Ahad, 26 Ogos 2012

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri


BERTUAHNYA RAKYAT MALAYSIA

Posted: 25 Aug 2012 12:16 PM PDT


Assalamualaikum.

Syukur Alhamdulillah, saya masih diberikan kekuatan untuk mencatatkan sesuatu untuk anda semua.

Bersyukur jugalah kerana Syawal sekali lagi datang menjengah dan kita di Malaysia yang bertuah ini dapat menyambut hari lebaran dengan meriahnya. Jujurnya, jika dibandingkan dengan negara-negara lain di dunia, kita di sini sebenarnya jauh lebih bertuah.

Fakta ini tidak ada sesiapa pun yang mampu menafikannya. Saya dan anda sendiri mampu melihat betapa Aidilfitri telah diraikan dengan meriah, harmoni dan penuh dengan semangat perpaduan di kalangan rakyat.

Jauh daripada itu, rakyat kita juga mewah dengan pelbagai bantuan dan sumbangan, bukan sahaja daripada kerajaan tetapi juga orang perseorangan. Ramadan yang baru sahaja kita tinggalkan misalnya telah meninggalkan banyak peristiwa kepada kita.

Selain kita telah mengisinya dengan amal ibadah untuk menikmati ganjaran dan tawaran pahala berlipat kali ganda dari Allah s.w.t, Ramadan juga telah memperlihatkan di negara ini bagaimana umat Islam dan kerajaan tidak "menang tangan" menghulurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

Saya sendiri sebagai wakil rakyat yang merasai sendiri keadaan tersebut telah melihat betapa bertuahnya rakyat di negara ini kerana sentiasa diberikan perhatian oleh kerajaan. Sebutkan sahaja di mana ada rakyat yang susah, pasti akan segera dibantu.

Saya sangat teruja sebenarnya untuk menyatakan betapa jika kita semua di negara bertuah ini tidak bersyukur dengan segala nikmat itu, maka tidak tahulah saya untuk berkata apa lagi.

Oleh itu, saya ingin mengajak rakyat agar melihat dan menilai keadaan ini agar mereka tidak terjebak dengan perkara-perkara yang boleh merugikan negara dan masa depan mereka.

Ini adalah satu realiti yang harus kita terima dengan hati yang terbuka, siapa pun kita, di mana pun kita berada.

Kita rakyat Malaysia sebenarnya sangat bertuah.

Tiada ulasan:

Pengikut