal usul Raja-Raja Melayu, tentunya dirujukkan kepada Kesultanan Melaka yang mewarisi Kerajaan Seri Wijaya, ia mengisahkan betapa permulaan sistem Raja-Raja Melayu adalah di Bukit Siguntang di Sumatera, atau disebut juga sebagai Seri Andalas.
Maka disebut dalam Sejarah Melayu, asal-usul Raja-Raja Melayu apabila disusur galurkan yang dikisahkan melalui pelbagai mitos adalah daripada Iskandar Agung.
Dalam tradisi Melayu, Iskandar Agung ini juga disebut sebagai Iskandar Zulkarnain, walaupun terdapat pelbagai pertikaian oleh ahli sejarah dan ahli sastera tentang perbezaan antara Iskandar Zulkarnian dan Iskandar Agung.
Antara kisah dalam Sejarah Melayu ialah perjanjian antara Raja dan Datuk Bendahara yang mewakili rakyat. Dari sinilah keluar ungkapan 'Raja adil disembah, Raja zalim disanggah'.
Namun begitu, kerajaan Melayu bermula lebih awal daripada Seri Wijaya. Kerajaan awal muncul di Funan dan kemudian di Champa yang kesemuanya terletak di Indochina sekarang ini. Tamadun Melayu dikatakan bermula di wilayah itu dengan gendang Dongson yang berbentuk bintang berbucu banyak sebagai simbolnya.
Simbol bintang berbucu banyak ini kini dapat diabadikan dalam bendera Jalur Gemilang. MCA juga mengambil bintang berbucu banyak itu sebagai lambangnya.
Jadi ketika kerajaan-kerajaan Melayu itu muncul di wilayah Vietnam dan Kemboja sekarang, di manakah bangsa Vietnam berada? Manusia pelbagai etnik dan kaum bercampur baur baik melalui perkahwinan atau penaklukan dan menghasilkan bangsa baru yang lain.
Tetapi bangsa Vietnam purba pada asalnya hidup di China selatan. Ketika mereka menguasai bahagian dunia itu, China sebagai bangsa dan negara belum dimantapkan.
Maharaja Shih Huang Ti baru hendak menyatukan pelbagai bangsa dan etnik untuk dijadikan satu bangsa berasaskan negaranya sendiri yang bernama Chin. Dalam usahanya itu, baginda ditentang oleh kaum Vietnam purba yang berada di China selatan.
diperluaskan
Hanya setelah membina pelbagai terusan bagi membawa bekalan untuk bala tenteranya, maka China dapat diperluaskan dan menawan wilayah Vietnam purba. Bangsa Vietnam purba pula terdesak dan lari ke selatan membawa sekali kerajaan-kerajaan mereka.
Maka menghala ke selatan, sudah tentu mereka bertempur dan menakluki bangsa-bangsa Funan, Champa, Khmer dan lain-lain, termasuklah bangsa Melayu purba.
Kerajaan-kerajaan Melayu purba ini turut bergerak ke selatan memindahkan kerajaan-kerajaan mereka ke Kemboja, Vietnam Selatan hinggalah ke Pattani dan Semenanjung Melayu.
Di situ, mereka bertembung pula dengan kerajaan Ayuthaya yang sedang memantapkan kerajaan Siam di mana ia mahu menguasai keseluruhan semenanjung Asia Tenggara hingga ke selatan iaitu Temasik.
Kemunculan Parameswara sebagai pewaris kepada Seri Wijaya kemudian mengembalikan negeri-negeri Melayu, daripada Temasik hinggalah ke Pattani untuk berada di bawah Kesultanan Melaka. Pengaruh kesultanan ini juga sampai ke Brunei dan Sulu.
Keupayaan Kesultanan Melaka dapat menapak di mercu tertingginya berlaku semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah dengan Tun Perak menjadi Bendahara dan Hang Tuah sebagai Laksamana.
Kebijaksanaan diplomasi juga menyumbang kepada kejayaan ini apabila Melaka mengadakan hubungan persahabatan dengan China, pimpinan Dinasti Ming yang di dalamnya terdapat pengaruh Islam yang kuat.
Maka pada zaman itu, daripada Istanbul di Barat hinggalah ke Zaytun di Timur, baik melalui laluan sutera mahu pun bahtera, sebahagian besar dunia ditadbir dan dipimpin oleh kerajaan-kerajaan Islam dengan sokongan sekutu-sekutunya termasuk kerajaan China. Laksamana Cheng Ho memainkan peranan penting dalam mewujudkan tata kuasa dunia itu.
Tetapi tidak ada kerajaan yang dapat bertahan selama-lamanya. Dinasti Ming tumbang, begitu juga dengan Kesultanan Melaka, Kerajaan Moghul di India dan juga Khalifah Uthmaniah di Istanbul.
Kuasa-kuasa baru Eropah muncul dan yang terbesar datangnya dari England. Negara kecil ini mendapat manfaat daripada kesedaran tamadun yang dinamakan Enlightenment yang asalnya datang daripada Yunani melalui Renaissance di Itali yang muncul melalui kajian-kajian pemikiran Yunani tersimpan oleh para cendekiawan Islam.
Akhirnya Perang Salib membuka ruang pemikiran Yunani yang dikaji oleh cendekiawan Islam kepada orang Eropah. Antara pemikiran inilah yang membawa kebangkitan kaum bangsawan di England untuk mengehadkan kuasa raja melalui piagam yang disebut Magna Carta.
Daripada situ, idea sistem politik yang berasaskan rakyat berkembang. Fahaman demokrasi yang pernah dilaksanakan di Athens akhirnya dimunculkan semula dalam bentuk Raja Berperlembagaan Inggeris. Maka Parlimen England dikenali sebagai "ibu kepada parlimen".
Demokrasi moden mula berputik. House of Lords atau Dewan Bangsawan dan House of Commons atau Dewan Orang Ramai mula merintis kepada kaedah demokrasi moden.
Tentu pada awalnya, sistem Raja Berperlembagaan ini memperlihatkan kesukaran hubungan antara raja dengan Parlimen serta juga dengan Perdana Menteri yang dipilih Parlimen untuk menasihati raja.
Walaupun raja tidak mencampuri urusan politik dan pemerintahan, tetapi pengaruhnya tetap ada dan berbeza-beza mengikut personaliti dan zaman masing-masing.
Maka semasa pemerintahan Queen Victoria, baginda memperoleh pula seorang Perdana Menteri yang juga hebat, Benjamin Disraeli. Pada zaman ini, empayar British terbentang paling luas hinggakan Victoria diisytiharkan juga sebagai Maharani India.
Ternyata sistem raja-raja India sudah tumbang apabila negara itu dijajah sepenuhnya oleh British.
Di China pula, Dinasti Ching yang memerintah berada di penghujungnya. China sedang diancam oleh penjajah-penjajah, iaitu Rusia, Jepun, Jerman, Britain dan Perancis, masing-masing mahu membahagi-bahagikan negara itu.
Britain berjaya menguasai Hong Kong walaupun dalam bentuk pajakan dengan janji perlu dikembalikan pada tahun 1997. Keupayaan Britain memerintah empayarnya yang luas bertunggakkan pada pelabuhan-pelabuhan strategik yang dikuasai.
Dari London, Gibraltar, Port Said, Aden, Bombay, Colombo, Pulau Pinang, Singapura hinggalah Hong Kong berada di bawah kekuasaannya.
Pentadbiran India yang berpusat di Calcutta juga turut mentadbir Negeri-Negeri Selat di Pulau Pinang, Seberang Perai, Dinding, Melaka dan Singapura.
Walaupun Britain menguasai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu di Semenanjung Tanah Melayu, tetapi kedaulatan masih tetap dipegang oleh Raja-Raja Melayu.
berdaulat
Pada kurun ke-19, negeri-negeri Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak dan Perlis masih berdaulat walaupun kekuasaan di luar daripada hal ehwal agama dan adat istiadat Melayu sudah berada di tangan Inggeris. Namun begitu, pengaruh Raja-Raja Melayu masih besar termasuk dalam soal tanah.
Maka dari satu segi, pada zaman penjajahan British, sistem beraja yang diamalkan di negeri-negeri Melayu bersifat Raja Berperlembagaan walaupun yang menguasai pemerintahan bukannya rakyat tetapi penjajah.
Perkara yang sama juga berlaku di banyak tempat di Hindia Timur Belanda yang kemudiannya menjadi Indonesia. Di Thailand pula, berlaku gerakan untuk mewujudkan Raja Berperlembagaan, tetapi ia tidak datang dari rakyat, tetapi pihak tentera.
Sementara di Jepun, maharajanya juga berdaulat tetapi kekuasaan sebenarnya terletak pada pihak yang menguasai tentera. Golongan tentera inilah kemudian merubah politik Asia termasuk Malaysia.
Dalam perang Dunia Kedua, Jepun berazam untuk menguasai keseluruhan Asia Timur melalui gagasan Kemakmuran Asia Timur Raya dengan Tokyo memerintah keseluruhan China, Asia Tenggara, India dan kepulauan Pasifik sehingga Australia.
Mereka gagal dan apabila Amerika Syarikat menakluk Jepun, mereka menimbangkan sama ada untuk menghapuskan institusi maharaja atau tidak. Akhirnya mereka membuat keputusan memperkenalkan sistem Raja Berperlembagaan dengan institusi maharaja dikekalkan.
Selepas Perang Dunia Kedua, Britain memberikan kemerdekaan kepada India dengan menggubal sebuah perlembagaan yang begitu kompleks.
Pada mulanya cadangan yang diutarakan ialah untuk menubuhkan sistem Raja Berperlembagaan di India dengan Ratu atau Raja England menjadi Maharaja India sebagai mewarisi Queen Victoria.
Sistemnya adalah seperti Australia dan Kanada di mana ketua negara dipegang oleh Raja England dengan diwakili oleh Gabenor-Jeneral. Tetapi kemudian perkara ini ditentang dan India menjadi republik dengan presiden tanpa kuasa eksekutif seperti Raja Berperlembagaan.
Di Tanah Melayu, pada mulanya dicadangkan penubuhan Malayan Union dengan menghapuskan sistem beraja. tetapi akibat bantahan orang Melayu dan ancaman komunis, Britain bersetuju menubuhkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen bagi Tanah Melayu.
Untuk menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, maka diambil perlembagaan India sebagai rujukan. Oleh kerana sudah ada sistem beraja di negara ini, maka dengan mudahnya diambil cadangan Tunku Abdul Rahman supaya sistem Raja Berperlembagaan yang unik di dunia, iaitu melalui Majlis Raja-raja.
Keindahan sistem Raja Berperlembagaan Malaysia ini diterima baik dan tidak pernah dipertikaikan, malah kedaulatannya diperluaskan kepada semua Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka yang sebelum itu tidak dinaungi oleh mana-mana raja.
Yang di-Pertuan Agong mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Pinang dan Melaka. Bukan itu saja, semasa penubuhan awal Malaysia, dengan mudah sistem Raja Berperlembagaan ini dapat diterima oleh semua kaum di negara ini dan kedaulatannya meliputi Singapura, Sarawak dan Sabah.
Keagungan dan kejayaan sistem ini bergantung kepada rakyat negara ini sendiri. Ia merupakan sistem yang unik, penuh warisan dan berkesan. Tetapi untuk menjayakannya, rakyat tanpa mengira kaum wajar sama-sama berusaha untuk mendokongnya supaya negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dapat berfungsi dengan lebih baik. Ingatlah bahawa kehidupan bernegara memerlukan keseimbangan.

MALAYSIA MILIK SEMUA MAKHLUK.

Posted: 13 May 2012 09:36 PM PDT


Negara ini milik semua makhluk

Berkelahilah parti-parti politik di negara ini untuk mendapatkan secebis kuasa yang boleh diperolehi seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Rakyat negara ini tidak wajar gusar melihat perkelahian mereka. Itu adalah rencam kehidupan bernegara. Adalah lebih baik mereka berkelahi secara undang-undang dan politik dengan menggunakan sistem demokrasi seperti yang dipersetujui dalam perlembagaan.

Pada zaman pra-demokrasi, perkelahian antara kuasa-kuasa politik yang bertentangan adalah lebih menakutkan. Pasti mereka berbunuhan sesama sendiri, pemberontakan yang menggunakan senjata, penderaan dan kematian yang akhirnya menyusahkan rakyat.

Justeru, bersyukurlah bahawa rakyat negara ini pada masa sekarang hidup dalam zaman moden yang mengamalkan sistem demokrasi. Sesiapa bebas bersuara dan mengatur langkah politik tanpa takut terjerumus ke dalam peperangan.

Kini negara ini mempunyai pilihan raya, mahkamah, parlimen dan institusi-institusi negara yang bertamadun. Persaingan antara parti politik adalah suatu yang bukan saja lumrah tetapi perlu dihargai dengan semarak keberagaman pandangan dan perspektif.

Di mana pun pandangan seseorang tentang politik, kesemuanya adalah warganegara Malaysia yang sama-sama hidup, mencari makan dan membiak dalam negara yang permai ini. Dalam hal ini, rakyat Malaysia wajar berbaik sangka terhadap semua ahli politik.

Mereka harus dipandang sebagai golongan yang berniat ikhlas untuk melakukan apa yang terbaik bagi rakyat dan negara ini. Tentu terdapat perbezaan pendekatan dan perwatakan dalam berpolitik. Tetapi itu adalah sebahagian daripada keanekaragaman manusia.

Sudah tentu ahli-ahli politik seperti manusia yang lain bukannya maksum. Maafkanlah mereka jika berlaku kesilapan dan semua rakyat Malaysia yang layak pastinya mempunyai satu undi untuk memilih wakilnya di Dewan Rakyat. Bagi mereka yang tidak tinggal di Wilayah Persekutuan, mereka memiliki satu lagi undi untuk digunakan bagi memilih ahli Dewan Undangan Negeri.

Memang benar Malaysia yang permai ini adalah milik kesemua warga negaranya, tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. Tidak kira penyokong parti apa pun, semua rakyat Malaysia mempunyai hak yang sama di bawah Perlembagaan Malaysia.

Sementara perlembagaan ini pula dilindungi oleh Raja-raja Melayu, yang bukan saja raja bagi orang Melayu, tetapi adalah ketua negara dan ketua negeri bagi semua rakyat Malaysia dan negeri masing-masing.

Sungguhpun begitu, dalam negara Malaysia ini bukan saja terdapat warganya. Di dalamnya juga terdapat pendatang-pendatang, baik dengan izin atau tanpa izin yang mencari rezeki daripada bumi bertuah ini.

Para pendatang ini juga mempunyai hak mereka seperti mana yang diperuntukkan dalam undang-undang dan perjanjian antara bangsa. Kalau tidak kerana kemakmuran negara ini, tidaklah para pendatang itu hendak mencari rezeki di sini. Dan kalau tidak mereka susah tidaklah juga mereka mahu meninggalkan kampung halaman. Dan jika rakyat negara ini tidak memerlukan mereka, tidak juga mereka mahu ke sini.

Maka apabila disebut penduduk Malaysia, ia tidaklah hanya merujuk kepada rakyat negara ini. Ia turut merangkumi semua manusia yang tinggal di negara ini. Itu maksudnya dengan penduduk Malaysia. Mereka adalah yang duduk di negara ini.

Maka kehadiran para pendatang ini memeriahkan lagi negara ini. Kini selain daripada rakyat Malaysia, maka dapat dilihat orang Indonesia, Bangladesh, Filipina, Thailand, Myanmar, Kemboja, Nepal, Nigeria dan sebagainya. Maka sudah tentu mereka juga menjadi tanggungjawab sesiapa yang memegang kuasa di negara ini untuk memastikan kesemua penduduk berada dalam keadaan kenyang dan selesa.

Selain daripada manusia, terdapat makhluk lain yang turut menjadi penduduk negara ini. Mereka adalah pelbagai haiwan dan tumbuhan di negara tropika ini. Kalau hendak dikirakan manusia pun adalah haiwan. Tetapi Malaysia ini bukan saja milik rakyatnya tetapi juga semua fauna dan flora yang hidup di negara ini.

Para fauna dan flora itu bukan saja menyerikan lagi bumi Malaysia tetapi juga membolehkan rakyat negara ini hidup, memperoleh makanan dan mendapatkan rezeki.

Kalau tidak kerana rupa bumi Malaysia yang sebegini rupa, tidaklah mahu para haiwan dan tumbuhan berada di sini. Bumi subur dan rupa bentuk geografi yang selesa untuk menaungi haiwan dan tumbuhan ini menyebabkan banyaklah spesies mahu menjadikan Malaysia sebagai kediaman mereka.

Sebab itu dalam jata negara, tidak ketinggalan diabadikan kehadiran fauna dan flora ini. Dua ekor harimau dan sekuntum bunga raya merupakan simbol negara untuk mengingati manusia bahawa Malaysia juga adalah milik haiwan dan tumbuhan.

Maka kesemua ini adalah sebahagian daripada kekayaan Malaysia yang patut diraikan bersama secara aman dan meriah. Ketika mana melihat perkelahian antara parti politik manusia, maka sekali-kali fikirkan juga bahawa Malaysia bukanlah semata-mata terdiri daripada para pengundi yang wajar hatinya dimenangi. Banyak lagi makhluk yang terdapat di Malaysia ini.

Selain itu, kalau menurut kepercayaan kebanyakan orang Melayu, di Malaysia ini terutama di hutan-hutan, terdapat makhluk halus, hantu dan jembalang, orang bunian dan pelbagai saka. Mereka juga merupakan khazanah dan penduduk negara ini.

Walaupun makhluk-makhluk ini hanya berada dalam minda orang Melayu, tetapi apa yang terkandung dalam otak penduduk negara ini adalah juga sebahagian daripada Malaysia.

Bertambah meriahlah negara permai yang bernama Malaysia ini. Akhirnya, apalah kewujudan manusia kalau tidak apa yang ada dalam mindanya. Daripada memori, emosi dan imaginasi, itulah juga apa yang disebut sebagai pengalaman politik

BENARKAH UMNO PARTI KERAMAT ?

Posted: 13 May 2012 09:29 PM PDT


BUAT TATAPAN AHLI DAN ORANG UMNO......BERUBAHLAH SEBELUM TERLAMBAT.

SEJARAH parti keramat ini pada 11 Mei diraikan semula tahun ini di usia 66 tahun. Umur yang dikira amat matang dan dewasa. Bagi pembangkang mereka melihat umur UMNO ini adalah saat-saat yang menanti detik kematian.

Saya asalnya bukan pendokong UMNO, malah jauh dari itu pernah menyokong Pas bermatian-matian hanya kerana Anwar Ibrahim sekitar 1998 hingga 2003.

 Ketika dalam kesesatan menyokong perjuangan 'bodoh' bersama Pas, saya mula nampak 'kehebatan' UMNO.

Dari kebencian yang meluap-luap terhadap UMNO, saya mula mengkaji kenapa UMNO dikatakan parti keramat. Pembangkang berjaya menanam rasa kebencian yang amat mendalam saya terhadap UMNO dan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu. Malah saya pernah mengangkat kaki di peti televisyen ketika gambar beliau disiarkan.

Ketika pengumuman peletakan jawatan Dr. Mahathir yang saya benci, saya menangis teresak-esak di hadapan televisyen. Saya bertanya kenapa ia berlaku kepada saya ketika itu. Tentu ada sesuatu yang hebat dalam diri pemimpin UMNO itu.

Saya menemui banyak jawapan yang menyebabkan saya tidak akan berpaling dari menyokong UMNO sehingga ke akhir hayat saya. UMNO tidak menjanjikan syurga untuk saya, tetapi saya yakin menyokong Pas akan mengundang saya ke api neraka.

Namun saya masih lagi tertanya, kenapa UMNO 'lemah' sedangkan sepatutnya parti ini wajar memiliki ahli yang sanggup berjihad mempertahankannya.

Kenapa ahli UMNO perlu menunggu arahan dalam meniup obor perjuangan.

Saya melihat kelemahan ahli dan pemimpin tertentu untuk menyedari peranan mereka. Pemimpin harus berupaya menyedarkan situasi cemas dan sentiasa sanggup bersedia berjuang dan berjihad memastikan kemenangan UMNO/ BN di kawasan masing-masing. Keadaan yang mendesak ini perlu dijadikan semangat untuk bangkit dan bergerak cergas dalam masa-masa kritikal menjelang PRU-13.

Saya masih teringat wawancara bersama Tun Dr. Mahathir di akhbar Mingguan Malaysia pada 20 November 2011. Apa yang boleh disimpulkan dari komen Tun tentang UMNO dan kepimpinannya terlalu bernas, tepat dan hampir sukar untuk dinafikan. Tun serta banyak pihak bercakap isu ini kerana sedar apa yang berlaku atas sebab sayang dan kasih terhadap UMNO yang menjadi payung kepada agama Islam, kekuatan bangsa Melayu dan tunggak kesejahteraan negara.

Soalnya, kenapa UMNO masih gagal meyakinkan golongan atas pagar dan gagal menarik ahli parti pembangkang yang sekarang sebenarnya dalam keadaan caca-merba dan tersangat keliru? 

Kenapa penyokong Pas atau PKR tidak berduyun-duyun menyertai UMNO seperti mana tahun 1998/99 ketika UMNO pernah ditimpa prasangka buruk, hingga ramai ahlinya yang menyertai pembangkang?

Kenapa strategi UMNO/BN sering gagal dan tidak menjadi? Malah kebanyakan masyarakat melihat seolah-olah hanya Perdana Menteri dan Timbalannya yang bertungkus-lumus meyakinkan rakyat tentang jasa dan sumbangan UMNO/BN. Ke mana hilangnya peranan Ketua Perhubungan UMNO Negeri, Ketua Bahagian dan Ketua Penerangan sayap-sayap UMNO empat peringkat juga Ketua Cawangan?

Susah sangatkah mereka untuk merancang gerak kerja mendekati golongan pembangkang tegar dan atas pagar agar terbuka minda menyokong UMNO/BN. Malah amatlah malang bagi saya apabila melihat hampir semua program UMNO adalah untuk ahli UMNO dan penyokong tegar parti ini sahaja dan dilaksanakan di tempat tertutup. Apa yang sering UMNO anjurkan adalah lawatan, aktiviti sukan dan aktiviti rutin yang langsung tidak menjana ahli baru menyokong parti ini.

Sebagai bekas penyokong pembangkang, saya melihat sebilangan besar kepimpinan UMNO kurang berfikir di luar kotak. Mereka hanya menjaga ahli yang setia dan manja. UMNO tidak berani melakukan apa yang menjadi strategi pembangkang seperti ceramah terbuka berskala besar berbekalkan speaker dan corong suara yang boleh didengar dari jauh.

Pembangkang juga telah lama giat mengedar risalah yang mendedahkan keburukan dan fitnah terhadap kerajaan BN di kampung-kampung dengan kerajinan jentera mereka.

Kempen pembangkang cukup mudah dan murah!. Mereka hanya berbekalkan konsep ceramah terbuka di padang dengan kos yang minimum tetapi mampu menarik beribu orang dan menyokong mereka. Dakyah mereka meresap masuk dengan mudah kepada sesiapa sahaja yang hadir jika apa yang didengar itu tidak ditapis secara hikmah.

Bukti dan hasilnya, mereka mengekalkan kuasa di Kelantan selama 21 tahun sekalipun tiada kemajuan dan kemakmuran dapat dibuktikan. Mereka mampu pula menawan empat negeri lain dalam PRU-12 dan bertapak melalui markas parti di hampir semua negeri yang dahulunya tidak terbayang boleh dilakukan berbekalkan strategi yang saya nyatakan.

Mengapa usaha seperti yang dinyatakan ini tidak difokuskan dan kurang dilaksanakan di peringkat bahagian. Kalau dilaksanakan pun, promosi dan aktiviti ceramah ini tidak didedahkan secara agresif hingga tidak ramai yang hadir dan terlalu protokol. Malah tugas semudah membuat salinan artikel pun sebenarnya boleh digerakkan oleh jentera Penerangan Bahagian mengenai isu semasa yang memihak kepada kerajaan.

Namun malang, ia juga 'tidak mampu' difikirkan oleh mereka mungkin disebabkan kos fotostat lebih mahal dari kos menganjurkan program besar-besaran. Malah banyak program lebih mahu menonjolkan diri untuk menjadi 'calon pilihan' bukan untuk 'niat perjuangan'.

Berdasarkan pemerhatian, ahli UMNO amat kurang membaca dan tidak bersedia mengorbankan RM1.50 untuk menyokong akhbar Utusan Malaysia. Kalaulah perkara ini boleh diberi perhatian oleh kepimpinan Bahagian dan Cawangan pasti mereka mendapat banyak input dengan hanya kos RM5 seminggu untuk membuat salinan tulisan- tulisan dalam akhbar Utusan seperti tulisan Zaini Hassan dalam CUIT yang mampu disebarluaskan di cawangan masing-masing.

Perang saraf boleh digerakkan oleh Ketua Cawangan dengan pelbagai kaedah mudah dan murah. Jika tugas seperti ini pun tidak mampu lagi dilaksanakan mereka maka saya bimbang UMNO akan terus layu dan mati sebelum waktunya. Semangat jihad dan kerja keras golongan lelaki dalam parti ini juga semakin kurang. Apakah pendokong parti keramat ini akan bersedia menerima nasib parti-parti besar lain seperti Golkar (Indonesia), LDP (Jepun) dan Kongres (India) yang pernah berjasa kepada negara bangsa mereka?

Saya bimbang masa sudah terlalu lewat dan ketika itu UMNO sudah terlalu nazak. Sebelum nasi menjadi bubur dan sebelum UMNO yang berjasa ini ditalkinkan, mungkinkah sebilangan besar ahli dan pemimpinnya yang masih bersikap 'bodoh sombong' mahu berubah dalam masa kecederaan?

Apakah UMNO mengharapkan keajaiban 'sepakan penalti' dalam masa kecederaan dan bergantung kepada kekuatan 'calon boleh menang' sahaja seperti mana Harimau Muda bergantung sepenuhnya kepada Khairul Fahmi (Apek) untuk menyelamatkan maruah negara dan gawang golnya?

Pendokong UMNO tidak boleh bergantung kepada nasib semata-mata tanpa giat berusaha. UMNO berada di dalam gelanggang sendiri tetapi seolah-olah bermain di stadium milik lawan. Harimau Muda telah dipersiapkan oleh jurulatihnya untuk menghadapi segala tekanan, tetapi jurulatih atau pemimpin UMNO kelihatan masih gagal menguruskan mental dan sikap kerjasama pasukan sedangkan gelombang perang PRU 13 mula sudah kedengaran.

Tiada salahnya untuk UMNO mencontohi pembangkang dalam gerak kerja mereka. Kita tahu dan kita sedar akan malapetaka besar jika pakatan pembangkang menjadi pemerintah. Untuk menang selesa, lakukanlah perubahan dan percaturan strategi yang berbeza. Usahakan amalan solat hajat dan munajat di semua UMNO Bahagian agar Allah SWT membantu UMNO dan kepimpinannya di saat begini.

Sedarlah bahawa anda berada di dalam sebuah parti yang ikhlas, betul dan benar dalam asas perjuangannya. Parti yang anda dokong ini benar-benar berjasa kepada seluruh bangsa Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Jika saya yang pernah menyokong pembangkang melihat kehebatan UMNO dan jasa-jasanya, mengapa sebilangan besar ahlinya tidak menjiwai semangat perjuangan yang menjadi nadi UMNO.

Justeru jangan ragu-ragu berjihad dan berkorban kerana parti keramat UMNO ini adalah 'alat dan senjata utama' mempertahankan akidah dan kesucian agama Islam, mengangkat martabat bangsa Melayu dan maruah negara Malaysia.

Oleh LUKMAN MOIDIN
PENULIS ialah Kaunselor Berdaftar & Perunding Motivasi.

BERGANDING BAHU...

Posted: 13 May 2012 09:10 PM PDT


UMNO berganding bahu redah cabaran, hadapi kerenah pembangkang

ENAM puluh enam tahun usia UMNO yang disambut semalam membawa erti yang amat signifikan buat tonggak Barisan Nasional itu.

Meskipun 'dihambat 'dan cuba dinafikan peranannya oleh pembangkang sejak 2008 dan tambah agresif lagi beberapa bulan ini dalam memacu ekonomi dan kestabilan negara, UMNO yang diterajui Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama rakan-rakan parti komponennya terus berganding bahu meredah cabaran domestik dan global.

Hakikatnya bukan mudah mengetuai kerajaan Malaysia yang tersedia aman dari segala segi. Kalau memimpin sebuah negara yang bergolak, pasti ada cara tertentu yang dipraktiskan kerana sudah tentulah ada isunya - peperangan.

Tetapi Malaysia, senarionya aman, tenteram dan memiliki segalanya. Namun kerajaannya sentiasa 'tidak menang tangan' melayan gelagat dan kerenah parti-parti pembangkangnya yang amat gemar mengadu- domba sesuatu isu dengan tipu muslihat yang amat kejami. 


Jika sesuatu itu benar dan terbukti sahih sekali pun tetap akan dinafikan sehingga mereka pasti tipu daya itu telah 'bersarang' dalam kalangan segelintir rakyat.

Isu loji nadir bumi Lynas di Gebeng antara satu contoh nyata pembohongan pembangkang yang cuba menidakkan kebenaran. Lebih membimbangkan lagi secara halus cuba menyekat usaha negara untuk memastikan kemantapan ekonomi rakyatnya dan mengharungi persaingan global.

Walaupun laporan IAEA memperaku analisis komprehensif mengenai aspek alam sekitar, kesihatan dan keselamatan berkaitan projek Lynas, ia tetap ditolak oleh pembangkang seolah-olah mereka 'mengetahui segala-galanya'.

Cuma dalam soal ini, rakyat Malaysia perlu realistik. Tahun-tahun kebelakangan ini telah menyaksikan pengiktirafan terhadap ciri-ciri unik unsur nadir bumi dalam aplikasi-aplikasi tertentu. Kesannya, permintaan global untuk nadir bumi dalam magnet, bateri, superkonduktor dan laser, telah menyaksikan kenaikan yang mendadak.

