umno bahagian cheras |
Tuduh ahli UMNO kafir, tahan Kit Siang dibawah ISA – Syed Ali Posted: 02 Nov 2010 11:00 PM PDT BARU seminggu Majlis Raja-Raja Melayu mengeluarkan peringatan supaya tidak membangkitkan isu perkauman dan agama, tetapi Penasihat DAP, Lim Kit Siang secara terbuka mengingkarinya. Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, Kit Siang dengan sifat biadabnya menuduh ahli-ahli UMNO, yang dianggotai majoriti orang Melayu di negara ini sebagai kafir. "Kit Siang sengaja berbuat demikian kerana cita-cita beliau mahu supaya orang Melayu bersengekata sesama sendiri dan berlaku pergaduhan antara kaum di negara ini," tegasnya. Tambah mendukacitakannya kata beliau, kenyataan Kit Siang pada ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Galas di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, Gua Musang, seperti mendapat restu Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. "Tuduhan itu jelas menunjukkan Kit Siang sengaja mencetuskan provokasi supaya orang Melayu bermusuhan sesama sendiri dan sekaligus mencabuli nasihat Raja-Raja Melayu," tegasnya. Katanya, Kit Siang sengaja berbuat demikian supaya berlaku pergaduhan atau pertumpahan darah sesama Melayu dan akhirnya mereka (bukan Melayu) akan menguasai negara ini. Beliau berkata, perbuatan Kit Siang itu turut menghina seluruh umat Islam di negara ini kerana beliau bukan pemimpin Islam tetapi berani menuduh orang Melayu sebagai kafir. Malah tegasnya, orang Islam ditegah daripada mengkafirkan sesama Islam kerana ianya membabitkan soal akidah. "Tetapi malangnya Nik Aziz yang mendengar ceramah tersebut tidak menegur perbuatan Kit Siang, ini bermakna Menteri Besar Kelantan itu bersekongkol dengan DAP," ujarnya. Dalam hal ini katanya, Nik Aziz juga turut bertanggungjawab menyesatkan pemikiran umat Islam sepertimana dilakukan oleh Kit Siang. Beliau berkata, tuduhan Kit Siang itu sudah keterlaluan dan kerajaan perlu memandang serius perkara tersebut kerana dikhuatiri akan mencetuskan ketegangan kaum di negara ini. Sehubungan itu beliau menegaskan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak perlu mengambil masa terlalu lama untuk mengenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap Kit Siang. "Tungghu apa lagi, sudah jelas pemimpin DAP itu membuat tuduhan yang tidak berasas dan berniat jahat. "KDN perlu merealisasikan amanat dan peringatan yang dikeluarkan oleh Majlis Raja-Raja Melayu disamping sebagai pengajaran supaya isu agama dan perkauman tidak dijadikan bahan politik di masa akan datang," tegasnya lagi. Katanya, KDN perlu segera bertindak kerana laporan polis telah dibuat oleh beberapa pihak keatas kit Siang berhubung kenyataan tersebut. Kit Siang seperti didedahkan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, telah menuduh ahli-ahli UMNO kafir ketika berceramah pada kempen PRK DUN Galas, di hadapan Nik Aziz dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, di RPT Kesedar Sungai Terah, Gua Musang. Menurut Syed Ali lagi, perbuatan Kit Siang bukan kali pertama malah sebelum ini beliau sudah banyak mengeluarkan kenyataan berbau perkauman termasuk mempersendakan hak orang Melayu dan Raja-Raja Melayu. "Tetapi, disebabkan tidak ada tindakan tegas yang diambil terhadap beliau, maka pemimpin DAP itu dengan bebas menggunakan isu perkauman dan terbaru menuduh ahli UMNO sebagai kafir sebagai modal politik," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from umno bahagian cheras To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan