Ahad, 21 Oktober 2012

PUTERI UMNO BAHAGIAN CHERAS

PUTERI UMNO BAHAGIAN CHERAS


SABOTAJ UMNO - KEGAGALAN MENANGANI PERSEPSI

Posted: 21 Oct 2012 02:44 AM PDT

Kebelakangan ini Kepimpinan Tertinggi UMNO telah memandang serius usaha untuk melakukan transformasi politik dalaman dan telah membuat perubahan dalam menangani isu kemungkinan hadir protes dan sabotaj dalam UMNO ketika melalui PRU 13 nanti. Sabotaj adalah faktor yang dikatakan berlaku sehingga PRU 12 – UMNO mengalami apa yang dikatakan Tsunami politik. Tidak dapat dinafikan ini benar tetapi banyak perkara lain juga telah menyebabkan UMNO hilang beberapa negeri dalam PRU 13 tersebut. 

UMNO perlu mengambil langkah yang lebih drastik lagi dalam usaha mengembalikan sokongan dan tidak hanya mengatakan bahawa kekalahan atau kemenangan tipis PRU 12 adalah hanya kerana sabotaj sahaja. Antara yang perlu dilakukan adalah menangani persepsi rakyat terhadap UMNO dan sehingga hari ini – sungguhpun ada langkah positif tetapi usaha menyeluruh perlu dibuat.

UMNO kena mula mengambil langkah dan tidak hanya mengharapkan bekas-bekas kepimpinan PKR sahaja untuk berceramah dan berleluasa dalam mengeluarkan kenyataan yang tidak selaras dengan usaha UMNO untuk memenangi hati rakyat. Bekas kepimpinan PKR yang rata-rata keluar dari PKR adalah kerana tidak puas hati, marah dan tewas dalam mendapatkan ruangan khas di mata Anwar Ibrahim. Mereka hari ini ada satu motif utama – membalas dendam terhadap Anwar Ibrahim dan apa yang tidak diperoleh mereka.

UMNO – tidak perlu mengharapkan mereka semata-mata. Banyak isu lain yang melibatkan kesejahteraan rakyat yang dijuarai oleh UMNO adalah sandaran untuk pemilihan. UMNO perlu menangani persepsi dan sehingga hari ini – media UMNO hanya berlegar sekitar orang UMNO dan masih mudah dipatahkan oleh media alternatif lain kerana sikap penulisan dan editorial yang lemah. Persefahaman antara media-media dalam UMNO juga lemah dan tidak ada pengawalan khusus dalam menyempurnakan strategi bagi menangani persepsi rakyat.

Biarpun dikatakan bahawa terdapat peningkatan dalam melahirkan cybertrooper UMNO namun kualiti dan "reach" tidak menyeluruh. Ini perlu kerana kita berhadapan dengan mereka yang telah matang dalam gerakan perang saraf media sedangkan kita – hanya menumpukan kepada keseronokan kepimpinan kita membaca dan keseronokan kalangan sirkulasi kita sahaja. 

Ini adalah hakikat yang perlu kita sedari. Kita masih tewas dalam usaha menumpukan arah kita untuk memenangi mereka yang di atas pagar. Adakalanya kita nampak terlampau obsesi dalam memuaskan orang kita sahaja, bercerita kehebatan kita antara sesama tetapi nilai yang rendah di peringkat penerimaan nasional dan rakyat.

PETIKAN  CATATAN ANUAR MOHD NOR - UMNO REFORM

Tiada ulasan:

Pengikut