Khamis, 20 Januari 2011

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri


PILIHAN RAYA KECIL LAGI

Posted: 20 Jan 2011 11:05 AM PST

Assalamualaikum.

Belum pun tiba hari penamaan calon PRK Tenang, Johor yang dijadualkan esok (Sabtu - 22 Jan 2011), seorang lagi wakil rakyat di Melaka dilaporkan meninggal dunia malam tadi yang menandakan satu lagi PRK yang terpaksa diadakan.

Takziah saya ucapkan kepada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau Melaka, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan dan berdoa semoga roh Allayarham akan ditempatkan di kalangan insan-insan yang beriman. Semoga keluarga Allahyarham melalui dugaan ini dengan penuh sabar.

Adalah tidak elok jika saya menulis mengenai PRK yang akan diadakan di Melaka itu tetapi secara umumnya akan ada PRK baharu bakal diadakan.

Seperti yang kita semua sedia maklum, kali ini adalah paling banyak PRK yang terpaksa diadakan, sama ada disebabkan wakil rakyat yang meletakkan jawatan atau pun meninggal dunia. Sedang menanti dalam senarai ialah kes di Selangor berikutan Speaker DUN negeri itu mengistiharkan kerusi DUN Pelabuhan Kelang telah kosong atas sebab-sebab yang beliau telah umumkan.

Biarlah apa pun faktornya, PRK adalah satu proses yang menuntut kepada perbelanjaan yang besar. Sama ada kita menyukainya atau tidak, keadaan tersebut tidak boleh dielakkan lagi. Kecuali kes yang melibatkan kematian, kes-kes lain sehingga menyebabkan PRK terpaksa diadakan haruslah ditangani dengan sebaik mungkin.

Ini berlaku disebabkan kita terlalu bermain politik walaupun kita baharu sahaja mendapat mandat rakyat pada PRU ke-12 yang lalu. Sepatutnya selepas PRU, kita memberikan fokus kepada usaha membela nasib rakyat dan menunaikan segala janji yang ada.

Politiking yang terlalu melampau bagi saya telah mengganggu kerja-kerja wakil rakyat terhadap usaha menjaga kepentingan rakyat. Saya berpendapat, hal ini tidak boleh dipandang remeh dan sebelah mata. Harus ada sesuatu yang wajar dilakukan bagi mengelak agar ia tidakj terus berlarutan.

Sama-samalah kita fikirkannya.

Pengikut