UMNO Cawangan Bukit Ampang |
Posted: 13 May 2012 09:58 AM PDT ALHAMDULILLAH dengan izin Allah SWT maka malam ini akan jadi satu malam yang akan terpahat dalam sejarah perjuangan parti UMNO kita. Sebentar tadi bila saya menghampiri Stadium Nasional Bukit Jalil ini. Saya merasakan seolah-olah saya akan menonton pertandingan akhir piala bola sepak. Mungkin terbayang saya pertandingan akhir pertandingan Piala AFP tetapi rupa-rupanya setelah saya mendekati Stadium Bukit Jalil ini, setelah saya memasuki terowong Bukit Jalil ini saya lihat yang sebenarnya bukan pertandingan akhir kejohanan bola sepak tetapi perhimpunan raksasa maha UMNO. Satu perhimpunan yang luar biasa. Satu perhimpunan yang saya anggap sebagai perlambangan kekuatan UMNO. Perlambangan perjuangan gigih UMNO. Sebab itulah perhimpunan yang bersejarah pada malam ini merupakan satu perhimpunan yang menunjukkan bahawa kekuatan UMNO tidak pudar dan tidak menurun. Siapa kata sokongan tidak kuat? Yang berhimpun dalam stadium ini bak kata Timbalan Presiden tadi hampir 100,000 yang berhimpun, yang sedang menonton di televisyen, berjuta-juta. Kita berhimpun dalam stadium ini dengan memakai baju merah. Kita memakai baju merah kerana inilah warna darah daging perjuangan UMNO yang membara dalam hati kita. Kita berhimpun dalam stadium ini secara aman. Kita berhimpun dalam stadium ini secara tertib. Kita berhimpun dalam stadium ini kerana UMNO menghormati undang-undang negara. Kita tidak perlu ramai anggota polis. Anggota-anggota polis kelihatan ceria belaka. Mereka kelihatan senyum-senyum belaka. Mereka tidak tension. Kita pun tiada tension. Kenapa kalau UMNO boleh berhimpun dalam stadium, pihak-pihak lain tidak boleh berhimpun dalam stadium? Kalau hendak tunjuk kekuatan berhimpunlah macam UMNO berhimpun hari ini. Kalaulah mereka merupakan rakyat malaysia yang cinta kepada keharmonian negara, yang menghormati undang-undang berkumpullah macam UMNO berkumpul pada malam ini. Tidak mahu berkumpul di Stadium Bukit Jalil, kita tawarkan Stadium Merdeka. Di Stadium Merdeka, stadium yang telah menyaksikan satu peristiwa yang amat bersejarah lagi keramat, Almarhum Tunku Abdul Rahman telah melaungkan merdeka, merdeka, merdeka. Tetapi mereka tidak mahu berhimpun di Stadium Merdeka kerana apa? Kerana mungkin mereka takut tidak seramai UMNO berhimpun? Saya kira kalau congak punya congak kita lagi ramai malam ini. Kalaulah mereka dah kata bahwa Stadium Merdeka tidak ada nilai sejarah, maka itu merupakan satu pembohongan. Kita sanggup demi jaga keamanan dan keselamatan, kita tawarkan Stadium Merdeka tetapi mereka kata kononnya dah terlambat, padahal tiga hari lagi ada masa. Saya diberitahu mereka tolak tawaran Stadium Merdeka kerana apa? Kerana mereka nak merempuh, mereka nak berbalah, mereka nak tendang terajang pihak polis. Kalau tidak ada pergeseran, tak keluarlah cerita dalam CNN, tak keluarlah dalam Al-Jazeera, tak keluarlah dalam BBC. Inilah tujuan sebenarnya. Mereka nak tunjuk kononnya kita ini kerajaan dan pihak berkuasa yang zalim. Mereka tidak menghormati undang-undang negara. Bagaimana perasaan anggota polis kalau dipukul? Ada anggota polis yang saya temui kena pukul menggunakan kayu lisut, baseball. Belakang kena pukul, depan kena pukul sehingga muntah darah. Inikah orang yang bertamadun? Inikah orang yang menjaga imej Malaysia? Kalau kita dalam stadium ini kita nak rempuh kita boleh tahan Dataran Merdeka. Tetapi UMNO tidak sedemikian. Jati diri kita ialah untuk menghormati undang-undang negara kerana negara inilah yang telah dimerdekakan oleh UMNO. Kerana negara inilah yang telah dibangunkan oleh UMNO dan kerana UMNO lah negara ini akan menjadi negara maju dan berjaya Insya Allah. Sebab itulah kita tidak reda melihat apa-apa yang berlaku pada negara kita. Biar apa yang mereka hendak lakukan UMNO tetap akan menjaga maruah dan imej negara kita ini. Kita berkumpul pada malam ini menyambut 66 tahun usia UMNO dan dalam masa 66 tahun ini bererti hampir tujuh dekad, tujuh dasawarsa kita telah berbudi, menabur budi untuk negara kita. Dan bila kita berkumpul pada malam ini dalam suasana yang cukup meriah, kita meraikan kejayaan, kejayaan sebuah parti politik yang paling berjaya di dunia dalam sistem demokrasi berparlimen. Kita berhimpun pada malam ini, kerana kisah kejayaan Malaysia itu adalah kisah kejayaan kepimpinan UMNO selama ini dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN). Sebab itulah sambutan kita meriah bukan kerana kita gagal, sebaliknya kalau kita melihat bagaimana mencabarnya kita memimpin negara kita, dengan kepelbagaiannya, dengan pelbagai cabarannya, dengan keunikan yang ada pada malaysia, tak ramai yang menjangkakan bila bahawa UMNO lahir 66 tahun lalu, kita boleh membawa negara kita pada keadaan yang kita sama-sama dapat saksikan hari ini. Ramai yang meramalkan negara kita tidak mampu kekal, tak mungkin aman, jauh sekali boleh berjaya. Tetapi pada semua ramalan-ramalan yang sinis, meleset belaka. Meleset kerana apa? Kerana kejayaan UMNO memimpin negara kita selama ini. Sebab itulah kita berhimpun pada malam ini sebagai sebuah parti yang berjaya, bukan sebaliknya. Sebab itulah kita berhimpun sebagai melambangkan parti yang telah berjaya membawa perubahan demi perubahan sejak dahulu sampai pada hari ini. Setiap pemimpin utama UMNO telah membawa kejayaan dan kita ucap terima kasih kepada semua pemimpin UMNO terdahulu. Dan kita berterimakasih Tun Dr. Mahathir Mohamad ada bersama kita pada malam ini UMNO tidak mabuk kuasa. Kita sanggup membuat perubahan jika masa menuntut perubahan. Kalau persekitaran berubah, bak kata Timbalan Presiden tadi (Tan Sri Muhyiddin Yassin), UMNO juga perlu berubah. Dasar-dasar kita boleh berubah tapi prinsip matlamat perjuangan kekal, demi agama bangsa dan negara. Orang di sebelah sana pembangkang, suka sangat hendak memperlekehkan UMNO, hendak menidak kejayaan kita, hendak menghina UMNO tetapi mereka sebenarnya tidak ada jasa kepada negara kita. Mereka tidak ada jasa kepada negara kita. Mereka boleh mengata, mengutuk kita macam-macam, mereka boleh menggelar diri lebih terbuka, lebih demokratik, tapi UMNO sebenarnya lebih demokratik daripada mereka. Ketua mereka tidak dipilih ikut proses demokrasi. Alih-alih menjadi ketua umum pembangkang. Cakap sikit sahaja sudah tidak boleh, tegur sikit pun tidak boleh. Bila ada pemimpin mereka (Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim) kata... `eh! kalau buat demonstrasi jalanan tidak baik untuk negara, lebih elok berhimpun dalam stadium', jawatan dia dalam senator tidak disambung semula. Ada sikit saja pandangan berbeza, parti yang namanya parti demokratik, di mana demokrasi? Ada demokrasi? Parti yang nama demokratik parti tak ada demokrasi. Lepas itu UMNO dipersalahkan segala-galanya. Bila seorang pemimpin mereka tidak peduli langsung ibu kandungnya sendiri, UMNO nak dipersalahkan. Memang hebat benar UMNO ni, dalam bilik tidur kita boleh tentukan, dalam kelambu pun boleh kita boleh tentukan. Banyak persoalan lain tidak berjawab. Bila suruh bela diri tidak berani bersumpah. Di mana letaknya kredibiliti sebagai pemimpin. Jangan salahkan UMNO, kitalah parti yang telah berjuang untuk negara kita. Oleh kerana 66 tahun bererti hampir tujuh dekad UMNO telah berjasa pada negara, oleh kerana bahang-bahang pilihan raya sudah dapat kita rasai, dan ramai sudahpun kena demam pilihan raya, saya lihat malam ini hebat, rasa-rasanya esok saya nak mengadap Yang di-Pertuan Agong. Bila nak ada pilihan raya? Esok? Bulan Jun? Bila? Tahun depan? Tak boleh? Tuan tuan, saya nak bagi tujuh sebab, sebab tujuh dekad kita sudah berjasa pada negara. Kalau kita nak memilih nanti, bila sampai masanya, dalam minda kita kena buat perhitungan. Saya nak paparkan tujuh prinsip yang boleh membantu kita membuat penilaian dan pertimbangan. Pertama, di antara BN dan pembangkang, mana satu kepimpinan yang boleh dipercayai dan janji ditepati? Siapa dah bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)? Siapa dah bagi baucar buku? Siapa dah bagi pada murid-murid sekolah? Siapa dah bagi pada peneroka Felda? Siapa dah buat Kedai Rakyat 1Malaysia? Siapa dah buat Klinik Rakyat 1Malaysia? Siapa buat prasarana luar bandar (atau) dalam bandar, perubahan? Sekolah siapa buat segala-segalanya? BN. Prinsip yang kedua, Sebelum saya masuk prinsip kedua, siapa yang pegang kepala penghuni Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, janji kalau pakatan menang mereka boleh kekal selama-lamanya? Siapa buat 22 janji tetapi sebahagian besar tidak ditunaikan di Selangor. Siapa gagal uruskan soal air. Banyak lagi mereka gagal. Prinsip kedua, kita mesti tentukan hari esok lebih baik daripada hari ini. Antara BN dan pembangkang, siapa boleh jamin pada rakyat Malaysia hari esok lebih baik daripada hari ini? Jawab. Ketiga, siapa boleh memelihara keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, mempertahankan kesucian Islam, raja-raja melayu, dan hak kaum-kaum lain? Jawab. Keempat, siapa boleh menguruskan ekonomi kita dengan baik, membawa kita pada pertumbuhan yang memberangsangkan? Jawab. Kelima, siapa boleh jamin perpaduan dan keharmonian negara kita? Jawab. Keenam, siapa boleh membuat perubahan dan pembaharuan secara tersusun? Siapa buat transformasi pada negara kita? Jawab! Ketujuh dan terakhir, siapa yang boleh tentukan kemakmuran negara kita sehingga kita dengan izin Allah boleh menjadi negara maju pendapatan tinggi? Saudara saudari sekalian, pada malam yang bertuah dan bersejarah ini, biarlah stadium ini menjadi saksi bahawa kita semua umat melayu berkumpul, dengan penuh semangat dan penuh keyakinan. Siapa kata sokongan dan dokongan orang Melayu pada UMNO sudah menurun? Hari ini majlis ini menyaksikan sokongan kita yang semakin meningkat. Saya nak tanya kalau kedudukan perlembagaan orang Melayu, apabila Islam diasak, dan apabila institusi negara diperlekeh, maka siapa yang terkedepan mempertahankan kalau bukan UMNO. Tuan-tuan dan puan-puan, sesungguhnya UMNO telah berjalan begitu jauh, setiap inci tanah ini telah kita makmurkan, janganlah, janganlah sesekali biar ia dibinasakan oleh tangan pihak yang tidak bertanggungjawab. Biar putih tulang, jangan rakyat dan bangsa berputih mata. Kerana kelak, kita tidak mahu melihat anak cucu kita terbangsat hidup mereka. Maka kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menyembah alam kegagalan. Ayuhlah, ayuhlah, ayuhlah. Jangankan gerimis, hujan pun mari kita redah. jangan ribut taufan pun, mesti kita harungi, jangan air bah, gelombang badai pun harus berani kita harungi. Jangankan gerhana, gelap gelita pun pasti kita harungi. Ayuhlah semua, ayuhlah semua, ayuhlah semua! Biar berdentum guruh di langit walau kilat sambar-menyambar, berpaksikan kepada parti UMNO yang menunjangi BN! Hidup UMNO, hidup UMNO, hidup UMNO! Hidup Barisan, Hidup Barisan, Hidup Barisan! Selamat Hari Ulang Tahun UMNO! -Presiden UMNO Dato Seri Najib Razak |
You are subscribed to email updates from UMNO Cawangan Bukit Ampang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan