Selasa, 18 Januari 2011

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri


BENTUK KEMENANGAN BN

Posted: 17 Jan 2011 12:04 PM PST

Assalamualaikum.
Jika pun dikatakan "tidak", namun ramalan di warung kopi mengatakan bahawa pilihan raya umum semakin hampir. Seronoknya mendengar apa yang mereka ceritakan, seolah-olah mereka tahu apa yang di fikiran Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.
Baiklah. Kita ketepikan soan betul atau salah mengenai ramalan tersebut. Soalnya, semua orang bercakap mengenai pilihan raya. Andaian saya mudah, orang kita terlalu fanatik dengan politik sehingga mereka berpolitik 24 jam sehari.
Apa pun, saya mengambil satu persepsi yang positif di mana jentera parti perlu bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya yang diadakan, sama ada pilihan raya kecil atau pilihan raya umum. Jadi, apakah dalam keadaan sekarang kita sudah bersedia?. Dalam keadaan iklim politik yang semakin tidak menentu, saya fikir sudah sampai masanya kita semua ahli-ahli parti mengetepikan hal-hal yang remeh dalam politik.
Semua orang tidak tahu bilakah pilihan raya umum akan diadakan. Mungkin tahun ini, mungkin tahun depan atau beberapa tahun lagi. siapa tahu selain Perdana Menteri sahaja. Biarlah. Kita tinggalkan seketika perkara itu.
Saya amat tertarik dengan kata-kata Presiden UMNO, DS Mohd najib Tun Razak bahawa beliau akan menggunakan kuasanya sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) untuk menentukan calon BN di PRK Tenang nanti. Saya berpendapat, jika semua pihak akur dengan pilihan pucuk pimpinan, UMNO/BN tidak akan berada dalam gambaran bermasalah walaupun hakikatnya tidaklah begitu.
Saya amat optimis bahawa jika kita semua akur dan diam dengan apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan, BN akan mampu menang besar dalam setiap pilihan raya. Pas tidak akan ke mana pun. Apabila Pas meletakkan calon wanita di PRK Tenang, saya melihatnya sebagai satu "permainan" mereka untuk menonjolkan kononnya Pas iktiraf wanita kerana mereka sendiri sedar bukan senang Pas hendak menang di sana.
Jadi, saya berharap semua pihak akan akur dengan kehendak pucuk pemimpin itu demi kemenangan BN.
Hakikatnya, rakyat sudah semakin sedar dengan apa yang dicanangkan pembangkang hanyalah satu permainan demi kuasa semata-mata. Tidak lebih daripada itu.
Kepada rakyat, lihatlah dengan matang apa yang sedang berlaku di depan mata. Usah berfikir secara emosional sehingga mengabaikan apa yang sepatutnya mereka pertahankan. Bukan kerana saya orang UMNO atau pemimpin UMNO tetapi kerana saya melihat kenyataannya bahawa hanya BN sahaja yang mampu membela nasib rakyat dan memajukan negara ini.
Insaflah bahawa pembangkang telah GAGAL dalam mengurus kuasa yang mereka perolehi di negeri-negeri tertentu di negara ini. Rakyat bukan sahaja terabai tetapi kaedah mengajak rakyat berpolitik atau berpolemik sepanjang masa sebenarnya tidak membawa apa-apa faedah untuk masa depan mereka.
Fikir-fikirkanlah.

Tiada ulasan:

Pengikut