Jumaat, 24 September 2010

Apo Kono Eh Jang!

Apo Kono Eh Jang!


Kes Bunuh Feb 2010 Dah Selesai, Kes Liwat 2008 Tak Selesai Lagi

Posted: 24 Sep 2010 12:19 AM PDT

Keadilan ditegakkan dan pembunuh dalam kes kematian kanak-kanak berusia 3 tahun, Syafiah Humaira telah pun dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Walaupun si pembunuh, Mohd Azri Jamil boleh merayu ke peringkat Mahkamah yang lebih tinggi sehingga ke tahap Lembaga Pengampunan Diraja (dalam erti kata lain belum selesai sepenuhnya) tapi proses yang sepatutnya telah diselesaikan di Mahkamah Tinggi. Kita memang mengharapkan agar proses keadilan berjalan seperti mana sepatutnya supaya perhatian dapat diberikan kepada kes-kes lain juga. Pemindahan kes tertuduh dari Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baru ke Mahkamah Tinggi Shah Alam juga berjalan dengan lancar tanpa ada timbul masalah.

Inilah yang kita katakan proses keadilan di negara kita memang lancar dan tidak ada masalah sebenarnya, yang buat jadi masalah bila ada pihak-pihak yang memanipulasi undang-undang sehinggakan ada kes liwat yang berlaku pada 2008 pun tidak selesai lagi proses perbicaraan di Mahkamah Tinggi sehingga sekarang, jangan cakaplah soal nak merayu ke peringkat yang seterusnya. Perbicaraan yang sering terganggu dengan permohonan-permohonan tertentu sebagai alasan untuk melewatkan proses bicara ini adalah sebenarnya perkara yang perlu menjadi keutamaan pihak berkaitan. Nak memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi dari Mahkamah lebih rendah yang tidak ada masalah dalam kes-kes lain juga (seperti contoh kes di atas) tiba-tiba menjadi masalah besar dalam kes yang SATU ini.

Jika dalam kebanyakkan kes-kes lain, Mahkamah yang lebih tinggi terlibat dalam hal berkaitan rayuan ke atas hukuman yang sudah dijatuhkan oleh Mahkamah yang lebih rendah sahaja, ada satu kes di Malaysia yang mana hebatnya, hukuman belum dijatuhkan (sebab bicara pun belum habis) tetapi sudah ada perkara-perkara di dalam kesnya yang dirujuk ke peringkat Mahkamah yang lebih tinggi untuk penentuan, seterusnya melewatkan perbicaraan kerana mahkamah lebih rendah (dimana kes dibicarakan) tidak mahu membuang masa meneruskan perbicaraan, mana tahu jika Mahkamah yang lebih tinggi menerima rayuan tersebut.

Rakyat sebenarnya menuntut perubahan dalam bidang kehakiman terutamanya dalam kes-kes dimana pesalah dilepaskan atas sebab perkara-perkara yang berkaitan dengan teknikal. Contohnya, dalam satu kes liwat, walaupun para hakim percaya kegiatan liwat memang berlaku tetapi kerana tarikh-tarikh yang diberikan mangsa tidak konsisten, maka pesalah dibebaskan. Malangnya, ada beberapa kejadian bila mana pesalah yang dibebaskan ini mengulangi semula kesalahannya. Tidak tercapai maksud keadilan yang sebenarnya jika perkara-perkara ini sering berlaku dalam sistem kehakiman kita. Mangsa, setelah melalui proses turun naik mahkamah yang panjang tiba-tiba mendapati pelaku dalam kesnya dilepaskan hanya kerana tarikh yang tidak konsisten lantaran perkara yang telah berlaku beberapa lama. Dalam masa yang sama, ada pula diantara panel hakim sama yang berpendapat tarikh dan masa kejadian bukanlah sesuatu yang mandatori dalam membuat penentuan atas kesalah berkaitan liwat dan rogol.

Tindakan melengah-lengahkan proses keadilan ini juga mampu menyebabkan para saksi yang terlibat, hilang tumpuan dalam memberi keterangan. Jadual hidup dan kerja mereka mungkin menjadi huru hara akibat pertukaran tarikh-tarikh perbicaraan ini. Pihak pendakwaan mungkin tiada masalah sebab itu memang sudah kerja mereka, begitu juga dengan pihak pembelaan tetapi para saksi yang biasanya terdiri daripada orang biasa ini memang akan mendapat kesulitan tersendiri. Bukan sedikit kes-kes yang sepatutnya kuat tetapi menjadi lemah kerana keterangan saksi yang tidak meyakinkan, tidak konsisten dan sebagainya sedangkan lain pula halnya semasa kes diperingkat siasatan oleh pihak polis.

Jadi tercapaikah maksud keadilan itu jika kes kalah di mahkamah hanya kerana saksi terlupa atau tertekan?

Kita yakin, sebahagian besar rakyat tidak berapa faham dengan proses undang-undang yang penuh kerumitan ini. Pada mereka, yang penting hanyalah keputusan yang dibuat hakim sama ada bersalah atau tidak, bebas atau menerima hukuman, itu saja. Jarang adanya yang mengambil masa meneliti alasan-alasan perundangan yang ditulis secara panjang lebar oleh para hakim bagi menjustifikasikan keputusan yang dibuat mereka.

Kita akui kebelakangan ini memang banyak kes-kes yang berjaya diselesaikan dengan cepat oleh pihak mahkamah selepas pengenalan peraturan-peraturan baru yang lebih sistematik melalui perintah Ketua Hakim Negara dan sebagainya, keadilan bagaimanapun tidak akan tercapai sekiranya terdapat 'loop hole' yang boleh digunakan para manipulator undang-undang ini bagi melengahkan kes. Atas alasan 'terikat kepada undang-undang' pula kebanyakkan kes-kes ini dibenarkan para hakim untuk penangguhan. Walaupun penangguhan dipohon oleh peguam tertuduh tetapi yang akan disalahkan kerana memanjangkan kes ialah para hakim kerana membenarkan penangguhan tersebut. Kita banyak lihat ini dalam kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan pemimpin politik tertentu.

Kita harap kementerian yang bertanggungjawab dan Menterinya dapat meneliti perkara ini agar tidak berlaku lagi masa mahkamah dihabiskan dengan mendengar permohonan-permohonan yang melambatkan proses keadilan berlangsung.

Tugas ini sepatutnya menjadi keutamaan jika dibandingkan dengan peranan membela parti/kerajaan di dalam parlimen yang dibanggakan sangat Menteri terbabit, sehingga lupa bahawa ada tanggungjawab berat lain, sesuai dengan jawatan dalam kabinet. Serahkanlah tugas bertegang urat di Parlimen ini kepada MP lain yang tidak mempunyai jawatan dalam kabinet. Lagipun dalam satu tahun bukan hari-hari pun parlimen bersidang.

Jika perlu menukar sistem keadilan sekarang yang lebih mirip kepada amalan-amalan perundangan yang dilaksanakan di Britan dan Komanwel, lakukanlah ia dengan penuh bijaksana.

(Oleh: Adamyan)

Tiada ulasan:

Pengikut