Isnin, 19 Mac 2012

PUTERI UMNO BAHAGIAN CHERAS

PUTERI UMNO BAHAGIAN CHERAS


PELANCARAN JENTERA PILIHANRAYA UMNO WILAYAH PERSEKUTUAN

Posted: 19 Mar 2012 12:48 AM PDT

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu jentera parti komponen Barisan Nasional (BN) memberi sokongan padu kepada siapa sahaja yang dipilih sebagai calon BN pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya ini kerana kemenangan calon yang dipilih pucuk pimpinan amat bergantung kepada sokongan jentera parti dan apa yang penting ialah kemenangan parti, bukannya calon yang bertanding.

"Bila sampai masanya pucuk pimpinan membuat keputusan siapa calon yang akan diletakkan di kawasan kita, tentulah keputusan itu tidak dibuat dengan terburu-buru dan pastinya ia pilihan yang terbaik.

"Walaupun kawasan itu kawasan yang bukan UMNO, kemenangan rakan-rakan kita dalam BN menentukan kemenangan parti kita walaupun yang bertanding itu MCA atau Gerakan (misalnya), kita harus menyokong parti yang bertanding kerana mereka bertanding atas tiket BN dan kemenangan itu kelak adalah kemenangan BN," katanya.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan (WP), berkata demikian ketika melancarkan jentera pilihan raya Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan BN Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Berucap di hadapan lebih 3,000 anggota UMNO WP, Muhyiddin berkata memandangkan pilihan raya umum dijangka diadakan dalam waktu terdekat, jentera parti WP juga perlu menggiatkan usaha untuk menemui seberapa ramai pengundi bagi mendapatkan sokongan mereka. "Yang penting dalam pilihan raya adalah pengundi, pengundi itu adalah raja, pengundi yang menentukan nasib kita. Kekalahan kita yang lalu adalah mungkin kerana pengundi melihat kita tidak berusaha dan tidak mengambil langkah proaktif untuk membela mereka," katanya.

Beliau juga percaya senario politik pada masa ini lebih menyebelahi BN hasil program transformasi yang diperkenalkan kerajaan yang banyak membantu mengurangkan beban rakyat.

"Saya yakin di Wilayah Persekutuan, bukan saja beberapa kerusi yang kita berikan tumpuan boleh menang, tidak mustahil untuk kita memenangi kawasan-kawasan yang dikatakan hitam…tapi dengan syarat kita bekerja lebih bersungguh-sungguh," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata anggota UMNO WP perlu memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama untuk memastikan kemenangan BN.

"Kalau ada masalah, kita harus akui ada masalah dan mesti ambil langkah segera untuk membetulkan kelemahan dan mengenepikan segala perselisihan faham yang wujud antara kita," katanya.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Muhyiddin berkata beliau sudah selesai membuat lawatan ke setiap negeri bagi mengetahui kedudukan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menghadapi pilihan raya.

"Kami telah diberikan laporan lengkap mengenai perkara itu dan pada umumnya persiapan di peringkat negeri dan bahagian sudah pun ada.

"Cuma yang saya nak tegaskan dalam tempoh beberapa bulan ini kita nak perkemaskan lagi terutama di kawasan tumpuan yang kita fikir kita akan mendapat kemenangan tapi memerlukan tumpuan yang agak khusus," katanya.

Ditanya mengenai prestasi pihak pembangkang yang hampir empat tahun mentadbir negeri Selangor, Muhyiddin berkata daripada tinjauan dan laporan yang beliau terima, rakyat di negeri itu berdepan dengan banyak masalah.

Beliau berkata pembangkang lebih mementingkan politik daripada pentadbiran selain membuat perubahan dasar yang menyulitkan rakyat negeri itu.

"Segala usaha yang dibuat BN menerusi kerajaan pusat juga mereka anggap tidak memberi faedah kepada rakyat Selangor, contohnya saya telah dimaklumkan oleh pengarah bahagian pembangunan Kementerian Pelajaran bahawa pembangkang tak mahu melepaskan tanah-tanah untuk kita majukan bagi tujuan sekolah, mereka kata tanah itu adalah rizab kerajaan negeri," katanya.

Tiada ulasan:

Pengikut