Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin, Roslan Ahmad dinamakan sebagai calon BN untuk pilihanraya kecil DUN Merlimau. Pengumuman tersebut dibuat Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Operasi BN Merlimau petang Rabu.


Lebih 2,000 orang penyokong BN hadir pada majlis berkenaan termasuk ramai pemimpin BN seperti Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.


Bercakap dalam sidang akhbar selepas pengumuman itu Muhyiddin berkata beliau percaya senario politik negara pada masa ini berpihak kepada Barisan Nasional (BN) atas faktor rasa puas hati yang dirasai oleh semua kaum di negara ini.
"Saya lihat peningkatan keseluruhan keyakinan rakyat kepada BN bertambah baik berbanding pilihan raya umum lepas (2008) dan rakyat kini lebih senang dan selesa dengan BN," katanya.

Muhyiddin berkata suasana "feel good" atau rasa puas hati itu dibuat berasaskan kepada kemenangan calon BN pada beberapa pilihan raya kecil yang lepas dan menurutnya senario itu perlu diperkukuhkan lagi.

Beliau berkata, BN telah mengambil langkah transformasi politik dan begitu juga perubahan transformasi ekonomi yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Transformasi itu yang dimulakan oleh Perdana Menteri sudah ada impak dan hasilnya rakyat akan lebih menilai keupayaan kita (menerusinya) berbanding apa yang dilakukan oleh pihak parti lawan," katanya.
Mengenai pilihan raya kecil DUN Merlimau, Muhyiddin menasihati jentera pilihan raya parti supaya tidak terlalu yakin walaupun penerimaan rakyat terhadap BN kini amat baik.
"Bermula hari ini, kerja-kerja turun ke padang boleh dilakukan untuk bertemu para pengundi," katanya dan tegasnya bertemu dengan pengundi adalah penting untuk bertanya khabar, bersalam dan bertanyakan masalah mereka untuk dibawa ke pemerhatian BN.
Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata, BN Melaka sudah bersiap sedia bekerja keras bagi memastikan kemenangan dengan majoriti lebih besar pada pilihan raya kecil itu bagi memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dihasrat oleh Perdana Menteri.

"Insyallah, kita akan cuba," katanya.
Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.
DUN Merlimau mempunyai 10,679 pengundi pendaftar melalui tujuh daerah mengundi iaitu Air Merbau, Chinchin, Jasin Lalang, Merlimau Utara, Merlimau Pasir, Permatang Serai dan Pengkalan Samak.
Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian Mohamad Hidhir pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung.
-23/2/2011






BERITA SEBELUM INI : 'Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi'. Begitulah yang diboleh diibaratkan pada Roslan Datuk Ahmad yang dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.

Roslan, 44 tahun merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin merupakan anak kepada arwah Datuk Ahmad Ithnin bekas Ketua UMNO Bahagian Jasin (1974 – 1978) juga anak saudara bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Abu Zahar Ithnin.

Beliau seorang bekas Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jasin selama dua penggal, pernah memimpin Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Merlimau selama 10 tahun.

Dilahirkan di Merlimau Pasir dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Merlimau kemudian ke Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum, Merlimau.

Sekolah Menengah Teknik Melaka terus mengambil Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Maktab Adabi Muar dan menerima Diploma Pentadbiran dan Perniagaan di Institiut Teknologi Tun Abdul Razak (ITTAR)
Kuala Lumpur.

Beliau kini bertugas sebagai Pengurus Unit Pembangunan Perniagaan dan Sosiol Ekonomi di Perbadanan Melaka Holding Sdn Bhd.


Ketika ditemui Agendadaily , Roslan merupakan seorang yang ramah, mesra, bersifat lemah lembut, berbudi bahasa dan menghormati pemimpin.

"Terima kasih pada pucuk pimpinan dan itu adalah amanah yang kita sebagai ahli politik mesti pikul demi kepentingan parti. Saya hanya boleh berusaha dengan azam yang kuat, namun tidak boleh bersendirian kerana seluruh pemimpin dalam UMNO Bahagian Jasin mesti memberi sokongan untuk menempa apa-apa kejayaan, itu bukan hanya pada saya tapi pada sesiapa pun yang jadi calon di Merlimau ini," kata Roslan.

DUN Merlimau mempunyai seramai 10,679 pemilih berdaftar termasuk 36 pengundi pos dalam rekod daftar pemilih sehingga 31 Disember lalu.
Terdapat pengundi Melayu 64.1 peratus, Cina (20.8 peratus), India (14.4 peratus) dan lain-lain bangsa (0.7 peratus).

Pada Pilihan Raya Umum 2008, calon BN, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan mengekalkan kerusi itu apabila menang dengan majoriti 2,154 undi menewaskan calon Pas, Jasme Tompang.

Sebanyak tujuh buah sekolah akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 21 saluran tempat mengundi. Sekolah-sekolah berkenaan adalah SJK (C)Jasin Lalang, SK Chinchin, SJK (T) Ladang Jasin Lalang, SK Merlimau 2, SK Merlimau 1, SK Merlimau dan SJK (C) Merlimau.-22/02/2011