Sabtu, 6 Ogos 2011

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Syed Ali nasihatkan Anwar lupakan sahaja impian untuk jadi PM

Posted: 05 Aug 2011 07:51 PM PDT


DATUK Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan supaya melupakan sahaja impian untuk menjadi Perdana Menteri kerana rakyat negara ini sudah bosan dengan gelagat beliau, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

"Rakyat sudah menolak Anwar kerana mereka (rakyat) semakin meluat dengan cerita-cerita dongeng yang dijaja oleh Anwar dalam usaha untuk membersihkan diri beliau yang sudah tercemar dengan pelbagai isu," tegasnya.

Katanya, adalah terlalu hina bagi sesebuah negara bertamadun apatah lagi bagi Malaysia sebuah negara Islam memilih seorang pemimpin yang pernah dikaitkan dengan penyalahgunaan kuasa dan berdepan dengan kes liwat.

Sebaliknya kata beliau, Penasihat Umum PKR itu sewajarnya memberikan perhatian kepada keluarganya setelah beliau selama ini bergelumang dengan masalah moral yang menjijikkan.

"Anwar sepatutnya berasa malu untuk berdepan dengan masyarakat yang sudah tidak dapat lagi menerima beberapa siri pembohongan dan sandiwara politik beliau," ujarnya.

Beliau berkata, Anwar juga perlu insaf bahawa orang Melayu sudah menolak kehadiran beliau dalam politik setelah bertanggungjawab memecahbelahkan perpaduan rakyat di negara ini.

Katanya, Anwar yang bertanggungjawab mempelopori budaya politik kebencian dan dendam sebaik sahaja disingkirkan daripada UMNO dan kerajaan.

"Bermula daripada itulah, Anwar mula mencaturkan supaya orang Melayu berpecah-belah dan menyokong bukan Melayu bersikap biadap mempertikaikan hak ketuanan Melayu dan institusi raja-raja Melayu," katanya.

Lagipun kata Syed Ali, Anwar merupakan petualang yang tergamak memburuk-burukkan imej Malaysia di luar negeri terutama di negara Barat dalam usaha beliau mengemis simpati masyarakat antarabangsa.

"Di luar negara, beliau berkomplot dengan media asing termasuk kalangan Yahudi untuk merosakkan kestabilan ekonomi, budaya dan politik negara ini," katanya.

Menurut beliau lagi, seorang pemimpin yang mempunyai harga diri dan sayangkan bangsanya tidak akan sanggup menghina bangsa dan tanahairnya sendiri.

"Perbuatan khianat dan memburuk-burukkan Malaysia di luar negeri sudah menjadi darah daging Anwar sehinggalah cita-cita Mat Jenin beliau untuk menjadi Perdana Menteri tercapai," tegasnya.

Tidak cukup dengan itu jelas Syed Ali, Anwar sanggup bersubahat dengan DAP, sebuah parti rasis yang memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina menghina institusi raja-raja Melayu.

Katanya, beberapa peristiwa yang berlaku di Perak, Selangor dan Pulau Pinang sebelum ini jelas membuktikan Anwar sanggup 'memijak kepala orang Melayu' demi memuskan hati pemimpin DAP.

Anwar jelmaan Si-Kitol
"Ketika orang Melayu bangkit menentang DAP terutama Karpal Singh yang menghina raja-raja Melayu, Anwar hanya membisukan diri, sebaliknya dalam diam menyokong perbuatan biadab DAP," tegasnya.

Atas nama Pakatan Rakyat (PR) kata beliau lagi, Anwar juga turut bersubahat dengan perbuatan khianat Bersih untuk menghancurkan keamanan negara ini menerusi perhimpunan haram.

"Apa yang paling trajis dan malang kepada orang Melayu ialah apabila Anwar turut bersekongkol dengan pemimpin Bersih melawan titah Yang Di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor," ujarnya lagi.

Syed Ali mendakwa, perbuatan Anwar merupakan satu penghinaan dan penderhakaan secara terang-terangan kepada institusi raja-raja Melayu dan sewajarnya beliau diusir keluar daripada negara ini.

"Tingkah laku dan perbuatan khianat Anwar tak ubah seperti Si-Kitol, kaki putar belit, pendusta dan pemfitnah yang telah membawa kepada keruntuhan kerajaan Melayu Melaka," katanya.

Beliau khuatir permainan politik kotor Anwar itu akan menjadikan sejarah Si-Kitol berulang lagi dan ketika itu, orang Melayu akan merempat dan mengemis di tanahairnya sendiri.

Sehubungan itu jelas beliau, menyedari percaturan politik Anwar yang bakal merosakkan masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini, PAS, sekutu PKR dalam PR terpaksa mencari alternatif untuk menyingkirkan Anwar.

Oleh sebab itu katanya, secara sulit PAS mengatur strategi untuk menawarkan jawatan Ketua pembangkang kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menggantikan Anwar.

"Ini menunjukkan PAS sendiri sudah tidak yakin lagi dengan kredibiliti Anwar dan mereka (pembangkang) berkeyakinan peluang untuk Anwar bebas daripada pertuduhan kes liwat terlalu tipis," tegasnya.

Selain itu kata beliau, PAS bimbang selagi Anwar mengetuai pakatan pembangkang, peluang PAS untuk mengekalkan pengaruh mereka di beberapa negeri yang majoriti Melayu pada PRU ke-13 akan terjejas.

"PAS sudah tentu tidak sanggup lagi memikul biawak hidup, Anwar menjadi beban kepada pakatan pembangkang," tegasnya.








Tiada ulasan:

Pengikut