Jumaat, 24 September 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Melayu hilang kuasa ; ingatan Dr. Mahathir boleh menjadi realiti jika pemimpin Melayu masih leka – Syed Ali

Posted: 23 Sep 2010 07:32 PM PDT

INGATAN Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa orang Melayu akan kehilangan kuasa dan suara jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih pemerintahan negara merupakan realiti yang harus dipandang serius oleh pemimpin Melayu khususnya UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee percaya peringatan itu yang boleh disifatkan 'satu amaran' oleh bekas Perdana Menteri berasaskan kepada persekitaran politik masa kini.

Katanya, dengan mengambilkira keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu jelas menunjukkan tahap sokongan orang Melayu terhadap UMNO dan komponen Barisan Nasional (BN) semakin terhakis.

"Realitinya hari ini rakyat terutama orang Melayu mula mempersoalkan sejauhmana komitmen pemimpin Melayu terutama UMNO dalam menangani permasalahan rakyat terutama di peringkat akar umbi," tegasnya.

Beliau berkata, hakikat itu perlu diterima oleh pemimpin UMNO dan mereka tidak harus sentiasa berasa selesa, sebaliknya perlu bekerja keras mengembalikan semula sokongan pengundi kepada parti.

Sekaligus beliau yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, menegaskan ingatan Dr. Mahathir itu bukan merupakan campurtangan bekas Presiden UMNO di dalam hal ehwal parti dan kerajaan BN.

Sehubungan itu beliau menyarankan pemimpin UMNO di semua peringkat melupakan agenda politik peribadi sebaliknya melakukan transformasi dengan mengutamakan kebajikan rakyat.

"Ingatan Dr. Mahathir akan menjadi kenyataan dan UMNO pula bakal berada di barisan pembangkang jika pemimpinnya masih leka dan tidak ikhlas kepada prinsip perjuangan parti" tegasnya.

Pada ketika itu katanya, orang Melayu sudah tidak lagi mempunyai kekuatan mempertahankan hak dan ketuanan mereka termasuk mengekalkan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Beliau mengulas peringatan Dr. Mahathir yang antara menjelaskan Melayu kehilangan kuasa sudah terbukti sewaktu Perak diperintah pakatan pembangkang selepas PRU-ke12 lalu apabila DAP lebih berkuasa di negeri itu walaupun Menteri Besar daripada PAS, seperti yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu dipetik sebagai berkata walaupun Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar tetapi dia mengikut arahan DAP sehingga pakatan pembangkang jatuh. Orang Cina mendakwa ini adalah usaha BN menjatuhkan kerajaan Cina.

Menurut Syed Ali lagi, kejadian yang berlaku di Perak sebelum ini seperti disebut Dr. Mahathir boleh berulang di negeri-negeri lain jika reformasi politik secara drastik gagal dilakukan pemimpin UMNO.
Beliau bimbang akibat perpecahan orang Melayu kerana masing-masing menjuarai agenda kepartian, kesempatan itu akan dipergunakan oleh bukan Melayu untuk berkuasa.

"Orang Melayu tidak boleh lagi bergantung kepada PAS dan PKR yang jelas sanggup bertuankan DAP dalam usaha mereka mengekalkan kuasa di beberapa negeri tertentu," katanya.

Tiada ulasan:

Pengikut