Pengikut

Nuffnang

Jumaat, 4 Mac 2016

Puteri Bahagian Segambut

sumber :-

Puteri Bahagian Segambut


Puteri UMNO Bersama Presiden Parti @NajibRazak #RespectMYPM

Posted: 04 Mar 2016 05:46 AM PST

1. Pergerakan Puteri UMNO Malaysia melihat Deklarasi Rakyat yang berlangsung petang tadi merupakan tindakan Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Lim Kit Siang yang bersifat terdesak serta mementingkan diri tanpa melihat kesan yang mendalam terhadap pentadbiran negara.

2. Jujur, kami terkesan dengan tindakan ini. Tindakan bekas pemimpin tertinggi UMNO yang pada kami seumpama membakar lagi api perselisihan yang kini tidak surut dalam kalangan ahli UMNO. Lebih mengecewakan, apabila tindakan ini dijalankan bersama sama dengan pimpinan parti pembangkang yang kita sedia tahu tujuan mereka cumalah satu, meranapkan kepimpinan sedia ada agar mereka dapat berkuasa.

3. Janggal tatkala melihat yang dahulunya disanjung, yang seharusnya memberi pengajaran terbaik kepada orang muda dalam parti, mengambil langkah drastik bersama musuh musuh politik. Dan terlalu asing buat kami melihat mereka yang dulunya menentang, kini menjulang. Kita perlukan perubahan, yang pasti memerlukan pengorbanan, tapi bukan prinsip yang digadaikan.  Buat ahli UMNO, bersatulah. Ini masa kita memperlihatkan semangat juang.

4. Sebagai sayap yang paling bongsu, Pergerakan Puteri UMNO Malaysia memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada YAB Dato' Sri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang dibantu teguh oleh YAB Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, selaras dgn prinsip kesetiaan dan ketaatan sebuah sayap kepada organisasi induk dengan mengenepikan kepentingan individu dan kumpulan serpihan.

5. Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang mewakili suara orang muda ingin melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan gangguan demi gangguan terhadap pentadbiran YAB Dato Sri Najib Tun Razak yang dipilih secara demokrasi, walhal sepatutnya tumpuan diberikan terhadap pemulihan sosioekonomi rakyat di saat kegawatan ekonomi yang sedang melanda dunia.

6. Kami melahirkan rasa bimbang dan khuatir dalam melihat pertelingkahan yang tidak berkesudahan ini bakal merugikan negara dan rakyat tanpa pemenang sebenar bak kata pepatah "Menang jadi arang kalah jadi abu". Pergerakan Puteri UMNO Malaysia sangat yakin dan percaya kepada proses demokrasi yang tidak pernah tertangguh di negara kita dan apabila sampai masa ketikanya, mandat akan dikembalikan kepada rakyat untuk memilih.

Salam hormat.

YB Datuk Hajjah Mas Ermieyati Samsudin
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia

0 ulasan:

Sayap Parti

Bahagian