Ahad, 6 Februari 2011

Ahli Parlimen Kota Belud

Ahli Parlimen Kota Belud


Anwar, Azizah dan Azmin - Cakap tak serupa bikin...

Posted: 06 Feb 2011 07:59 PM PST

Dua hari lepas, cuaca yang mendung dengan awan yang kelabu gagal untuk menyejukkan keadaan politik negeri Sabah. Walaupun seharian suntuk hujan renyai-renyai, suhu politik negeri Sabah semakin panas dengan pengumuman Ustaz Pajuddin Nordin, Ketua PKR Sabah yang baru saja dilantik oleh Presiden PKR, untuk keluar dari parti PKR dan meletakkan jawatan serta merta.

Pada pengamatan saya, sejak akhir-akhir ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan saudara Azmin Ali asyik membuat banyak keputusan yang menghina kepimpinan PKR Sabah. Keputusan mereka ini adalah satu proses mengaibkan kepemimpinan PKR Sabah secara konsisten dan berterusan.

Contohnya, satu ketika dulu, ahli-ahli PKR terkejut apabila diberitakan bahawa Anwar mengisytiharkan tidak akan membenarkan pemimpin PKR yang bukan Islam seperti Datuk Dr Jeffrey Kitingan menjadi Ketua PKR Sabah walaupun jelas ramai yang mahu beliau menyandang jawatan itu. Kenyataan menghina itu sangat bertentangan dengan komitmen Anwar, Azizah dan Azmin yang sering mendabik dada mengatakan  PKR adalah parti 'multiracial' dan PKR akan menghormati hak-hak orang Sabah.

Selepas itu penghinaan kepada kepimpinan PKR Sabah sekali lagi berlaku semasa pilihanraya kecil Batu Sapi. Kali ini, ramai orang terkejut dan tertanya-tanya kenapa Anwar, Azizah dan Azmin memilih saudara Ansari Abdullah sebagai calon PKR dalam pilihanraya kecil tersebut sedangkan saudara Thamrin Jaini yang merupakan Ketua PKR Sabah pada waktu itu adalah anak tempatan. Apa rasional Anwar, Azizah dan Azmin memilih seorang calon yang datang jauh dari Tuaran yang tidak ada hubungan apa sekalipun dengan kawasan itu dan yang telah mengalami kekalahan demi kekalahan dalam piliharaya yang ditandinginnya sebelum ini? Hampir kesemua penganalisa politik berpendapat tindakan Anwar, Azizah dan Azmin itu seolah-olah mempermain-mainkan maruah dan reputasi kepimpinan saudara Thamrin sebagai Ketua PKR Sabah.

Kini isu perletakan jawatan Ustaz Pajuddin Nurdin sebagai Ketua PKR Sabah dua hari lalu menjadi bukti terkini penghinaan Anwar, Azizah dan Azmin kepada kepimpinan PKR Sabah.


Saya sebenarnya mengenali Ustaz Pajuddin agak lama. Beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan saya. Beliau bergelar Ustaz dan semua orang tahu dia seorang yang setia, jujur dan sanggup berkorban untuk perjuangan PKR. Malah setelah mendengar penerangan beliau, tidak keterlaluan kalau saya katakan beliau telah menjadikan Anwar sebagai pemimpin idola beliau. Selama 12 tahun beliau mengabdikan diri dalam perjuangan PKR, tanpa pedulikan masa, tenaga dan wang ringgit. Malah kepentingan keluarga juga diketepikan demi kepentingan parti.

Sebelum sidang akhbar mengumumkan perletakan jawatan beliau, saya sempat berbual dengan Ustaz Pajuddin. Nyata beliau dilantik menjadi Ketua PKR Sabah tanpa beliau pernah melobi jawatan tersebut. Malah Ustaz Pajuddin tidak pernah menjadikan jawatan sebagai pengukur kesetiaan beliau kepada parti. Beliau berpegang teguh kepada komitmen perjuangan tanpa memikirkan pulangan atau habuan. Apa saja arahan parti akan dituruti dan dilaksanakan tanpa banyak soal. Justeru itu, setelah kepimpinan tertinggi PKR membuat keputusan untuk melantiknya menjadi Ketua PKR Sabah yang baru, beliau terpanggil untuk memikul tanggungjawab yang diberikan itu dengan sebaik mungkin walaupun beliau tahu akan menghadapi cabaran dan rintangan yang sukar.

Yang menjadi persoalan besar kepada orang ramai (termasuk juga Ustaz Pajuddin sendiri) ialah kenapa setelah melantik beliau menjadi Ketua PKR Sabah, Anwar, Azizah dan Azmin enggan memberi kerjasama atau menyokong beliau walaupun mereka mengetahui bahawa Ustaz Pajuddin akan berdepan dengan tekanan yang amat kuat daripada Ketua-Ketua Cabang yang lain yang tidak mahu mengikhtiraf perlantikan beliau. Sudah tentu sejak awal lagi, Anwar, Azizah dan Azmin menyedari hakikat bahawa perlantikan anak muda ini samalah dengan perumpamaan mencampak beliau kedalam laut yang penuh dengan ikan-ikan yu akan membahamnya tanpa belas kasihan. 

Anwar, Azizah dan Azmin sedar tanpa pembelaan, sokongan dan dokongan yang kuat dan jelas dari mereka, mana mungkin Ustaz Pajuddin boleh menjalankan tugas sebagai Ketua PKR Sabah dan diterima oleh pemimpin-pemimpin PKR Sabah yang jauh lebih berumur, 'senior' dan berjawatan daripada beliau? Jadi kenapa mereka tidak menghormati maruah dan pengorbanan Ustaz Pajuddin? Apakah Anwar, Azizah dan Azmin sengaja mahu menganiya anak muda bergelar ustaz ini dan meneruskan agenda menghina dan mengaibkan kepimpinan PKR Sabah seperti sebelum ini? Ustaz Pajuddin dalam sidang medianya secara sinis berkata, 'kepimpinan tertinggi PKR 'cakap tak serupa bikin'.

Kesimpulannya, Anwar, Azizah dan Azmin ternampak tidak menghormati kepimpinan PKR Sabah. Mereka mahu pemimpin-pemimpin PKR Sabah lemah supaya senang untuk mereka manipulasikan. Ini penting kerana politik Sabah memang sukar dan 'complicated'. Ramai orang politik yang terbakar jari kerana salah strategi dan percaturan bermain politik di negeri Sabah ini. Sebab itu, amat penting untuk Anwar, Azizah dan Azmin menghentak kaki dan  menunjukkan kepada kepimpinan PKR Sabah 'Who is the boss!'. Pada mereka, apa cara sekali pun, termasuklah membunuh karier politik kawan yang setia, Anwar mesti menduduki kerusi empuk Perdana Menteri!. 'The end justifies the means'.


Salam.
DARD

Tiada ulasan:

Pengikut