Rabu, 30 Jun 2010

Datuk Haji Yussof Haji Mahal

Datuk Haji Yussof Haji Mahal


Isu Tempatan Ke Peringkat Nasional

Posted: 30 Jun 2010 07:44 AM PDT

LABUAN--Beberapa isu tempatan menjadi perdebatan hangat dalam hampir semua siri mesyuarat cawangan Umno yang baru berakhir dan bakal dibawah keperingkat bahagian untuk diusulkkan keperingkat Umno pusat.
Antara isu yang dibangkitkan termasuklah isu Kanun Tanah Negara yang masih belum difahami dan memerlukan penjelasan, isu bekalan air yang belum pasti bila berakhir, bekalan letrik yang belum stabil, jalan raya yang membahayakan pengguna jalan raya dan juga cadangan menurunkan status Jabatan Pelajaran WP Labuan menjadi pejabat pelajaran.
Ketua Penerangan Umno Bahagian Haji Alias Husin memberitahu Daily Mail pada Isnin isu-isu ini adalah isu yang memerlukan penyelesaian dan bukan hanya untuk diperdebatkan semata-mata.
"Isu ini adalah amat penting untuk diselesaikan yang telah banyak menimbulkan permasalahan dan kekeliruan kepada penduduk kampung. Ahli Parlimen kita Datuk Yussof Mahal telah berulang kali menyuarakan dan memperdebatkan disidang Parlimen tetapi sehingga kini masih juga berlarutan," katanya, sambil menambah isu juga pernah ditimbulkan dalam satu mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
Alias berkata bukanlah berniat untuk memperendahkan atau menuding jari kepada mana-mana jabatan terhadap isu seperti ini, tetapi, harus disuarakan bagi mendapat penyelesaian.
"Memandangkan isu-isu ini telah berlarutan, mungkin jalan terbaik adalah dijadikan usul untuk persidangan Umno akan datang," katanya.
Persidangan Umno dijangka diadakakan pada Oktober ini.
Alias juga berkata Labuan meskipun hanya sebuah pulau dengan kepadatan penduduk yang kurang daripada 100, 000 juga mempunyai hak untuk bersuara dalam isu-isu yang boleh menjejaskan kehidupan harian mereka.
"Apa yang boleh dilakukan hanyalah terus menyuarakan kepentingan rakyat, bukan untuk kita mempolitikkan, tetapi kalau kita tidak dapat selesaikan cara lain, mungkin cara politik kita boleh gunakan, iaitu dengan membawa usul ini dipersidangan Umno pusat, ini kerana, masa itulah pemimpin-pemimpin kerajaan pusat boleh mendengar keluhan kita," katanya.
Katanya, sambil memberi contoh kepada isu Kanun Tanah Negara yang penduduk kampung minta untuk dijelaskan, tetapi sehingga kini belum dilaksanakan, begitu juga dengan isu jalanraya yang banyak memberi risiko kepada pengguna jalanraya dan isu air sehingga pelajar UMS membuat piket.
"Adakah kita harus melakukan seperti mana pelajar-pelajar UMS memperjuangkan hak mereka untuk mendapat bekalan air iaitu dengan cara berpiket? Adakah sukar untuk membuat penjelasan kepada rakyat," katanya.

Isu Pengerusi Perbadanan Labuan

Posted: 30 Jun 2010 07:39 AM PDT


LABUAN: Selepas berapa lama mendiamkan diri dari terlibat dalam perdebatan isu jawatan pengerusi Perbadanan Labuan, Ahli Parlimen Datuk Haji Yussof Mahal membuat pendirian dan menegaskan "berhentilah jadikan jawatan pengerusi Perbadanan Labuan sebagai isu politik.", sebaliknya, rakyat Labuan dan pemimpin masyarakat harus memberi tumpuan kepada usaha perpaduan dan persefahaman.
"Tidak perlu kita panjangkan isu ini kerana tidak akan memberi faedah kepada kita, malahan menimbulkan permusuhan diantara pihak tertentu. Soal penyambungan kontrak atau siapa yang mengganti tempat bukan persoalan, tetapi apa yang penting penumpuan kepada hala tuju pembangunan ekonomi Labuan untuk rakyat Labuan.
Beliau mengulas komen dalam blog tempatan berhubung isu jawatan pengerusi Perbadanan Labuan dan Ketua Pegawai Eksekutif yang mengaitkan nama beliau sebagai pengganti Datuk Ahmad Phesal Talip sebagai pengerusi dan Datuk Basiran Saban (Ketua Pegawai Eksekutif )bakal digantikan oleh Jusoh Salleh (yang kini menjawat jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan).
"Tidak perlu membuat andaian dalam mengeluarkan apa-apa komen, sebaliknya harus lebih beretika dan bertanggungjawab dalam penulisan. Adalah tidak beretika membuat andaian tanpa membuat klarifikasi, ini kerana hanya akan mengundang permasalahan undang-undang, sekiranya ianya berbau hasutan, fitnah atau menjatuhkan imej seseorang," katanya.
Yussof berkata beliau kini lebih selasa dengan jawatan sebagai Ahli Parlimen yang berusaha sedaya upaya untuk membantu menyelesaikan permasalahan rakyat.
Penyelesaian kepada permasalahan rakyat adalah penting bagi saya sebagai Ahli Parlimen, ini kerana merekalah yang menyokong dan membawa kemenangan kepada Barisan Nasional di Labuan. Tidak perlu membincangkan isu ini dikedai-kedai kopi dan kedai makan. Ubahlah topik perbincangan harian kita iaitu dengan topik-topik yang lebih mendatangkan faedah kepada rakyat," tambahnya.
Beliau berkata, "tidak semestinya hanya memegang jawatan Pengerusi Perbadanan Labuan, hanya akan mampu menyelesaikan isu-isu dan permasalahan rakyat...saya dipilih oleh rakyat dan seharusnya saya berkhidmat kepada rakyat dan bukan memburu kuasa sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan," katanya.
Katanya adalah lebih baik menyerahkan isu seperti ini kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahtaeraan Bandar, sebagai pihak yang pembuat keputusan.
"Apa yang penting bagi saya sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat adalah bekerja dan berusaha sedaya upaya memastikan keselesaan untuk rakyat. Saya akan cuab menyuarakan hak dan kepentingan rakyat diperingkat persekutuan...dan ini yang amat penting bagi saya dan penting bagi rakyat. Saya ingin melihat keadilan dalam penyaluran pembangunan seperti mana yang dinikmati oleh rakyat di negeri lain.
Inilah kayu pengukur kepada prestasi saya sebagai pemimpin," tegasnya.
"Oleh yang demikian, marilah kita bersama merapatkan jurang yang sebelum ini ada sedikit kelihatan, demi perpaduan dan pembangunan Labuan. Saya berterima kasih kepada ketua kampung yang telah bekerjasama dengan pihak saya memperjuangkan hak penduduk kampung. Perubahan ini amatlah saya hargai," katanya.

Agih Sama Rata

Posted: 30 Jun 2010 07:38 AM PDT

LABUAN -- Ahli Parlimen Labuan, Datuk Haji Yussof Haji Mahal berkata usaha-usaha tetap diteruskan agar "kesamarataan" agihan peruntukan dibawah Rancangan Malaysia Ke-10 diberikan kepada Labuan.
Menurut beliau, rakyat Labuan dapat merasai nikmat pembangunan yang seimbang dan kemudahan infrastruktur lebih baik sekiranya Labuan yang juga merupakan sebahagian daripada Wilayah Persekutuan turut menerima agihan peruntukan sama rata seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Kedudukan Labuan sebagai sebuah Wilayah Persekutuan setaraf Kuala Lumpur dan Putrajaya dan seharusnya keistimewaan taraf pembangunan itu turut dinikmati oleh rakyat Labuan," katanya pada program Apakhabar Orang Kampung di Kampung Sungai Lada, malam tadi.
Yussof menambah, tidak dapat dinafikan Labuan kini tidak ketinggalan dari aspek pembangunan tetapi pada masa yang sama banyak lagi keperluan dan keselesaan rakyat yang memerlukan peningkatan dan penambahbaikan.
Menurutnya lagi "sekiranya cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan ke tanah besar Sabah hanya dapat dipertimbangkan pada tahun 2015, sekarang ini keperluan rakyat yang harus diberikan perhatian segera oleh kerajaan adalah keutamaan ke arah meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan laut sedia ada."
Katanya lagi, selain pengangkutan laut yang menjadi penghubung utama antara rakyat Labuan, Sabah dan Sarawak, sistem jalan raya dan beberapa kemudahan asas lain untuk keselesaan rakyat Labuan tetap diambil perhatian setiapkali perbahasan sidang Parlimen.
Yussof berkata kini rakyat boleh mengakses intipati perbahasan dan pelbagai perkara yang diusulkan dari kawasan parlimen Labuan menerusi laman web Daily Mail.
Pada majlis yang dihadiri lebih 500 penduduk kampung itu, Yussof mengumumkan peruntukan dari parlimen Labuan berjumlah RM20,000 untuk meningkatkan dan menambah baik kemudahan rekreasi di Kampung Sungai Labu.

Terokai Keunikan Labuan, Yussof Mahal

Posted: 30 Jun 2010 07:37 AM PDT

LABUAN, 26 Jun -- Program kemasyarakatan siswazah universiti Semenanjung Malaysia perlu dilaksanakan lebih kerap bagi mendedahkan mereka mengenai keunikan budaya dan kehidupan masyarakat Labuan.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Haji Yussof Haji Mahal berkata dengan mengikuti program kemasyarakatan seperti itu, para siswazah ini berpeluang melihat sendiri keunikan budaya dan merasai corak kehidupan masyarakat Labuan yang tidak terdapat di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

"Para siswazah program Baktisiswa ini belajar hidup di atas air dengan mengalami sendiri keunikan budaya, makanan dan amalan kehidupan masyarakat Melayu Brunei di Kampung Patau-Patau, yang asalnya penempatan penduduk di sini menyara kehidupan sebagai nelayan,"katanya pada majlis penyerahan seramai 35 peserta Baktisiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada lapan keluarga angkat masing-masing di Kampung Patau-Patau 2, di sini.

Yussof menambah selama berada dengan keluarga angkat tersebut, para siswazah yang datang dari pelbagai latarbelakang kehidupan ini dapat menimba pengalaman yang boleh pula dijadikan landasan kehidupan mereka di masa depan.

"Para peserta haruslah memanfaatkan pengalaman hidup kampung di atas air yang tidak ada di Semenanjung Malaysia ini. Segala yang indah dan menarik selama berada di Kampung Patau-Patau ini kongsikan dengan rakan-rakan yang tidak berpeluang ke sini,." tambahnya.

Yussof yakin peserta program Baktisiswa dengan latarbelakang pendidikan sains ini tidak akan melupai norma-norma kehidupan adat melayu yang diwarisi sejak berzaman lamanya.

"Walaupun mengikuti pengajian sains, janganlah sampai melupakan budaya sendiri sebaliknya seimbangkan kecanggihan sains dengan amalan kehidupan berteraskan budaya melayu," kata Yussof.

Program Baktisiswa Friends of Sains Labuan (FOS@L) 2010 ini antara lain bertujuan mengenal dan mendedahkan para siswazah dengan budaya penduduk Labuan sebagai sebuah pulau yang terdiri daripada pelbagai suku kaum dan etnik bumiputera.

Dalam majlis itu Yussof turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM3,000 kepada urusetia program.

Pengikut