Jumaat, 19 November 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Tubuh parti baru ; Zaid syok sendiri - Syed Ali

Posted: 19 Nov 2010 02:19 AM PST

HASRAT Datuk Zaid Ibrahim untuk menubuhkan parti baru bagi membolehkannya bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dilihat sebagai perjuangan 'syok sendiri', kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Beliau berkata, kesinambungan perjuangan Zaid setelah keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan kerana kebajikan rakyat, tetapi disebabkan rasa ghairah dan dendam.

Oleh itu katanya, langkah Zaid, yang juga bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan menyamai tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila dipecat daripada UMNO setelah terbabit dalam kes liwat.

"Anwar bencikan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menubuhkan PKR manakala Zaid pula marahkan Anwar, juga mahu tubuh parti baru, bermakna mereka ini syok sendiri dan bermain dengan sentimen dendam," tegasnya.

Beliau berkata, akibat kebencian yang berlarutan Anwar terhadap pemimpin UMNO, beliau sanggup mencerca sesama pemimpin Islam, memburukkan imej negara dan memecahbelahkan perpaduan rakyat.

"Anwar ingin membalas dendam terhadap UMNO, oleh sebab itu beliau sanggup lakukan apa sahaja bagi mencapai impiannya untuk menjadi Perdana Menteri termasuk menjadi alat kepada kuasa asing," katanya.

Dalam hubungan ini jelas beliau, gaya politik Zaid juga dilihat seperti perlakuan Anwar, kesemuanya berpunca kerana kecewa, dendam dan putus asa dan hanya untu memuaskan nafsu politik peribadi.

Beliau mengulas perkembangan terbaru Zaid yang telah mengumumkan hari ini bahawa beliau akan keluar daripada PKR berkuatkuasa pada 16 Disember depan.

Zaid juga menyatakan beliau bercadang akan menubuhkan sebuah parti baru dan akan bertanding pada PRU ke-13 akan datang.

Menurut Syed Ali lagi, tindakan Zaid itu juga mencerminkan beliau seorang pemimpin politik yang tidak berprinsip dan langsung tidak mengutamakan kepentingan rakyat.

"Sepertimana Anwar, Zaid juga hanya menyertai politik semata-mata untuk menjadi pemimpin, sama ada secara dipilih, dilantik mahupun terpaksa mengangkat diri sendiri," tambahnya.

Beliau berkata, trend menubuhkan parti politik baru kerana kecewa apabila gagal mendapat jawatan tertinggi sepatutnya tidak berlaku di negara ini.

"Walaupun demokrasi membenarkan penyertaan pelbagai parti-parti politik untuk menyertai pilihan raya, tetapi matlamatnya hendaklah untuk membela nasib rakyat dan membangunkan negara, bukannya membalas dendam atau kerana kepentingan peribadi.

Syed Ali bagaimanapun percaya parti baru yang bakal ditubuhkan oleh Zaid itu tidak akan memberi ancaman besar kepada kekuatan UMNO mahupun Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya kata beliau, Zaid pasti akan menggunakan parti barunya itu sebagai landasan untuk menyerang Anwar dan kepimpinan PKR terutama pada PRU ke-13 akan datang.

Tiada ulasan:

Pengikut