Sabtu, 20 November 2010

UMNO Cawangan Bukit Ampang

UMNO Cawangan Bukit Ampang


PAKATAN PEMBANGKANG PAKATAN YANG TIDAK KONKRIT UNTUK SEMUA KAUM

Posted: 19 Nov 2010 08:16 PM PST

Semenjak PRU 12 negeri-negeri yang dikuasai pakatan pembangkang masih lagi berada ditakuk yang lama. Mereka tidak mampu membawa corak pemerintahan yang baik dan mentadbir negeri-negeri dibawah penguasaan mereka. Persoalannya ialah Mengapa sehingga kini pakatan pembangkang tidak mampu memerintah dan merealisasikan semua yang dijanjikannya kepada semua kaum sewaktu PRU12 dahulu?. Mereka hanya mampu untuk memberi harapan yang palsu dan memberikan gambaran yang cukup indah semata-mata untuk memegang tampuk pemerintahan tanpa memikirkan kepentingan masyarakat dan rakyat disekeliling. Setelah dapat memerintah negeri habuk pun tiada. Mari kita cuba mengandaikan apakah benar mereka mampu memenuhi janji terhadap semua kaum dan memerintah negara?. Adakah mereka mampu untuk memerintah di masa akan datang sedangkan negeri yang dikuasai mereka pun tidak diurus dengan baik?. Penulis hanya ingin berkongsi pendapat dan pandangan dengan anda dan sama-samalah kita berfikir untuk kepentingan kita semua.

PAS seperti yang kita ketahui adalah sebuah parti yang terlalu inginkan sebuah kerajaan Islam yang dominan dalam Negara. Objektif PAS sememangnya memberikan penekanan terhadap sebuah Negara Islam tanpa memikirkan kepentingan sosial kaum lain. Apakah ini adil untuk kaum-kaum lain yang berlainan agama dalam Negara?. Menyedari hakikat ini PAS kini dilihat lebih liberal dari dahulunya. Mereka sanggup bersekongkol dengan DAP yang terang-terang menolak negara Islam dan kerana kuasa PAS juga sanggup mengeksploitasi hukum Islam. Entahlah apa nak jadi….Mungkin anda lebih memahami?.

Mari kita renungkan seperti yang kita ketahui PAS kini memerintah kerajaan negeri Kedah dan Kelantan. Kita boleh menilai apakah yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri PAS yang kononnya membela rakyat mengikut landasan Islam di negeri-negeri tersebut.

Baru-baru ini salah satu isu yang kita boleh nilai adalah sewaktu musibah banjir berlaku di Kedah. Mengikut cakap-cakap orang disana tiada apa pun yang dilakukan kerajaan negeri pimpinan PAS di Kedah ketika itu. Ramai dikalangan mangsa terpaksa menghadapinya sendiri dengan berbekalkan apa sahaja yang sempat mereka bawa pada ketika itu. Mereka benar-benar berharap kerajaan negeri memberikan bantuan sewajarnya tetapi apakan daya. Inikah yang dikatakan kerajaan Islam??.

Mujur apabila kerajaan Pusat mendapat tahu tiada apa yang dilakukan kerajaan negeri ketika itu maka kepimpinan kerajaan Pusat Barisan Nasional mengambil langkah proaktif untuk membantu sedaya yang mungkin kerana begitu sebak melihat kesengsaraan rakyat ketika musibah yang melanda di negeri tersebut. Pada ketika ini seharusnya kerajaan negerilah yang perlu bertindak segera. Kata orang kalau sakit orang terdekatlah yang tolong terlebih dulu.

Apa yang kita dapat saksikan dari kerajaan negeri PAS Kedah ketika itu adalah hanyalah kemarahan pemimpin mereka yang ditonjolkan demi untuk menyalahkan kerajaan Barisan Nasional walhal membantu rakyat dalam kesusahan adalah tanggungjawab bersama yang perlu dipikul samada kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat lebih-lebih lagi apabila mereka amat memerlukan. Tindakan perlu diambil bukannya hanya asyik berpolitik.

Di Kelantan pula salah satu isu yang timbul baru-baru ini ialah apabila Nik Aziz menyatakan kerajaan negeri hanya dapat menyelesaikan berkenaan isu air bersih selepas 17 tahun. Persoalannya apa yang kerajaan negeri PAS Kelantan buat selama 20 tahun mereka memerintah selama ini?. Kalau nak tunggu lagi 17 tahun baru dapat selesaikan isu air bersih bermakna ramai rakyat berusia warga emas di Kelantan kemungkinan besar tidak dapat merasainya kerana lanjut usia atau akan meninggal dunia. 17 tahun bukan satu masa yang pendek. Bayangkan anak baru lahir sehingga 17 tahun baru dapat merasai air bersih. Ini bermakna selama 16 tahun anak tersebut terpaksa mengguna air yang kotor. Mungkinkah si anak boleh terdedah kepada macam-macam penyakit?. Ada pelbagai lagi isu di Kelantan yang penulis fikir hanya rakyat Kelantan sahaja yang lebih mengetahuinya. Aduhaii Kelantan… Semoga Allah selamatkan rakyat Kelantan.

Kita beralih kepada parti DAP pula. Objektif atau perjuangan parti DAP yang kita ketahui adalah membentuk sebuah Negara yang hanya memperjuangkan kesamarataan dan demokrasi tanpa memikirkan kepentingan Islam yang menjadi anutan kepada masyarakat majoriti dalam Negara. Kita boleh memerhati negeri yang diperintah oleh DAP ketika ini iaitu Pulau Pinang. Apa yang telah terjadi pada umat Melayu disana? Adakah mereka dapat menyuarakan hak mereka dan apakah ini yang dinamakan kesamarataan dan demokrasi?. Perkara yang menarik sekali disana yang dilakukan untuk umat Melayu di Penang ialah dengan memberikan wang sumbangan dari hasil perjudian haram. Anda perhatikanlah kepimpinan DAP di Pulau Pinang kini dan buatlah perbandingan yang baik tanpa memikirkan soal kepartian dan pastinya anda akan melihat mereka juga tidak mampu untuk mentadbir dan memerintah. Pelbagai lagi isu yang membuktikan kepincangan pemerintahan DAP disana.

Bagaimana pula dengan PKR?. Objektif PKR adalah yang paling unik dalam sejarah kerana ianya lebih bersifat individualistik. Perjuangan PKR lebih tertumpu kepada menuntut keadilan terhadap seorang penasihat partinya iaitu Anwar Ibrahim yang kini sedang nyenyak dibuai mimpi dalam keadaan selesa dan aman serta tidak dianiaya. Mahupun begitu Anwar cuba untuk merampas jawatan Perdana Menteri kerana kononnya dia dianiaya. Apakah ini perjuangan yang dinamakan untuk kepentingan rakyat atau ianya hanya untuk kepentingan Anwar?.

Mari kita teliti apa yang telah terjadi kepada kerajaan negeri yang diterajui PKR seperti di Selangor?. Terlalu banyak penyelewengan, perjudian, dan kerugian yang ditanggung oleh kerajaan negeri Selangor dibawah pimpinan PKR. Sebagai contoh isu Pasir yang suatu ketika dahulu didedahkan oleh rakyat semata-mata untuk mengaut keuntungan tetapi akhirnya duitnya pun entah kemana. Begitu juga dengan isu Sultan Selangor murka kerana kos perbelanjaan yang tinggi yang dibuat Yayasan Selangor untuk menganjurkan hari ulangtahunnya yang ke-40 sedangkan lebihan kos tersebut dapat digunakan untuk kepentingan rakyat dan pelbagai lagi perbelanjaan yang lebih bermanfaat. Ada juga isu yang memainkan sentiment agama seperti di surau al-huda kajang suatu ketika dahulu apabila Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan 'tazkirah' di ruang solat dan macam-macam lagi. Ini membuktikan kepincangan pentadbiran kerajaan negeri Selangor dibawah pimpinan PKR.

Sekiranya diteliti mampukah mereka berpakat untuk memerintah Negara?. Objektif setiap dari parti PKR DAP dan PAS memang telah diketahui umum sememangnya cukup berlawanan arus dan seperti langit dan bumi. Apakah persamaan yang ada pada pakatan ini yang membolehkan mereka bekerjasama secara adil dan samarata?. Tiada jaminan yang konkrit untuk segala janji mereka terhadap semua kaum di Negara ini. Inilah yang dikatakan janji hanya tinggal janji. Persoalannya adakah kita masih lagi mahu mempercayai mereka?.

Sehingga kini pun persamaan yang dapat kita nilai hanyalah sikap gila kuasa dan penyelewengan yang banyak untuk mengaut keuntungan demi kepentingan politik dan bukannya untuk kepentingan rakyat. Apakah parti yang tidak mempunyai objektif yang sama dan perjanjian yang konkrit boleh menjadi harapan kepada setiap rakyat dan kaum dalam Negara?. Mampukah mereka melaksanakan janji mereka terhadap semua kaum sedangkan mereka sendiri tidak sehaluan dalam perjuangan parti masing-masing.

Malaysia adalah sebuah Negara yang berbilang kaum. Kaum Cina, India dan Melayu senantiasa bekerjasama dalam memastikan Negara milik bersama ini mencapai tahap yang begitu membanggakan sehingga kini. Semuanya adalah kerana persefahaman yang konkrit diantara satu kaum dengan kaum yang lain dibawah satu naungan iaitu Barisan Nasional. Tiada parti atau gabungan yang lebih konkrit dari Barisan Nasional yang boleh merealisasikan kesaksamaan antara kaum diperjuangkan dengan terancang dan teliti.

Barisan Nasional kini mempunyai hasrat untuk mentransformasikan kehidupan rakyat keseluruhannya tanpa mengenal bangsa dan kaum. Setiap yang dilaksanakannya seperti pelan transformasi kerajaan, Model ekonomi Baru dan macam-macam lagi yang dibuahkan oleh Perdana Menteri dan Barisan Kabinet dari Barisan Nasional hanya semata-mata ingin melihat rakyat meraih keuntungan dan keamanan dalam negara. Inilah perjuangan yang diperlukan dalam sebuah parti. Inilah perjuangan yang murni dan suci. Bukan sekadar untuk kepentingan sempit dan individualistik.

Apa pun semua diatas hanyalah sekadar pandangan penulis sebagai rakyat biasa yang tidak mempunyai latarbelakang pendidikan yang tinggi. Mungkin ramai diluar sana yang lebih bijak dapat memikirkan perkara ini dengan sewajarnya. Kadangkala terfikir seketika sekiranya penulis pun tidak mempunyai latarbelakang pendidikan yang tinggi masakan seorang doktor, peguam dan ramai lagi diluar sana tidak dapat menyedarinya?.

Fikir-fikirkanlah…..

-rakyat biasa

Tiada ulasan:

Pengikut