Selasa, 2 November 2010

Hamidah Osman

Hamidah Osman


Artikel Utusan

Posted: 02 Nov 2010 09:09 PM PDT

Pangkah Pas 'masuk syurga' tarik warga emas

GUA MUSANG 30 Okt. - Kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas mula dicemari dengan taktik kotor Pas apabila parti itu cuba mempengaruhi pengundi warga emas di sesetengah kawasan dengan mendakwa undi Pas masuk syurga.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman ketika pihaknya mengadakan kempen rumah ke rumah di beberapa buah kampung sejak lima hari lalu.

Ekoran itu beliau berkata, Wanita UMNO terpaksa memberi penjelasan kepada kumpulan pengundi terbabit bahawa penentuan syurga atau neraka merupakan hak Allah dan bukannya Pas.

''Saya tidak sangka yang Pas masih lagi memainkan isu pangkah Pas masuk syurga terutama di kalangan pengundi-pengundi warga emas. Kami terpaksa memberi penjelasan supaya mereka sedar kempen yang dijalankan oleh jentera Pas itu tidak benar.

''Akhirnya mereka faham penentuan syurga dan neraka adalah hak Allah. Apa yang kami lakukan ini bukan setakat berkempen malah turut memberi kesedaran kepada penduduk setempat mengenai perbezaan antara Islam dan Pas," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Hamidah berkata, beliau dan anggota Wanita Wanita lain perlu membuat penjelasan itu supaya para pengundi mereka dapat gambaran yang jelas mengenai Pas.

''Islam dan Pas merupakan dua perkara berbeza. Islam adalah agama paling suci manakala Pas hanya sekadar sebuah parti politik yang berusaha meraih sokongan rakyat.

''Kami terpaksa melakukan peranan ini kerana kami tidak mahu penduduk di sini terutama warga emas terus terpengaruh dengan dakyah-dakyah Pas yang tidak berasas," katanya lagi.

Beliau berkata, hakikatnya, Pas kini tidak lagi memperjuangkan penubuhan negara Islam seperti mana sebelum ini apabila parti tersebut membuat keputusan untuk bersahabat dengan DAP.

''Inilah antara perkara-perkara utama yang kita maklumkan kepada pengundi-pengundi di sini. Biar mereka tahu siapakah Pas yang sebenar," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, strategi kempen Wanita UMNO kali ini lebih menjurus kepada usaha mendampingi rakyat secara kumpulan-kumpulan kecil.

''Kebiasaannya bilangan penduduk bagi setiap kumpulan adalah antara 20 hingga 30 orang. Di dalam kumpulan ini kita akan menerangkan faedah serta kebaikan yang diperolehi sekiranya mereka menyokong calon Barisan Nasional (BN)," ujarnya.

Artikel Utusan

Posted: 02 Nov 2010 09:04 PM PDT


Hamidah Osman (kanan) melihat sijil peserta penempatan dalam Ladang Rakyat Limau Kasturi milik Rozali Rodin (kiri) yang didakwa merupakan satu penipuan di Kampung Lepan Jaya, Gua Musang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

'Saya benar-benar rasa tertipu'


GUA MUSANG 31 Okt. - Hiba dan amat mengejutkan apabila seorang penduduk miskin Kampung Lepan Jaya di sini mendakwa dia menjadi mangsa kerajaan Pas Kelantan apabila tanah ladang serta rumah yang dijanjikan tiga tahun lalu masih belum tertunai.

Dengan menunjukkan sijil yang dikeluarkan oleh Kerajaan Pas Kelantan sebagai bukti, Rozali Rodin, 37, tidak menyangka kerajaan Pas Kelantan sanggup melakukan perkara seumpama itu kepadanya sekeluarga.

Dia yang ternyata terlalu kecewa dengan apa yang berlaku secara jujur mengakui kegagalan kerajaan Pas Kelantan itu amat memilukan kerana harapannya untuk memiliki ladang dan sebuah rumah terlalu tinggi.

''Sungguh tidak sangka kerajaan Pas sanggup melakukan perkara ini kepada rakyat yang miskin seperti saya. Saya benar-benar rasa tertipu. Cuba lihat keadaan diri saya, isteri, anak dan ahli keluarga saya yang lain.

''Saya akui apabila saya diberitahu terpilih sebagai peserta Ladang Rakyat Limau Kasturi pada 2007 hati saya cukup gembira tetapi itu dulu. Harapan saya benar-benar musnah," katanya kepada Utusan Malaysia di kediamannya di sini hari ini.

Dia dan keluarga sebelum itu dikunjungi skuad sayang Pergerakan Wanita UMNO yang ketuai oleh Ketua Penerangannya, Datuk Hamidah Osman.

Dalam kunjungan tersebut, Rozali turut menunjukkan sijil yang dikeluarkan oleh kerajaan Pas Kelantan itu kepada Hamidah serta anggota skuad sayang yang lain.

Sijil berkenaan ditandatangani oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bertarikh 29 November 2007.

Bercerita lebih lanjut apabila terpilih sebagai Peserta Berpenempatan Dalam Ladang Rakyat Limau Kasturi, Rozali berkata, dia dan lebih 300 peserta lain telah dipanggil oleh kerajaan Pas Kelantan untuk menerima sijil itu dalam satu majlis di sebuah sekolah.

Dia berkata, sijil itu kemudian disampaikan sendiri Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

''Projek ini dijanjikan siap dalam tempoh setahun. Ini sudah masuk tiga tahun tetapi langsung tidak ada apa-apa yang berlaku. Saya tidak tahu projek ini benar-benar wujud atau sebaliknya," katanya.

Berdasarkan sijil tersebut, katanya, dia merupakan peserta yang ke 114.

''Selain saya terdapat lima lagi peserta yang sama terdapat di dalam kampung ini," ujarnya.

Sementara itu Hamidah berkata, pendedahan itu merupakan bukti jelas kepincangan kerajaan Pas Kelantan dalam mentadbir negeri ini.

''Ini bukan satu pembohongan tetapi inilah bukti bagaimana seorang rakyat Kelantan menjadi mangsa penganiayaan mereka. Mereka (kerajaan Pas Kelantan) menjanjikan tanah ladang dan tapak rumah kepada penduduk miskin tetapi sehingga kini ia gagal ditunaikan," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu meringankan bebanan keluarga Rozali.

''Kami dapati Rozali kini tidak mampu bekerja kerana menghidap penyakit kencing manis dan gastrik yang agak kronik.

''Akibatnya Rozali terpaksa bergantung harap kepada ahli keluarga lain untuk menyara anak dan isterinya." katanya lagi.

Tiada ulasan:

Pengikut