PUTERI UMNO BAHAGIAN CHERAS |
JEMPUTAN KE MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI RAKYAT 1 MALAYSIA Posted: 05 Oct 2010 12:21 AM PDT |
MENERUSKAN LEGASI PEMIMPIN YANG TERDAHULU Posted: 04 Oct 2010 08:24 PM PDT Pihak yang mengambil kesempatan terus memperbesar-besarkan perang mulut yang berlaku antara sebuah akhbar dengan seorang pemimpin yang disukainya. Saat-saat inilah yang paling ditunggu-tunggu oleh mereka yang menahan lukah di pergentingan. Perkara ini adalah suatu yang biasa dalam politik. Saling ingat mengingati barulah ada check and balance. Tetapi ia terus berlarutan seolah-olah tidak kesudahan. Orang lain bertepuk tangan melihat kita bertelingkah dalam serba-serbi. Sikap terlalu defensif tidak akan menyelesaikan masalah. Lebih baik dibawa berbincang, kerana itu lebih menepati kehendak Islam dan membawa banyak manfaat kepada perpaduan umat Islam. Cukup sudahlah kita berpecah disebabkan oleh perbezaan parti politik dan ideologi, janganlah pula terbawa-bawa kepada sentimen sebegini. Bincanglah apa yang betul, apa yang salah, daripada menuding jari siapa yang betul, siapa yang salah. Cerminlah diri masing-masing, apakah sumbangan kita selama ini? Sudahkah kita lupa kata-kata seorang ahli falsafah Cina yang berbunyi, jika anda mahu menjadi pemimpin negara, terlebih dahulu pastikan keluarga sendiri berada dalam keadaan baik. Bagi memastikan keluarga sendiri baik, pastikan diri sendiri perlu baik. Bagi memastikan diri sendiri baik, pastikan hati dijaga demgan baik. Bagi memastikan hati sentiasa baik, ia perlu bermula dengan keikhlasan. Cuba tanya pada diri kita, apakah kita ikhlas menjadi seorang pemimpin? Nilai balik apakah sumbangan kita kepada agama, bangsa dan negara? Atau mungkinkan penyertaan kita dalam politik sekadar untuk membuncitkan perut dan membesarkan poket? Inilah pertanyaan-pertanyaan yang perlu dijawab oleh setiap pemimpin yang diberikan amanah oleh rakyat hari, tidak kira sama ada pemerintah atau pembangkang. Jika ada jawapannya, tidak perlulah terlalu risau akan pilihan raya umum akan datang. Seringkali kita dengar, mereka yang menyertai politik, tidak ada agenda agama, bangsa dan negara. Agenda utama mereka adalah untuk mendapatkan kuasa dan pangkat, setelah itu mudah untuk mendapatkan tender dan projek melalui kroni-kroni yang akan dibela. Pemikiran seperti ini perlu dibuang jauh-jauh jika ada. Tagline Gagasan 1Malaysia, "rakyat didahulukan pencapaian diutamakan", perlu difahami oleh setiap wakil rakyat tanpa berkecuali. Rakyat perlu diutamakan dalam segala hal. Tanpa rakyat siapalah pemimpin kerana kerajaan adalah dari rakyat untuk rakyat (dengan izin Allah). Itulah falsafah demokrasi yang saya fikir tidak bercanggah dengan sumber ajaran Islam jika diurus dengan baik berpandukan perlembagaan. Janganlah memperalatkan gagasan 1Malaysia untuk menutupi atau mengaburi tindakan kita, tetapi laksanakan gagasan tersebut sebagaimana yang dicitrakan oleh Perdana Menteri. Malangnya, ketika Perdana Menteri mengajak rakyat memahami keutamaan, masih ramai umat Islam lebih menekankan hal remeh temeh daripada isu pokok. Bergaduh tidak tentu pasal. Mempertahankan kepentingan peribadi daripada kepentingan umum. Niat tidak lain, supaya dirinya nampak hebat, wal hal diri dan sumbangannya tidak seberapa. Ada kalanya kita menjadi pemimpin, bukan kerana kita bagus atau berwibawa, tetapi kadangkala kerana bernasib baik. Sedangkan ramai yang lebih layak daripada kita. Tetapi disebabkan mereka tidak pandai membodek dan mengampu, mereka tidak terpilih sebagai pemimpin. Sedangkan mereka yang berfikiran seperti pandir dan tidak ada daya intelektual, begitu cepat naik dan berkuasa kerana nasib menyebelahi mereka, bukan kewibawaan dirinya. Sedangkan orang sebegini, boleh dikatakan kosong. Keluarga tidak terjaga dan terbela. Diri sendiri penuh dengan kontroversi dan sebagainya. Jika dikorek-korek nanti, keburukan yang dilakukan, lebih banyak dari kebaikan dan boleh dibuat buku. Bagaimana kita boleh harapkan orang sebegini boleh menjaga rakyat. Justeru, mereka yang ingin menjadi pemimpin atau dipilih menjadi wakil rakyat, mesti pandai menjaga diri dan keluarga terlebih dahulu. Selepas itu, barulah senang untuk bercakap soal menjaga rakyat dan menjaga kerajaan. Inilah aspirasi dan inspirasi 1Malaysia Perdana Menteri. Jika tidak, kita akan menjadi bahan kutukan orang. Saya sudah tidak mampu lagi mendengar kata-kata seperti, "keluarga sendiri berterabur, tidak terjaga, bagaimana nak jadi pemimpin dan , menjaga rakyat". Inilah kata-kata yang sindiran kerap kedengaran. 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri sudah tentu tidak mahu memimpin yang sebegini. 1Malaysia mahukan pemimpin yang benar-benar berwibawa dan berakhlak mulia untuk meneruskan legasi pemimpin yang terdahulu. Ingatlah wahai saudaraku, rakyat hari ini bukan seperti dahulu, mereka sudah boleh membezakan mata dia intan, mana dia kaca. Jika dahulu, tunggul kayupun kalau diletakkan sebagai calon mereka akan undi. Hari ini, tunggul kayu tersebut akan campaknya jauh entah ke mana, malah tidak lagi dipandang untuk menjadi kayu api. Sudah sampai masanya gagasan 1Malaysia meletakkan KPI atau tanda aras untuk mereka yang mahu menjadi pemimpin. Pertama, saya ingin cadangkan supaya pemimpin tersebut boleh memimpin dirinya sendiri, meletakkan Allah ditempat pertama, diikuti dengan Rasulullah dan keluarganya. Setelah dirinya terpimpin berasaskan prinsip tersebut, barulah akan terpancar integritinya, tidak rasuah dan tidak korup. Kita tidak mahu pemimpin yang rumahtangganya berantakan, anak-anaknya pula bertaburan. Ingatlah pesanan yang mengatakan rakyat (termasuk anak-anak) menilai (lebih terpengaruh) dengan apa yang kita buat, bukan apa yang kita cakap. Tidak ada gunanya jika cakap tidak serupa bikin. Hanya pandai bercakap tetapi apa yang dicakap tidak ditunaikan atau dikotakan. Kata mesti dikota. Kedua, pemimpin mereka mempunyai ilmu. Ilmu yang dimaksudkan di sini adalah ilmu memahami keutamaan. Keutamaan jamaah (rakyat) berada di hadapan berbanding keutamaan diri. Jangan terlalu menjaga dan mementing diri sendiri atau terlalu mengikut emosi sehingga melupakan kepentingan rakyat. Memperbesarkan perkara kecil sehingga tertinggal perkara besar. Terlalu menjaga politik diri sendiri supaya tercalon lagi, sehingga terlupa akan agenda anak bangsa sendiri. Berikanlah laluan kepada mereka yang benar-benar mahu dan mampu memimpin. Ketiga, pemimpin sebaik-baiknya mesti bebas atau tidak dilihat daripada dosa besar dan dosa kecil. Paling baik tidak melakukan apa-apa dosa. Sudah tentu ini adalah mustahil sebab kita bukan Rasul atau Malaikat. Kita tidak dapat lari daripada kesalahan. Namun, jangan lah kita terjebak dalam dosa-dosa yang rakyat boleh mempertikaikan kredibiliti kita. Misalnya seperti minum arak, kaki perempuan, kaki judi dan macam-macam kaki lagi. Ingatlah, rakyat melihat apa yang kita buat. Keempat, pemimpin mesti mempunyai jiwa agama dan dapat menjaga amanah bangsa. Tidak semestinya mereka mempunyai latar belakang agama atau lulusan pengajian Islam. Kepemimpinan Islam boleh terdiri daripada mereka yang professional. Kadangkala sedih juga bila melihat bila ada 'orang agama' menjadi pemimpin, kepemimpinan dan pandangan mereka terlalu jumud dan tidak berpijak di bumi nyata. Sikit-sikit berhujah berbalik kepada Quran dan Hadis, tetapi modus operandi entah di mana. Justeru, orang agama perlu diprofesionalkan. Apapun jika golongan professional mahu menjadi pemimpin, mereka mesti mempunyai jiwa agama atau mengulamakan professionalism nya itu. Jangan sampai pemimpin kita tidak boleh dilihat menjadi imam. Paling kurangpun pemimpin tersebut mesti boleh memimpin bacaan doa, keupayaan berdoa adalah petanda awal menunjukkan kita mengerjakan sembahyang. Dengan makna, pemimpin tersebut mesti bersolat sebagai asas utama nilaian akhlaknya dengan Tuhan. Ingatlah, sesiapa yang sensitif dengan Allah, pasti dia akan sensitif dengan orang lain (rakyat). Inilah 'kalahnya' UMNO dengan pemimpin sebuah parti yang mendakwa diri mereka memperjuangkan Islam. Pemimpin parti Islam ini telah menarik ramai professional, termasuk orang UMNO yang berjiwa Islam. Profesional ini boleh menjalankan tanggungjawab ulama seperti membaca khutbah, menjadi imam, baca doa, sembahyang mayat dan sebagainya. Banding dengan sebahagian pemimpin UMNO hari ini, ada yang membaca al-Quran pun tidak betul. Bagaimana mereka boleh berdoa? Mungkin ada yang tersinggung dengan tulisan saya ini, saya pohon ampun dan maaf. Hari ini professional parti Islam ini begitu berpengaruh sehingga menimbulkan kebimbangan pemimpin bersifat 'taliban' dalam parti Islam tersebut. Sebenarnya UMNO tidak ketandusan orang agama dan professional, resepinya semua sudah ada. Hasil yang mahu dilihat adalah, laksanakan kata-kata keramat rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Berkata benar walaupun pahit. Jika UMNO mahukan meneruskan legasinya pada masa akan datang, UMNO tidak ada pilihan melainkan mesti dapat dilihat bersih, cekap, amanah dan dapat dilihat melaksanakan ciri-ciri kepimpinan Islam tersebut. Di sinilah yang dikatakan 'kekuatan' parti Islam yang sukar ditandingi UMNO. Mereka sanggup berjemur, berjaga dan bercekang ketika pilihan raya dan melakukan kerja suka rela, tanpa meminta sebarang habuan. Tetapi tidak UMNO. Ada sebahagian mereka yang tidak ikhlas. Wang dan harta telah mengaburi mereka. Kerja sedikit, mereka mahukan habuan. Sudah sampai masanya kita latih mereka yakni kerja kerana Allah demi menjaga amanah agama, bangsa dan negara. Jika inilah pemimpin UMNO yang bakal lahir, jangan harap parti-parti lain dapat menambah kerusi. Tetapi jika perkara asas ini diabaikan, maka tunggu kekalahan yang bakal menjelma. UMNO mesti serius dalam meletakkan kepentingan agama di hadapan berbanding kepentingan bangsa. Kebaikan mesti diutamakan daripada keburukan. Manakala jika berlaku pertembungan dua keburukan, maka kita mesti tahu memilih antara dua keburukan tersebut, mana satukah yang kurang mudaratnya. Misalnya, antara menyentuh (atau makan) babi dengan makan rasuah (atau riba). Sudah tentu implikasi makan rasuah atau makan riba, lebih buruk daripada menyentuh (makan) babi, sebab makan babi melibatkan dosa individu, sedangkan makan rasuah melibatkan orang ramai dan boleh meruntuhkan agama dan negara, sehingga sampai ke tahap boleh diperangi. Jangan pulak ada yang salah faham sehingga sanggup makan babi selepas ini. Jika semua ini dapat difahami keadaan tidaklah seteruk hari ini. Teringat saya bila membaca buku Syed Hussein Alatas, bertajuk Mitos Pribumi Malas, antara punca kelemahan umat Islam (Melayu) hari ini, disebabkan oleh ada sebahagian pemimpin yang dipilih itu lemah, tidak ada daya intelektual. Ketiadaan daya keintektualan ini menjadikan mereka ini hanya mampu menjadi pengampu dan pembodek. Justeru, sudah sampai masa kita dapat membezakannya agar boleh bangun menjadi bangsa hebat dan digeruni. Nukilan : Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis di Mingguan Malaysia 3 Oktober 2010 |
You are subscribed to email updates from PUTERI UMNO BAHAGIAN CHERAS To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan