Isnin, 2 Mei 2011

PEMUDA UMNO BAHAGIAN JASIN

PEMUDA UMNO BAHAGIAN JASIN


HANYA DAP SAHAJA YANG UNTUNG....PAS SELAMANYA RUGI

Posted: 01 May 2011 07:08 PM PDT

PM: Kerjasama Pas-Dap Hanya Untungkan Dap
1Share

KUALA TERENGGANU, 30 April – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata PAS tidak pernah untung apa-apa pun dalam pakatan pembangkang, malah mereka hanyalah menjadi alat kepada parti DAP.

Perdana Menteri berkata pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini misalnya, PAS telah bekerja keras, sebaliknya DAP yang dilihat meraih kejayaan daripada usaha keras mereka itu.

"Kita lihat poster di sini (Terengganu) "PAS ganti UMNO", realitinya "DAP ganti PAS", di Sarawak (pilihan raya negeri 16 April lepas), PAS berkempen berhempas pulas, akhirnya, yang untung, DAP.

"PAS, cukuplah dalam pakatan pembangkang, alihlah kepada yang lain, tak masuk BN (Barisan Nasional) pun tak apa, tetapi keluarlah dari pakatan pembangkang," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pangsapuri Rakyat Pulau Duyong, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Perdana Menteri berkata pakatan pembangkang yang disertai PAS selama ini dilihat tidak pernah menguntungkan mereka dalam politik.

"PAS tak dapat apa-apa keuntungan, sebab itu tak ada makna (mereka) kekal dalam pakatan pembangkang, sama ada dia nak bergabung dengan kita (Barisan Nasional), itu soal lain.

"Tapi yang saya nak tekankan, dia (PAS) tidak ada mendapat apa-apa manfaat malah secara tidak langsung menguntungkan parti DAP," katanya.

Najib berkata DAP selama ini dilihat mendominasi pakatan pembangkang.

"Kita tengok dalam banyak isu DAP akan tentang kalau itu (sesuatu perkara atau isu) dianggap sebagai yang tidak boleh diterima berdasarkan ideologi DAP…mereka (PAS dan DAP) mungkin tidak dapat kata sepakat dalam isu-isu utama."

Perdana Menteri berkata sekiranya PAS mahu memperjuangkan Islam, DAP bukanlah rakan sebenar dalam perjuangan berkenaan.

Ditanya usaha perpaduan yang pernah dibincangkan sebelum ini antara Umno dan PAS, Perdana Menteri berkata: "Perkara itu boleh, (tapi) kita tak boleh nak menjangkakan sesuatu, tapi saya nak sebutkan (dalam) pakatan rakyat sekarang ni cuma menguntungkan DAP sahaja.

Berita Bertarikh 30 April 2011 Pada 6:59 PM





Relakah anak cucu anda jadi 'pengemis' di tanah air sendiri......

Posted: 01 May 2011 06:54 PM PDT

Melayu merempat di tanah air sendiri jika terus bersengketa
Oleh Muhammad Anwar Fahmi Abdullah

2011/05/02
SENARIO ledakan globalisasi terkini adalah pancaroba ketamadunan masyarakat dalam pelbagai aspek yang meliputi perpecahan dalam rumah tangga, organisasi, masyarakat, parti politik mahupun konflik antara negara.

Pada hakikatnya ia tidak langsung memberikan kekuatan untuk pihak berkonflik, bertegang urat, berselisih faham, prasangka, perang mulut dan cantas mencantas sesama sendiri mahupun antara puak, kabilah dan negara. Pada hakikatnya juga setiap tindakan ke arah perpecahan, konflik atau permusuhan bakal menjahanamkan masa depan keluarga, masyarakat, negara mahupun secara afdalnya dirujuk kepada bangsa itu sendiri.
Perkembangan mutakhir ini amat membimbangkan pelbagai pihak kerana konflik ini mampu merencatkan road map atau perancangan serta agenda yang ingin dicapai oleh mana-mana pihak demi kepentingan umum khususnya agama, bangsa dan negara.
Islam malah mana-mana budaya dan norma masyarakat melarang perpecahan antara manusia, perang mulut antara negara malah perpecahan yang menjurus kepada konflik berpanjangan.

Merujuk firman Allah dalam surah al-Anfaat ayat 46 yang bermaksud: "Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah, kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati, sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar."

Namun, dunia pancaroba yang mengharungi ledakan perkembangan globalisasi mengheret manusia saling bersaing sehinggakan kita lupa tanggungjawab sebagai khalifah di bumi yakni menyeru kebaikan dalam setiap urusan kebajikan dan menuju kebenaran serta membawa kesejahteraan.

Namun, benarlah firman Allah SWT, bahawa perbalahan, saling membantah dan kecelaruan berpanjangan bukan saja bakal menjahanamkan masa hadapan antara pihak berbalah, malah nikmat dunia diberikan Allah SWT juga bakal ditarik tanpa disedari kedua-dua pihak yang berbalah.
Perselisihan, percanggahan pendapat, perjuangan kepartian sesama pemimpin, golongan dan parti akhirnya membuka peluang luas untuk pihak tidak bertanggungjawab mengutarakan isu kepentingan hak pribumi dan penghapusan keistimewaan Melayu di negara ini.

Individu berkaitan juga menyatakan beliau akan menyokong penuh parti yang sanggup menggugurkan hak pribumi yang sedia terpelihara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan juga di bawah kemuliaan serta pemeliharaan di bawah kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Sedar atau tidak walaupun pahit bak hempedu, rakyat wajar sensitif dengan kenyataan terbuka dan juga menyentuh hak Bumiputera di negara ini yang sudah lama terpelihara mengikut tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu dan juga Undang-Undang tertinggi di Malaysia yakni Perlembagaan Persekutuan.

Namun, lantaran sikap ingin menegakkan perjuangan mengikut rentak tari sedia ada kita lupa, Temasek melayang dari Malaya, Pulau Batu Putih dihanyutkan Kapal Dagang Singapura kini apa lagi yang tinggal.

Biar seribu ucapan dilaungkan, suatu hari kita akan merempat di tanah air sendiri. Setiap warga negara tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan wajar memahami sensitiviti kaum, jauhi usaha menggugat hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera Sabah, Sarawak.

Kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuka ruang cukup luas, demi menjaga perpaduan kaum di negara ini. Beliau merealisasikan Gagasan 1Malaysia, maka keseluruhan rakyat mendapat pelbagai peluang secara realistik dari semasa ke semasa tanpa menggugat hak keistimewaan golongan Bumiputera.

Namun, perselisihan antara tiga perkara pokok yang membabitkan retorik komunikasi antaranya Ethos, Pathos dan Lagos mengheret pemimpin berkonflik malah penyokong parti turut mengikut rentak tari, apapun perjuangan kita, jangan sampai kita lupa akan keruntuhan tamadun yang sudah lama kita bina.

Sejarah Kesultanan Melayu Melaka turut menjadi saksi lantaran perpecahan pemimpin, umat Islam serta rakyat menyebabkan penjajah mencuri peluang meluaskan sayap dan mengaut segala hasil bumi Malaya, namun siapa yang masih mengenang sejarah lagi, kita bangsa yang jarang sekali ingin merenung apa lagi untuk berfikir.

Penulis ialah Pensyarah Universiti Teknologi Mara Cawangan Melaka

Penyertaan PAS hanya rugikan Melayu-Islam

Posted: 01 May 2011 06:53 PM PDT

Minda Pengarang: PAS sepatutnya sedar penyertaan dalam pakatan rugikan Melayu-Islam


2011/05/02
SEJAK menyertai pakatan pembangkang, PAS dilihat lebih mengikut telunjuk rakan sekutunya terutama DAP. PAS langsung tidak mempunyai ruang untuk menyuarakan pendirian mereka, apatah lagi untuk menegakkan sebuah negara Islam yang menjadi dasar perjuangan mereka. Setiap kali PAS cuba melaksanakan sesuatu usaha berdasarkan kepentingan Islam, awal-awal lagi rakan sekutunya akan menyatakan kurang senang mereka dengan program PAS dengan alasan ia mencetuskan kebimbangan penyokong pakatan khususnya kepada bukan Islam. Hakikatnya, PAS terpinggir dalam pakatan pembangkang dan suara serta tindakannya semata-mata mahu menjaga hati DAP. PAS hanya digunakan untuk meraih sokongan orang Melayu, tetapi apabila sudah berkuasa DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memonopoli kuasa dan menentukan corak pemerintah seperti yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor. Justeru, kenyataan Datuk Seri Najib Razak ketika di Terengganu, kelmarin supaya PAS keluar daripada pakatan pembangkang adalah wajar kerana ia bukan saja merugikan PAS, tetapi orang Melayu-Islam di negara ini. Perdana Menteri yakin tiada sebab lagi bagi PAS untuk terus berbaik-baik dengan rakan sekutunya itu kerana sudah jelas bahawa DAP tidak pernah memperjuangkan Islam, malah menolaknya sama sekali sejak awal lagi.

PAS seharusnya mampu untuk menentukan arah perjuangannya sendiri tanpa perlu didalangi DAP atau PKR. Banyak pihak melihat PAS sebenarnya memiliki jentera parti yang lebih tersusun berbanding rakan sekutunya itu, tetapi kekuatan yang ada hanya diperkudakan oleh DAP untuk kepentingan politik sempit mereka yang berasaskan perkauman. Kita percaya orang Melayu dapat melihat situasi ini dan kita tidak menolak ia antara punca utama PAS tewas kepada calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa pilihan raya kecil lalu. Kerjasama rapuh PAS-DAP ini hanya menguntungkan sebelah pihak iaitu DAP yang mendapat banyak manfaat. Sokongan terhadap DAP semakin kuat terutama daripada orang Cina seperti yang berlaku dalam pilihan raya negeri Sarawak pada pertengahan April lalu. Kita percaya di kalangan ahli dan pemimpin PAS sendiri turut merasai keadaan yang sama bahawa 'berkawan' dengan DAP hanya merugikan PAS.
Apapun, pertelingkahan tanpa kesudahan antara UMNO dan PAS hanya merugikan orang Melayu-Islam. Apabila orang Melayu yang menjadi majoriti dalam negara ini berbalah dan berpecah mereka sebenarnya akan menjadi lemah, malah menjadi minoriti. Jika keadaan itu berlaku sudah pasti ia akan diambil kesempatan oleh pihak tertentu terutama DAP untuk memperluaskan pengaruhnya. Kita percaya DAP secara senyap hanya mentertawakan PAS kerana mereka berjaya dipergunakan. Persoalannya, dapatkan PAS melihat keadaan yang berlaku ini. Seperti kata Perdana Menteri jika PAS serius mahu memperjuangkan Islam maka parti itu tidak boleh bekerjasama dengan DAP kerana itu adalah realiti politik, mereka mempunyai ideologi sangat berbeza. Kita tidak mengharapkan antara UMNO-PAS sebagai parti mewakili orang Melayu-Islam terbesar di negara ini dapat bergabung dalam waktu yang singkat ini. Namun, kita mengharapkan PAS sedar penyertaan mereka dalam pakatan pembangkang tidak menguntungkan orang Melayu-Islam. PAS sewajarnya keluar daripada pakatan pembangkang. Saranan Perdana Menteri ini tidak wajar dilihat sebagai satu muslihat politik, tetapi perlu dipertimbangkan secara rasional. PAS perlu memikirkan perkara ini semasak-masaknya. PAS mungkin lupa musuh sebenar mereka bukan UMNO tetapi DAP dalam menegakkan syiar Islam di negara ini.

Ahli PAS kena desak kepimpinan buat keputusan keluar pakatan.....

Posted: 01 May 2011 06:50 PM PDT

Keluar pembangkang mampu selamatkan PAS
Oleh Manja Ismail

2011/05/02
Gabungan dengan PKR, DAP tak banyak bantu prestasi parti

JIKA prestasi dalam pilihan raya boleh dijadikan ukuran, kekalahan PAS berturut-turut dalam beberapa pilihan raya kecil dan sekali lagi gagal menapak di Sarawak dalam pilihan raya negeri baru-baru ini, ternyata sokongan pengundi khususnya Melayu/Islam terhadap parti itu mulai menurun.

Dalam siri pilihan raya kecil yang menyaksikan pertembungan UMNO dengan PAS, parti pembangkang itu hanya berjaya merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu tetapi kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan. Dalam beberapa pilihan raya kecil membabitkan kerusi yang disandang Barisan Nasional (BN) selepas itu, PAS bukan saja, kalah tetapi majoriti yang dicatat oleh calon-calonnya menurun secara ketara.
Kegagalan berturut-turut PAS di Tenang, Kerdau dan Merlimau turut mengundang kritikan bukan saja di kalangan parti itu tetapi daripada pemimpin parti lain dalam pakatan pembangkang. Kekalahan calon PAS di DUN Tenang misalnya, mula menghilangkan keyakinan sekutu kuatnya DAP apabila Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng secara terang-terangan menyifatkan jentera kempen PAS lemah. Walaupun PAS berjaya meningkatkan sedikit undi popularnya di lima kerusi DUN di Sarawak, ia lebih berpunca daripada undi protes pemilih di negeri itu berbanding sokongan terhadap perjuangan parti.
Justeru, apabila Datuk Seri Najib Razak kelmarin mempelawa PAS untuk menyertai BN dalam usaha memperjuangkan agenda bangsa, agama dan negara, ia bukan sekadar permainan politik, tetapi lebih kepada survival parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu sendiri.

Ini kerana penyertaan PAS dalam pakatan pembangkang selama ini dilihat tidak pernah menguntungkan mereka dalam politik.

"PAS tak dapat apa-apa keuntungan, sebab itu tak ada makna (mereka) kekal dalam pakatan pembangkang, sama ada dia nak bergabung dengan kita (BN), itu soal lain. Tapi yang saya nak tekankan, dia (PAS) tidak ada mendapat apa-apa manfaat malah secara tidak langsung menguntungkan parti DAP," kata Najib di Kuala Terengganu kelmarin.

Memang jika dilihat kepada keputusan pilihan raya, PAS paling sedikit menerima manfaatnya daripada pakatan pembangkang berbanding DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ini kerana kehadiran dan bantuan PAS di kawasan majoriti bukan Melayu atau kawasan bandar memberi kemenangan besar kepada calon DAP atau calon bukan Melayu daripada PKR.
Bagaimanapun, bagi kawasan luar bandar dengan majoriti pengundi Melayu, PAS terpaksa berjuang sendirian kerana kehadiran DAP bukan saja tidak banyak membantu, malah boleh mengalihkan sokongan pengundi terhadap parti itu. Senario ini jelas dilihat kepada dua pilihan raya kecil terakhir yang menyaksikan BN dapat meningkatkan majoriti kemenangannya baru-baru ini.

Ini belum termasuk prinsip asas perjuangan PAS dan DAP yang jelas amat jauh berbeza. Bukan rahsia lagi, PAS dilihat lebih banyak mengalah kepada DAP terutama membabitkan matlamat perjuangannya seperti yang sering dicanang oleh parti itu, mahu menjadikan Malaysia sebuah negara Islam. Seperti kata Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kedudukan PAS dalam pakatan pembangkang tidak ubah sebagai 'strange bed partner', dengan kepentingan dan tujuan parti itu amat berlainan berbanding parti lain dalam pakatan pembangkang.

Bagaimanapun, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat mungkin tidak berfikir sedemikian. Seperti sebelumnya, Menteri Besar Kelantan itu, kelmarin menegaskan bahawa PAS tidak akan keluar daripada pakatan pembangkang.
"Tolak, tolak, itu perkara lama," kata Nik Aziz kepada pemberita di Kota Bharu sebagai mengulas kenyataan Najib supaya parti itu meninggalkan pakatan pembangkang. Begitupun, umum mengetahui kebanyakan kenyataan Nik Aziz sejak akhir-akhir ini tidak lagi mencerminkan pendirian rasmi PAS.

Hakikatnya, di kalangan kepemimpinan PAS sendiri sudah menyedari risiko jalinan kerjasama parti itu dengan DAP sejak dulu lagi. Itulah sebabnya timbul cadangan kerajaan perpaduan antara PAS dan UMNO yang dicetuskan sendiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar parti dua tahun lalu, bagi membincangkan kepentingan umat Islam di negara ini.

Namun, Nik Aziz bukan saja menentang cadangan itu, malah mendesak PAS mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi menyingkirkan beberapa pemimpin parti itu yang dikategorikan prokerajaan perpaduan iaitu Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Kalau PAS dilihat tidak sekata dengan DAP dari segi prinsip perjuangan yang berbeza, masalah parti itu dengan PKR dilihat lebih menjurus kepada layanan terhadapnya. Lihat saja apa berlaku kepada Hassan Ali bila menyuarakan pandangan parti itu terhadap beberapa keputusan kerajaan PKR di Selangor.
Terbaru ialah kenyataan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali terhadap kenyataan Mustafa bahawa PAS akan mengkaji semula masa depannya bersama pakatan pembangkang, jika siasatan pihak berkuasa membuktikan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah lelaki dalam rakaman video seks.

