LAMAN BLOG PERGERAKAN PEMUDA UMNO CAWANGAN TELOK DATOK |
Posted: 22 Mar 2012 02:40 AM PDT Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau perlu mengikut kehendak rakyat dalam memilih calon bagi pilihan raya. "Sebagai seorang pemimpin, adalah wajar saya mendengar apa yang rakyat mahu. Maka, saya akan membuat keputusan sama ada tempoh bagi seseorang itu sudah sampai dan dia tidak lagi harus bertanding," kata Perdana Menteri dalam satu temubual dengan DJ Sam Mak dan Tan Yi Hui dari stesen radio 988 FM dalam program satu jam "988 Street VIP" hari ini. Sebagai contoh, kata Najib, jika orang ramai di sesuatu kawasan itu mendapati wakil rakyat mereka gagal menjalankan tugas dengan baik dan mereka tidak lagi mahu orang ini mewakili mereka, maka beliau perlu membuat keputusan. Persoalan yang akan timbul akhirnya ialah sama ada beliau selaku Perdana Menteri dapat memenuhi kepentingan rakyat atau tidak, katanya. Najib berkata beliau akan dipersalahkan kerana menggugurkan mereka. "Kita tidak boleh salahkan pemimpin kerana pemimpin melakukan apa yang terbaik untuk rakyat. Itulah prinsip yang saya pegang," katanya. Ketika ditanya sama ada pilihan raya umum kali ini akan diadakan pada Mei atau Jun, Perdana Menteri berkata apa saja boleh berlaku tetapi memilih tarikh pilihan raya bergantung kepada banyak faktor. Katanya apa yang penting ialah untuk meyakinkan rakyat bahawa masanya adalah sesuai dan terdapat keyakinan yang tinggi terhadap kerajaan. "Saya masih menilai keadaan semasa lawatan saya ke seluruh negara. Saya ingin lihat sejauh mana sokongan rakyat terhadap saya dan terhadap kemampuan kita menyelesaikan isu-isu semasa. "Mudah-mudahan terdapat faktor-faktor keyakinan yang baik malah yang kukuh, maka itulah masanya saya rasa kita akan adakan," katanya. Mengenai serangan peribadi dalam laman Facebook beliau, Najib berkata itu sudah dijangka kerana dalam alam siber, semuanya boleh belaka. "Tapi, jika ada teguran positif dan membina, saya rasa ianya baik untuk negara melibatkan rakyat. "Rakyat harus menyatakan pendapat. Sebagai pemimpin, terpulang kepada kita untuk melibatkan mereka. Proses penglibatan rakyat ini baik untuk kita. Saya menyambut baik proses ini dan berharap rakyat akan melihatnya secara positif," katannya. Ketika ditanya sama ada beliau menganggap dirinya seorang ahli politik atau seorang negarawan, Perdana Menteri berkata beliau berpendapat kombinasi kedua-duanya perlu ada pada seorang pemimpin sebuah negara demokrasi yang segar seperti Malaysia dan negara-negara lain. Katanya kerajaan mempunyai perancangan jangka panjang dan visi yang amat jelas untuk Malaysia. "Namun, pada masa yang sama, saya harus berpijak di bumi nyata. Saya sedar bahawa untuk mencapai visi jangka panjang ini, kita perlu menang dalam pilihan raya akan datang," kata Najib.- Bernama |
Posted: 21 Mar 2012 08:09 PM PDT Datuk Dr Hasan Mohamed Ali (Bebas– Gombak Setia) mempersoalkan tindakan seorang individu yang menjawat jawatan tertinggi di tiga buah syarikat di Selangor menerima elaun dan berbelanja mewah sehingga ratusan ribu ringgit. Bekas Exco Kerajaan Negeri mendedahkan, individu itu didakwa pergi ke China, Thailand dan Australia membabitkan kos kira-kira RM130,000 pada tahun sama. "Saya bukan iri hati, hanya fikirkan rakyat. Saya hairan sebab dia asyik ke luar negara saja, seolah-olah tiada kerja di negeri ini. "Saya cadangkan supaya hadkan bilangan untuk seseorang itu pegang jawatan seperti yang pernah dicadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang sebelum ini. Jika dia mahu pegang banyak jawatan, kena hadkan elaun diterimanya," katanya ketika membahaskan titah Sultan Selangor di Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, semalam. Sebelum itu, Hasan menyelar Dr Abdul Rani Osman (Pas– Meru) mempunyai masalah psikologi kerana mempersoalkan ketidakhadiran beliau pada Majlis Santapan Diraja, malam Isnin lalu dan sesi petang