Isnin, 17 September 2012

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri


UMAT ISLAM DICABAR LAGI

Posted: 17 Sep 2012 07:57 AM PDT

gambar dipetik dari Utusan
Assalamualaikum.

Umat Islam dihina dan dicabar lagi.

Kali ini dengan penayangan filem Islam Innocence of Muslims yang menghina Rasulullah SAW yang mendapat bantahan di seluruh dunia. Malah, banyak pihak yang anti Islam kini telah dengan sengaja mencetuskan provokasi sehingga akhirnya mengundang kemarahan yang memuncak di kalangan umat Islam sendiri.

Barat yang diketuai Amerika Syarikat sedikit pun tidak mengambil tindakan, malah menyifatkan perkara tersebut kononnya dalam konteks kebebasan bersuara.

Hakikatnya, sebarang penghinaan terhadap Islam walau dengan apa cara sekali pun, ia adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan sama sekali. Apa yang dilakukan pihak terbabit tentu sekali mempunyai niat jahat terhadap Islam dan umat Islam.

Sebenarnya, ini bukan sekali Islam dan umat Islam dihina oleh musuh Islam. Malah sebelum ini pun, sudah beberapa kali insiden seperti itu berlaku. Ia juga membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. Namun, apakah hanya memadai dengan kemarahan sedemikian walaupun ia perlu.

Saya berpandangan, umat Islam mudah diperlakukan sedemikian kerana musuh Islam melihat kelemahan umat Islam. Mereka menjadi umat yang mudah berpecah tetapi susah bersatu.

Akibatnya, musuh-musuh Islam dengan rakus mengambil kesempatan untuk menghina Islam dan umat Islam.

Persoalannya, sampai bilakah perkara sedemikian harus berlarutan. Umat Islam perlu bangkit dengan kekuatan – bukan sahaja kekuatan suara dan pengaruh tetapi juga kuat dari segi perpaduan sesama mereka. Kita semua harus belajar daripada sejarah dan tidak lagi memandangkan sebagai sesuatu yang mudah.

Jika umat Islam bersatu dan kuat, pastinya musuh Islam tidak akan lebih berani dengan tindakan mereka.

Apa pun, kita menentang sekeras-kerasnya penayangan filem tersebut dan berharap agar tindakan segera diambil bagi menghentikannya. Sikap biadab musuh Islam yang dinaungi zionis barat adalah sesuatu yang sangat melampau.

Ia adalah sesuatu yang di luar tamadun dan wajib ditentang oleh umat Islam dan mereka yang cintakan keamanan sejagat.

Tiada ulasan:

Pengikut