UMNO CAWANGAN TAMAN SEJAHTERA, LUNAS KEDAH DARULAMAN |
Mohon maaf sahaja tidak cukup! Posted: 19 Jan 2011 04:34 PM PST JUMAAT lalu, genap seminggu tempoh diberikan oleh Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik supaya memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap pekerja sebuah restoran nasi kandar semasa operasi penyitaan di premis itu, dua minggu lalu. Wei Aik akhirnya akur dengan desakan tersebut dan berbuat demikian secara terbuka terhadap pemilik Restoran Nasi Kandar Mohamad Aliyar, Syed Kassali Mohamed Aliyar, 42. Bertempat di restoran berkenaan yang terletak di Gat Lebuh Macallum di sini, kedua-dua mereka kelihatan berjabat tangan pada hari tersebut sebagai tanda penyelesaian isu. Meskipun menerima permohonan maaf itu, hati dan perasaan Syed Kassali sebenarnya masih terguris. Ungkapan "Tutup kedai, balik India" yang dilontarkan dari mulut Wei Aik pada hari kejadian nyata terlalu sukar untuk beliau lupakan begitu sahaja. "Saya sebenarnya dalam keadaan terpaksa untuk menerima maaf dia (Wei Aik), atas tindak-tanduknya yang begitu agresif terhadap restoran dan pekerja saya. "Saya masih tidak boleh lupakan kata- katanya tempoh hari yang menyinggung perasaan kami semua. "Memang saya dan pekerja-pekerja saya dengar dia kata begitu, tapi kita tiada rakaman (audio dan visual) untuk ditunjukkan," katanya. Sebenarnya, bukan Syed Kassali seorang yang memendam perasaan tersebut. Ramai lagi kaum India Muslim atau lebih dikenali sebagai mamak yang tersinggung dengan ungkapan Wei Aik itu. Di tingkat 3 Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang menempatkan pejabat pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang selepas solat Jumaat baru-baru ini, kira-kira 50 orang India Muslim berhimpun. Menggelarkan diri mereka Suara Anak- Anak Mamak Pulau Pinang, mereka mendesak Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng itu meletakkan jawatannya. Sambil membawa kain-kain rentang yang tertulis 'DAP parti samseng', 'Enough mess of Guan Eng, new Chief Minister please' dan 'Malacca rejected Guan Eng, Penang should do the same', mereka berkumpul kira-kira sejam di situ. Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Komtar, Mohamed Ghani Abd. Jiman yang mengetuai kumpulan tersebut berkata, Wei Aik sepatutnya melepaskan jawatannya sekarang. Ia kerana, jelas beliau, tindakan wakil rakyat tersebut mengetuai operasi penguatkuasaan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) itu ternyata merupakan satu kesalahan berat. Menurutnya, sebagai ADUN, Wei Aik telah campur tangan dalam tugas penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan yang tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976. "Semasa mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) dulu, dia (Wei Aik) ada melafazkan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sebagai ADUN dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri. "Sekarang ini, dia sudah melanggar etika-etika yang ditetapkan, dia sudah melanggar perintah, sepatutnya sudah letak jawatan," ujarnya. Justeru, tegas beliau, pihaknya akan terus mendesak sehingga Wei Aik melepaskan jawatan bukan sahaja Setiausaha Politik Ketua Menteri tetapi juga ADUN. "Perlakuan buruk Wei Aik menyebabkan imej Guan Eng sebagai Ketua Menteri dan Setiausaha Agung DAP tercalar. "Dia bukan saja menjadi masalah kepada rakyat tetapi juga liabiliti besar buat Guan Eng dan pakatan pembangkang di Pulau Pinang," tegasnya. Lebih dikesalkan Mohamed Ghani, Guan Eng sehingga kini masih belum memberikan respons berhubung tindak-tanduk anak buahnya itu, sentiasa cuba mengelak daripada memberikan komen. "Sepatutnya dia (Guan Eng) bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala tindakan anak buahnya itu," katanya lagi. Pada tengah malam 2 Januari lalu, Restoran Nasi Kandar Mohamed Aliyar yang terletak di Gat Lebuh Macallum kecoh apabila kakitangan MPPP merampas kerusi, meja, televisyen serta peralatan lain yang terdapat di dalam premis tersebut. Sebelum restoran berkenaan didatangi penguat kuasa, berlaku satu kemalangan melibatkan dua buah kereta berhampiran restoran itu pada kira-kira pukul 10.10 malam. Sebuah kereta yang dipandu seorang wanita tua merempuh sebuah kereta lain yang dinaiki sepasang suami isteri sebelum terbabas sehingga ke kawasan kaki lima restoran berkenaan. Tidak lama kemudian, Wei Aik bersama-sama kakitangan MPPP 'menyerbu' restoran berkenaan dan mengeluarkan kata-kata kesat termasuk berunsur perkauman kepada pekerja restoran berkenaan. |
You are subscribed to email updates from UMNO CAWANGAN TAMAN SEJAHTERA, LUNAS KEDAH DARULAMAN To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan