Rabu, 30 Jun 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


81 ribu anak luar nikah; UMNO jangan lepas tangan – Nasir Ghani

Posted: 29 Jun 2010 10:44 PM PDT

UMNO di semua peringkat disarankan memberi tumpuan dalam usaha menangani gejala sosial di kalangan remaja terutama membabitkan kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa.

Naib Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Md. Nasir Ghani ketika membuat saranan itu menegaskan, ahli-ahli parti dan masyarakat perlu berasa bertanggungjawab untuk turut sama membanteras gejala tersebut.

"Ahli-ahli UMNO di semua peringkat tidak harus mengambil sikap lepas tangan dalam isu tersebut kerana ianya merupakan fenomena yang boleh meruntuhkan institusi masyarakat dan kekeluargaan," katanya.

Beliau berkata, walaupun kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memikul tanggungjawab tersebut, tetapi ianya masih memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak.

Menurutnya, peranan agensi kerajaan dalam menangani kes pembuangan bayi tidak akan tercapai sepenuhnya tanpa sokongan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (Ngo) termasuk parti-parti politik.

"Selain berpolitik untuk memegang kuasa, parti-parti politik juga mempunyai tanggungjawab sosial untuk menjana pembangunan insan termasuk menangani pelbagai isu yang membabitkan soal moral," tegasnya.

Sehubungan itu jelasnya, ahli-ahli UMNO yang sentiasa mendampingi pelbagai lapisan masyarakat di peringkat akar umbi perlu merancang satu kaedah tersendiri untuk menangani kes tersebut dengan mendahulukan ajaran agama.

Beliau mengulas pendedahan Presiden Institut Intergriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh yang memetik perangkaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bahawa sehingga kini terdapat 81,000 anak luar nikah berdaftar, seperti disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan hari ini.

Md. Nasir berkata, pendedahan perangkaan tersebut amat menakutkan dipercayai kes pembuangan bayi membabitkan pasangan Melayu berada dalam senarai teratas dan sering menjadi tumpuan akhbar tempatan.

"Walaupun perangkaan tersebut agak memalukan kita, tetapi itulah realiti yang memerlukan jalan penyelesaian yang membabitkan sokongan semua pihak," tegasnya.

Beliau menyarankan supaya sayap UMNO, iaitu Pergerakan Pemuda dan Puteri memainkan peranan secara lebih pro-aktif mendekati golongan remaja yang bermasalah.

Katanya, Pemuda dan Puteri UMNO mampu mengadakan pertemuan secara tidak formal dengan kelompok remaja termasuk para pelajar di Intitut Pengajian Tinggi (IPT) Awan dan Swasta.

"Kita perlu memandang serius kerana gejala pembuangan bayi juga turut membabitkan pelajar sekolah termasuk yang berada di asrama," jelasnya.

Md. Nasir juga menggesa ibu bapa supaya meningkatkan kefahamanan agama di kalangan anak-anak mereka bagi menghindari daripada terjebat dengan gejala tersebut.

"Hanya agama sahaja yang mampu menjadi benteng bagi mempertahankan jiwa remaja kita menjadi rosak akibat pengaruhi pemodenan dan persekitaran sekitar," tegasnya.

Khalid seperti bola kempis – Syed Ali

Posted: 29 Jun 2010 08:56 PM PDT

TAN Sri Khalid Ibrahim yang mulai bercuti semalam disifatkan sebagai Menteri Besar paling malang apabila kuasa politiknya dilucutkan secara mengejut oleh kepimpinan tertinggi parti yang diwakilinya, Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, perkara itu bukan sesuatu yang ganjil kerana Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menguasai sepenuhnya parti itu.

Dalam politik jelasnya, apabila jawatan penting yang disandang oleh seseorang pemimpin dilucut secara serta-merta akan membayangkan ada sesuatu yang tidak kena.

" Walaupun masih kekal sebagai Menteri Besar Selangor, tetapi Khalid kini dilihat seperti bola yang sudah kempis (tiada angin), melantun tidak bergolek pun tidak," ujarnya.

Katanya, jika kuasa politik Menteri Besar sudah 'kempis' bagaimana mungkin beliau akan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Jelas beliau lagi, pentadbiran Menteri Besar sudah tentu akan terencat jika kuasa politk sudah terhakis.

Beliau berkata, Naib Presiden PKR, Azmin Ali yang dilantik Pengerusi PKR Selangor menggantikan Khalid sudah tentu akan menguasai sepenuhnya pentadbiran negeri tersebut atas kapasiti kuasa politik.

"Ini bermakna Khalid akan merujuk kepada Azmin sebelum sesuatu keputusan dasar dibuat, jadi apa sebenarnya fungsi Menteri Besar,?

"Inilah taktik Anwar untuk menyisihkan Khalid, eloklah beliau bercuti ke luar negeri, cari ilham dan ketenangan," katanya.

Menurut Syed Ali, jika diambil kira kepada percaturan politik, adalah lebih wajar jika Khalid mengambil keputusan turut melepaskan jawatan Menteri Besar.

Katanya lagi, inilah juga desakan daripada ribuan penyokong PKR di Selangor yang kecewa dengan perlakuan politik Anwar terhadap Khalid.

"Bagaimanapun, hanya pemimpin politik yang berkarisma dan mempunyai prinsip sahaja yang sanggup berbuat demikian," tegasnya.

Oleh sebab itu katanya, Khalid masih boleh berkata perlucutan jawatan beliau sebagai Pengerusi PKR Selangor sebagai satu reformasi untuk mengelakkan 'konflik berkepentingan'.

Khalid juga berkata ; satu jaga parti (merujuk kepada Azmin ) dan satu jaga kerajaan.

Menurut Syed Ali, hanya itulah yang mampu dikatakan oleh Khalid untuk mempertahankan maruahnya yang sudah tercalar.

Tiada ulasan:

Pengikut