"Apakah benar Mustafa Ali keluar kenyataan begitu untuk menyinggung Keadilan (PKR) dan DSAI (Anwar)? Rakyat tuntut penjelasan. Pimpinan perlu akur (dengan) kerangka besar agenda bersama pakatan rakyat. Jangan jadi jaguh kampung yang tidak lagi relevan tapi mahu perhatian," kata Azmin seperti dipetik dari laman Twitternya. Walaupun Mustafa kemudian menafikan mengeluarkan kenyataan sedemikian, komen Azmin dilihat oleh kebanyakan ahli PAS agak kasar yang tidak sepatutnya dinyatakan apalagi terhadap seorang pemimpin kanan dan veteran parti itu.

Berdasarkan beberapa perkembangan ini, tidak salah rasanya kepemimpinan PAS menilai secara jujur kedudukan mereka dalam pakatan pembangkang sekarang walaupun cadangan itu datang daripada musuh politiknya. Dalam politik, tidak ada kawan dan musuh yang kekal. Yang utama ialah survival parti untuk mencapai matlamat perjuangan.

MCA IZINKAN PAS SERTAI BN ?

Posted: 01 May 2011 06:46 PM PDT

MCA beri syarat PAS sertai BN


2011/05/02
AYER KEROH: MCA tidak membantah jika PAS mahu menyertai Barisan Nasional (BN) dengan syarat parti itu perlu bersedia mengetepikan dasar menubuhkan negara Islam.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkata pendirian MCA yang menolak penubuhan negara Islam adalah jelas dan diketahui parti komponen Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO.
"Saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya PAS keluar pakatan pembangkang adalah baik bagi perpaduan Melayu dan masyarakat Islam.
"Jika mereka (PAS dan UMNO) ingin bertemu dan berbincang, kita tiada masalah. Dalam negara demokrasi, pelbagai pihak bebas mengadakan pertemuan dari masa ke masa bagi membincangkan isu bersama," katanya pada sidang media selepas menghadiri Kem Sumbang Saran Pemimpin MCA Nasional di sini semalam.

Soi Lek diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri supaya PAS keluar daripada pakatan pembangkang yang jelas tidak memperjuangkan agenda bangsa, agama dan negara. Hadir sama Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Sementara itu, mengulas kem berkenaan, Soi Lek berkata ia diadakan bagi mendapatkan pandangan pucuk pimpinan peringkat bahagian MCA mengenai langkah memantapkan jentera parti itu dan BN sebagai persediaan awal menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Walaupun tarikh pilihan raya umum belum diketahui tetapi kami berpendapat adalah menjadi tanggungjawab MCA untuk memastikan jentera parti bersiap sedia di peringkat awal supaya sebaik saja tarikh pilihan raya dimaklumkan, jentera pilihan raya kami dapat bergerak dengan cepat dan tersusun.
"Apa yang kami tekankan kepada ahli supaya sentiasa bersatu, berkeyakinan dan bekerja keras mulai sekarang. Selain itu, mereka perlu bersedia dengan pelbagai serangan terutama daripada DAP yang sentiasa melakukannya tanpa asas di samping mahir memutarbelit pengundi," katanya.

PAS WAJAR UCAP SELAMAT TINGGAL KEPADA DAP.

Posted: 01 May 2011 06:43 PM PDT

Sokong PAS keluar

2011/05/02

KERATAN muka depan Berita Minggu semalam.
KERATAN muka depan Berita Minggu semalam.
Pemimpin, persatuan Melayu setuju syor cerai DAP

KUALA LUMPUR: Pemimpin dan persatuan Melayu menyokong cadangan Datuk Seri Najib Razak supaya PAS keluar daripada pakatan pembangkang demi kepentingan dan perpaduan Melayu dan Islam.

Mereka mahu PAS melihat isu perpaduan ummah dengan pemikiran lebih matang selaras dengan perkembangan senario politik semasa, selain ideologi perkauman yang dibawa sekutunya, DAP.
Mereka juga sependapat PAS perlu menjauhi DAP yang mahu menjadikannya alat untuk memecahkan perpaduan dan kelangsungan kuasa politik Melayu untuk mencapai cita-cita politik mereka.
Ketua Dua Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, berpendapat jika PAS dan UMNO bekerjasama, ia dapat menstabilkan senario politik serta mengukuhkan perpaduan Melayu.

Katanya, sebagai parti yang menggunakan nama Islam, PAS seharusnya memilih parti politik yang dianggotai umat seagama dan Melayu iaitu UMNO.

"Kenapa pilih bersama DAP sedangkan ideologi perjuangan PAS dan DAP amat berbeza kecuali persamaan untuk menjatuhkan UMNO dan BN," katanya.

Beliau percaya perpecahan sesama umat Islam dan Melayu akibat perbezaan fahaman politik akan reda jika ada parti yang mengutamakan perjuangan bangsa seagama.
Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Irmuhizam Ibarahim, berkata PAS perlu sedar mereka dipergunakan DAP dan harus keluar daripada perangkap itu yang hanya menjadikannya alat untuk meraih sokongan Melayu.

"Perdana Menteri sudah membuka ruang untuk penyatuan Melayu dan umat Islam. Mengapa tidak cuba disambut dengan hati terbuka," katanya.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu, Dr Hasan Mad percaya kepemimpinan PAS terutama generasi mudanya menyokong perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) jika matlamatnya untuk perpaduan.

Hasan percaya kenyataan Perdana Menteri meminta PAS tinggalkan sekutu pembangkang adalah daripada perspektif nasional, bukan politik dan menjurus kepada kepentingan negara.

"Kepada dua tiga pemimpin PAS yang terlalu taksub kepada pakatan pembangkang... inilah masa untuk sedar mengenai budaya politik DAP yang sebenarnya, ajaklah penyokong PAS beralih arah walaupun tidak bersama UMNO dan BN, tetapi jauhi DAP.

"Jika PAS keluar pakatan, tentunya dapat menyatupadukan Melayu," katanya.
Kelmarin, Najib berkata sudah tiba masanya PAS meninggalkan pakatan pembangkang, khususnya DAP yang tidak memperjuangkan agenda bangsa, agama dan negara.

Selasa lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata partinya menutup pintu perbincangan dengan UMNO dan BN berhubung kerajaan perpaduan bagi mengelak pemimpinnya terus bertelagah sesama sendiri.

Isu itu timbul apabila Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam blognya mencadangkan supaya satu Muktamar Agung Khas (EGM) bagi menukar 'dua tiga kerat' pemimpin parti yang didakwa bermasalah bagi membersihkan parti daripada golongan properpaduan dengan UMNO.

Di KLUANG, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata permintaan Perdana Menteri bukanlah cadangan yang dibuat Najib terhadap parti itu, tetapi berdasarkan realiti politik semasa.

"Kita lihat ketika ini (pembabitan PAS dalam pembangkang) hanya menguntungkan satu parti iaitu DAP. Ini bukan isu perkauman atau nak menuduh sesiapa. Kita nak ingatkan kepada PAS bahawa apa yang dibuat ini tidak membawa manfaat. Saya harap mereka kaji dan buat pertimbangan yang terbaik," katanya.

Di IPOH, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta PAS memperhalusi dan mempertimbangkan saranan Presiden UMNO itu.

"PAS perlu melihat perkara itu (permintaan keluar pakatan pembangkang) dengan pemikiran lebih matang selaras dengan perkembangan senario politik masa kini.

"Takkan mereka tidak boleh fikirkan siapa yang mendapat manfaat. PAS mengharapkan sesuatu daripada DAP, manakala DAP mengharapkan sesuatu daripada PAS... tetapi akhirnya yang menang DAP," katanya.

Oleh Norfatimah Ahmad, Mohd Anwar Patho Rohman, Norhayati Abllah, Mohamed Farid Noh dan Zanariah Abd Mutalib

 

  

Kenapa Pas perlu tinggalkan DAP?

Posted: 01 May 2011 06:38 PM PDT

Kenapa Pas perlu tinggalkan DAP?

ZACK BEE
Pulau Pinang

APABILA Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa Pas meninggalkan pakatan pembangkang jika benar-benar ingin memperjuangkan Islam ia bukanlah satu seruan yang berlandaskan kepada retorik politik.

Tetapi ia seruan ikhlas kepada Pas memandangkan DAP bukanlah parti yang benar-benar jujur bekerjasama dengan sesiapapun.

DAP adalah parti cauvinis yang hanya mementingkan kuasa politik mereka sahaja dan akan bertindak tanpa mempedulikan perasaan rakan-rakan sekutunya.

Mereka bekerjasama dengan Pas bukan kerana hendak membantu Pas mencapai cita-cita perjuangan parti berkenaan tetapi semata-mata untuk memperalatkan Pas bagi mendapat sokongan orang Melayu.

Sebab itulah, jika Pas masih berada dalam pakatan berkenaan, Pas harus melupakan soal perjuangan Islamnya kerana DAP sama sekali tidak akan mengizinkan ia direalisasikan.

Sebelum ini kita sudah menyaksikan bagaimana ada pemimpin DAP dengan lantang memberi amaran kepada Pas supaya 'langkah mayat dia dahulu' kalau mahu menegakkan perjuangan Islam.

Semua itu sepatutnya memberikan peringatan kepada Pas bahawa DAP adalah sebuah parti yang tidak sensitif dan akan melakukan apa sahaja bagi membolehkan ia menjadi parti utama dalam pakatan pembangkang.

Ertinya, apabila Pas sudah berada dalam pakatan berkenaan apa pun mereka hendak lakukan terutamanya dalam soal dasar Islam harus mendapat restu DAP terlalu dahulu.

Selama ini pun kita sudah menyaksikan bagaimana DAP mahu menjadi 'taiko' apabila mereka bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas memerintah di Selangor dan Pulau Pinang.

Di Selangor, walaupun Menteri Besar adalah daripada PKR tetapi exco-exco daripada DAP dilihat jauh lebih berkuasa.

Ia jelas apabila terdapat tindakan-tindakan yang dilakukan tanpa mengambil kira apa pandangan Pas yang turut berada dalam kerajaan negeri.

Di Pulau Pinang tidak perlu dihebahkan lagi kerana semua orang dapat menyaksikan bagaimana cauvinisnya DAP mentadbir di negeri itu, segala-galanya mereka mahu kuasai dan semakin ramai orang Melayu di negeri itu berasa tertindas.

Wakil Pas yang berada dalam kerajaan negeri boleh dianggap hanya sekadar memenuhi kuota sahaja, suara mereka tidak begitu didengari.

Selain itu, apa yang perlu difahami DAP mengamalkan pendekatan politik yang cukup berbahaya kepada masa depan negara.

Politik perkauman yang digunakan oleh DAP seperti mana berlaku pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini sudah menjadi bukti bahawa DAP bergantung kepada pendekatan seumpama itu bagi meraih sokongan.

DAP berusaha meraih sokongan kaum Cina dengan mengapi-apikan mereka dari sudut perkauman.

Mereka memburuk-burukkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang mewakili kaum Cina dengan melemparkan pelbagai tuduhan.

Semua tindak tanduk DAP ini sepatutnya menginsafkan Pas bahawa mereka hanya membuang masa berada di dalam pakatan.

Nasib Pas menjadi lebih buruk kerana PKR dilihat memihak kepada DAP berbanding Pas.

Sebab itulah seruan Perdana Menteri kepada Pas tidak boleh dipandang sepi, sebaliknya Pas perlu mengkaji dengan mendalam perkara berkenaan.

Ini bukanlah soal Pas hendak bergabung dengan BN atau tidak tetapi soal kita tidak mahu melihat Pas hanya menjadi mangsa buli kepada DAP selagi mereka berada dalam pakatan.

Jika Pas terlalu yakin bahawa DAP sudah berubah dan mampu menerima perjuangan Islam yang diketengahkan oleh parti itu, cubalah pemimpin-pemimpin Pas bercakap berhubung perkara berkenaan,.

Kita percaya jika itu berlaku, pemimpin-pemimpin DAP akan melenting dan bantahan mereka pasti akan mendapat sokongan pemimpin-pemimpin PKR yang talian hayat politik mereka bergantung kepada DAP.

Justeru sebagai orang Melayu, kita berharap kalau pun Pas begitu ingin berkuasa, janganlah terperangkap dengan mainan politik DAP kerana kesudahannya Pas sendiri yang akan rugi.

Apa yang lebih malang lagi, kerugian berkenaan bukan sahaja akan memberi kesan kepada parti itu sahaja tetapi juga orang Melayu keseluruhannya.

Ia kerana orang Melayu akan terus berpecah-belah akibat perbezaan fahaman politik. Tidak salah untuk Pas terus menjadi pembangkang tetapi jadilah pembangkang yang tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan DAP.

Melalui cara itu Pas akan lebih bebas untuk bercakap soal kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

Pandangan ini diberikan kerana kita tidak mahu melihat sebuah parti yang memperjuangkan Islam hanya dilayan bagaikan melukut di tepi gantang oleh DAP.

Tiada ulasan:

Pengikut