sidang kelmarin. "Dia ganggu peribadi saya dan tidak mencerminkan kebijaksanaan yang seharusnya dimiliki oleh seorang Adun. "Saya juga pernah jadi ahli Parlimen. Kadang-kadang menteri tidak menghadiri sidang Parlimen kerana mempunyai beberapa perkara lain yang mendesak. Adakah itu bermakna mereka tidak menghormati Dewan Rakyat?" katanya. Dalam sidang sama, Hasan berkali-kali diberi peringatan oleh Timbalan Speaker Dewan, Haniza Mohamed Talha supaya tidak membincangkan perkara peribadi. Beliau mendakwa, pemecatannya daripada Pas adalah kerana berjuang untuk Islam, Melayu dan institusi diraja (IMR). Dr Shafiee Abu Bakar (PAS-Bangi) kemudian bangun dan mempersoalkan Hasan sumbangan sebagai Exco Selangor sebelum ini dan mendakwa kemungkinan beliau kecewa akibat dipecat. Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) turut bertanya masa yang diperuntukkan Hasan melibatkan diri dengan orang bukan Islam mengenai dakwaan murtad yang dibuat mereka. "Saya seorang pakar motivasi, tiada istilah kecewa dalam hidup saya," katanya. Dalam pada itu, Hasan turut mendakwa Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak wajar diangkat sebagai pemimpin dalam membantu pembangunan di negeri itu kerana berdepan dengan pelbagai masalah moral. "Saya tidak tuju kepada sesiapa pun, cabaran pembangunan bukan bersifat fizikal semata-mata, tetapi moral dan akhlak. Kita perlukan pemimpin yang lengkap seperti itu," katanya. |
Posted: 21 Mar 2012 07:50 PM PDT Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui tiada projek pembangunan melibatkan tanah rizab Melayu oleh anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC) sejak tiga tahun lalu. Menurutnya, apa yang dirancang Kerajaan Negeri ialah membangunkan tanah rizab Melayu yang terletak di kawasan strategik seperti di Klang, Hulu Langat dan Sepang untuk projek perumahan. "Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri pada masa ini tidak mempunyai perancangan khusus membangunkan tanah rizab Melayu," katanya, semalam. Kenyataan berkenaan menjawab pertanyaan mulut Ng Suee Lim (DAP-Sekichan) berhubung perancangan membangunkan tanah rizab Melayu yang strategik demi meningkatkan tahap ekonomi Melayu. Abdul Khalid berkata, jumlah keluasan tanah rizab Melayu bagi sembilan daerah di seluruh Negeri Selangor sebanyak 182,701.7 hektar. Beliau berkata, jumlah keluasan mengikut pecahan daerah adalah Sabak Bernam iaitu 69,129.4 hektar, Gombak (4,576.8), Sepang (9,146 ), Hulu Langat (13,237.5), Hulu Selangor (12,720.8), Kuala Langat (15,012.3), Kuala Selangor (7,474.5), Klang (9,123) dan Petaling (1,093.2). Dalam pada itu katanya, pihaknya bercadang membangunkan tanah rizab Melayu di negeri ini yang difikirkan boleh menjana keuntungan dan memberikan faedah kepada kaum bumiputera dalam masa terdekat. Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Perasmian Pembukaan Sidang Dun Selangor Isnin lalu menitahkan agar pentadbiran Kerajaan Negeri bertanggungjawab mengawal selia tanah dengan amanah dan berhemah. Dalam titah tersebut, baginda mahu kawasan kepentingan umum seperti hutan simpan, kawasan tadahan air, rizab sungai dan sebagainya mesti dipertahankan malah pencerobohan mesti dibanteras dan kebenaran tidak sepatutnya diberikan untuk projek pembangunan di kawasan tersebut. "Peruntukan Perlembagaan untuk Tanah Rizab Melayu mesti dipatuhi. Beta tidak mahu mana-mana pihak melakukan tindakan tidak bertanggungjawab dengan cuba memindahkan Tanah Rizab Melayu kepada individu atau syarikat bukan milik Melayu. "Beta percaya Menteri Besar, Kerajaan Negeri Selangor dan semua kakitangan kerajaan yang terlibat dalam urusan tanah sentiasa berwaspada mempertahankan tanah rizab Melayu dengan memastikan tidak ada yang bertukar status," titah baginda. |
You are subscribed to email updates from LAMAN BLOG PERGERAKAN PEMUDA UMNO CAWANGAN TELOK DATOK To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan