Selasa, 17 Julai 2012

Ahli Parlimen Kota Belud

Ahli Parlimen Kota Belud


SPRM ... Antara kejayaan dan kekangan

Posted: 17 Jul 2012 10:06 AM PDT



Salam,

Hari ini saya bersama ahli-ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah mengadap Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di Istana Negara untuk menerima surat cara perlantikan dari Baginda Tuanku. Jawatankuasa ini terdiri daripada ahli-ahli parlimen dari BN dan PR. Ini adalah penggal kedua untuk saya. Rakan-rakan lain di dalam jawatankuasa tersebut ialah YB Dato Seri Radzi Ahmad (BN-Kangar), YB Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), YB Datuk Ismail Mutallib (BN-Maran), YB Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian), YB Datuk Doris Sophia Brodi (BN Senator/ Timbalan Yang DiPertua Dewan Negara) dan YB Yusmadi Yusoff (PKR- Balik Pulau).

Sepanjang penggal pertama, saya mendapat banyak pengalaman dan pengetahuan mengenai perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan fenomena rasuah di negara kita.

Ada banyak isu-isu yang kami bincang dalam jawatankuasa ini. Ada yang diterima oleh kerajaan dan ada yang masih belum terlaksana kerana kekangan-kekangan yang tidak dapat dielakkan.

Antara yang diterima ialah penambahan bajet tahunan SPRM, penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan sendiri, penambahan staff, menyukarkan pelucutan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM secara sewenang-wenangnya oleh kerajaan supaya beliau tidak perlu gentar dengan kedudukannya, penubuhan akademi SPRM dan lain-lain lagi.

Cadangan lain yang masih dalam perhatian kerajaan ialah memberi kuasa pendakwaan kepada SPRM tanpa perlu melalui Peguam Negara dan cadangan meletakkan SPRM di bawah seliaan Parlimen secara langsung dan bukannya Jabatan Perdana Menteri.

Untuk makluman, menurunkan kuasa mendakwa kepada SPRM tanpa melalui Peguam Negara memerlukan pindaan perlembagaan dan untuk diluluskan di parlimen sekurang-kurangnya dua pertiga undi ahli-ahli parlimen mesti menyokong usul tersebut.


Saya sebenarnya agak risau dengan cadangan ini kerana walaupun nampak ianya baik kerana tidak perlu kebenaran Peguam Negara, namun ianya melanggar prinsip pengasingan fungsi menyiasat dan menuduh seperti dalam sistem kehakiman kita di mana polis menyiasat, Peguam Negara menuduh dan hakim mengadili.

Bayangkan kalau sesebuah agensi itu mempunyai kuasa untuk menyiasat dan menuduh. Kemungkinan salah guna kuasa boleh berlaku kerana ketiadaan "check and balance". Kemungkinan penganiyaan berlaku adalah tinggi terutamanya jika SPRM diketuai oleh orang yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai agendanya tersendiri.

Untuk meletakkan SPRM di bawah seliaan Parlimen, saya juga kurang yakin bahawa itulah jalan yang terbaik untuk memperkasakan SPRM. Alasan saya senang.Di Malaysia ini semua wakil rakyat samada dari kerajaan atau pembangkang, baik di Parlimen mahupun Dewan-Dewan Undangan Negeri, akan mengundi mengikut arahan parti masing-masing.

Maknanya, jika SPRM diletakkan dalam Parlimen sekarang, sudah tentu pengundian akan memihak kepada BN kerana BN mempunyai majoriti. Dan saya pasti jika PR menang pilihanraya ke-13 nanti, ahli-ahli parlimen mereka juga akan mengundi mengikut arahan parti mereka. Oleh sebab itu, tidak ada jaminan SPRM akan bebas jika diletakkan di bawah seliaan parlimen. Oleh sebab itu, pandangan mereka yang mengatakan SPRM akan lebih telus dan bebas dari pengaruh mana-mana pihak jika diletakkan dibawah seliaan parlimen mungkin tidak tercapai.


Walaupun sebenarnya ramai ahli-ahli politik dan individu-individu telah ditangkap, didakwa dan dihukum, tanggapan "ikan bilis ditangkap, ikan jerung terlepas" masih menjadi cabaran hebat kepada SPRM. Tidak ramai yang memahami bahawa SPRM tidak boleh bertindak tanpa bukti yang kukuh sebelum membuat pendakwaan. Hanya mengesyaki seseorang terlibat di dalam rasuah (samada realiti atau tidak) tidak dapat membantu SPRM mendapatkan penghukuman oleh mahkamah. SPRM  memerlukan bukti yang tidak dapat disangkal oleh peguam bela untuk mendapatkan keputusan bersalah dari mahkamah. Jika SPRM gagal mendapatkan penghukuman bersalah mahkamah, SPRM juga akan dipersalahkan kerana akan ada tuduhan liar yang mengatakan SPRM sengaja melepaskan batuk di tangga dalam usaha membanteras rasuah di dalam negara kita.


Sebagai rujukan, badan pencegah rasuah yang paling terkenal di dunia seperti ICAC Hong Kong juga memerlukan sekitar 10 tahun sebelum berjaya membuktikan kejayaan dan keberkesanan operasi mereka. Saya rasa kita tidak perlu ambil masa sampai begitu lama untuk menjadikan SPRM sebagai sebuah agensi anti rasuah yang berkesan. Rakyat hanya perlu memberi sokongan moral kepada SPRM sekarang. 

Pada penghujung penulisan artikel ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjunjung kasih terhadap DYMM SPB YDP Agong kerana telah berkenan melantik saya sebagai salah seorang dari ahli Jawatankuasa Khas ini.


Sememangnya, perjuangan kita membanteras rasuah mesti dan wajib diteruskan. Insyaallah.

Tiada ulasan:

Pengikut