Selasa, 26 Julai 2011

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Biometrik ; SPR jangan tunduk tekanan pembangkang – Syed Ali

Posted: 25 Jul 2011 09:18 PM PDT

TIDAK ada sebab untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tunduk terhadap tekanan pembangkang yang menolak penggunaan sistem biometrik pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, jika penggunaan sistem baru itu telus dan baik, maka penggunaannya wajar diteruskan.

"Saya difahamkan cadangan penggunaan sistem biometrik masih lagi dalam proses kajian, maka tidak perlu SPR melayan kerenah pembangkang," katanya.

Katanya, sudah menjadi tabiat pembangkang akan menolak apa sahaja cadangan yang dilakukan oleh kerajaan termasuk SPR walaupun ianya baik untuk rakyat.

"Kita tenguk dulu hasil kajian tersebut, jika sistemnya elok dan telus, maka tidak ada sebab kita menolaknya. Ini satu transformasi dalam sistem pilihan raya di negara ini," katanya.

Beliau kecewa kerana pembangkang sengaja mempolitikkan cadangan penggunaan sistem biometrik seolah-olah kerajaan sengaja berbuat demikian untuk mengekalkan kuasa pada PRU akan datang.

Sebaliknya jelas beliau, penggunaan sistem biometrik akan menghalang taktik menggunakan pengundi hantu sepertimana dikesan berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh di Pulau Pinang dan Pengkalan Pasir (Pasir Mas), tidak lama dahulu.

"Inilah punca yang menyebabkan pembangkang menentang keras cadangan tersebut, mereka bimbang tidak dapat lagi menggunakan taktik pengundi hantu pada pilihan raya akan datang," tegasnya.

Katanya, pembangkang sepatutnya meneliti terlebih dahulu kajian yang sedang dibuat oleh SPR sebelum mengeluarkan pelbagai kenyataan negatif.

"Mereka terus memanipulasikan cadangan penggunaan sistem biometrik sebagai helah untuk menarik sokongan pengundi," ujarnya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.

Sikap itu kata Syed Ali, membuktikan pembangkang sememangnya tidak mahu penggunaan cara atau kaedah yang lebih telus dan berkesan dalam sistem pilihan raya di negara ini.

Lagipun kata beliau, Malaysia sudah mencapai status negara maju dan kaedah pengurusan sistem pilihan raya perlu dimodenkan sejajar dengan perubahan zaman.

"Sistem pengundian perlu dimodenkan sejajar dengan perkembangan semasa. Tidak perlu selama-lamanya SPR kekal dengan cara lama sepertimana yang masih diamalkan di negara-negara miskin seperti Bangadesh dan Pakistan," katanya.

Sistem biometrik yang bakal diperkenalkan oleh SPR adalah menerusi maklumat dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen, iaitu pemadaman cap ibu jari sebelum dibenarkan mengundi.

Mengenai dakwaan Ahli Parlimen PAS Bukit Gantang, Datuk Sri Ir. Mohd. Nizar Jamaluddin bahawa penggunaan sistem biometrik akan melambatkan proses pengundian, Syed Ali berkata, hanya mereka bersifat gelojoh sahaja yang tidak boleh menerima perubahan tersebut.

Katanya, mungkin pada awalnya kelihatan lambat, tetapi perkara itu akan diperbaiki oleh SPR jika ianya dilaksanakan kelak.


"Biasalah orang gelojoh, seperti Nizar yang tergilakan jawatan Menteri Besar Perak, semuanya akan dilihat sebagai negatif jika tidak menguntungkan mereka," ujarnya.

Syed Ali juga menolak dakwaan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang beranggapan penggunaan sistem biometrik itu tidak akan menjamin ketelusan SPR.

"Tak ada yang baik apa yang dibuat oleh SPR, rasanya SPR akan dikatakan paling 'bersih' dan adil di dunia ini jika Anwar (Datuk Seri) dilantik sebagai pengerusinya," jelas beliau.

Tiada ulasan:

Pengikut