Dan walaupun endapan nadir bumi telah dijumpai di 29 negara di seluruh dunia, hanya China muncul sebagai negara yang memberi perhatian serius dalam perlombongan dan penghasilan nadir bumi.


Negara itu kini yang memiliki 100 syarikat dalam industri ini yang menghasilkan 230,000 tan nadir bumi sekali gus membekalkan 97 peratus daripada permintaan bahan itu ke seluruh dunia.

Dalam isu ini, Kuala Lumpur diperakui oleh Akademi Sains Malaysia dalam laporannya mempunyai 0.03 peratus daripada simpanan dunia bagi mineral nadir bumi.

"Kami menjangkakan pembangunan perlombongan dan pemprosesan nadir bumi boleh menjadi titik kebangkitan industri perlombongan negara ini," menurut laporan itu yang diterbitkan pada Ogos 2011.

Inilah antara cabaran yang perlu dipikul oleh UMNO dan parti-parti komponen yang ditunjanginya - untuk melayan kerenah pembangkang yang matlamatnya bukan untuk melihat rakyat Malaysia menikmati kemakmuran dari hasil buminya, malah jauh dari itu menidakkan fakta dan berbohong pula.

Dan, kalau ditinjau ke isu-isu tempatan atau domestik, demikianlah juga keadaannya - tetap menjadi 'mainan dan muslihat' pembangkang.

Di Putrajaya ketika satu pihak menabur budi, di sebelah sana pula lagi sibuk dengan menyebar dakyah.

Ketika setiap Jumaat satu pihak ini menghantar air zam-zam ke surau dan masjid di Pusat Pentadbiran Persekutuan itu, sebelah pihak lain bergegaslah pula ke rumah-rumah berdekatan. 


Khabarnya, pihak itu mengedarkan akhbar 'lidah rasmi' mereka. Meskipun bacaan hanya untuk ahli, tak diambil hirau mereka. Dengan tidak ketahuan sumber dan bahan berita daripada mana, taktik itu merupakan jalan pintas 'paling berkesan' untuk 'menawan' Putrajaya.

Jika pada 2008 jumlah pengundi di Putrajaya cuma sekitar 6,500 orang, kali ini menjelang PRU-13 ia naik sekali ganda mencecah 13,000 orang. UMNO di pusat pentadbiran itu memiliki keahlian sekitar 3,000 orang dengan 2,000 lagi sedang dalam proses permohonan. Kalau dicampurkan baru 5,000 ahli. Ditolak 13,000 tadi, masih berbaki 8,000 yang belum pasti haluan undinya - masih atas pagar.

UMNO menyedari semua itu - bahawa Putrajaya kini tidak seperti pada 2008 apatah lagi pada 2004. Putrajaya kini sama lanskap politiknya dengan bandar-bandar besar lain - Kuala Lumpur, George Town, Shah Alam, Kuching dan lainnya. Masalah dari segi penyediaan prasarana dan kemudahan di Putrajaya tidak ada, kegiatan jenayah jauh sekali kes yang hendak dihitung, apa lagi kalau kes kemalangan jalan raya yang boleh dikiralah - kadang-kala sekali dalam tempoh tiga atau empat bulan.


Dan kalau adapun hanyalah kemalangan kecil tetapi akan muncullah nanti kelibat ramai anggota polis trafiknya.

Dengan pasukan keselamatan sendiri mengawal banyak kementerian di situ, maka wujud kediaman yang selamat, hatta berjogging di malam hari pun selesa.

Kalau itulah analogi yang dipegang, maka selamatlah kerusi Putrajaya di tangan BN. Namun UMNO dikatakan lebih realistik. UMNO sedar faktor sentimen sebenarnya lebih penting dari semua itu. Kalau tidak, masakan di bandar-bandar besar yang boleh dikatakan tidak ada masalah asas pun, BN boleh kecundang.

Projek Lynas dan kegiatan menyebar dakyah ke rumah-rumah selain faktor sentimen dan persepsi, merupakan cabaran domestik dan global yang perlu dipikul UMNO memasuki usia 66 tahunnya.

Najib memerlukan komitmen ini untuk mendepani cabaran-cabaran berkenaan. Beliau menuntut kerjasama ini daripada semua pihak terutama kalangan parti-parti komponen BN.

UCAPAN YAB PRESIDEN UMNO SEMPENA UMNO 66 TAHUN.

Posted: 13 May 2012 09:06 PM PDT

Tiada ulasan:

Pengikut