Sabtu, 9 Julai 2011

PEMUDA UMNO BAHAGIAN JASIN

PEMUDA UMNO BAHAGIAN JASIN


FAKTA : BERSIH 2 DIBAYANGI PEMBANGKANG ?

Posted: 20 Jun 2011 05:33 PM PDT


Anwar Ibrahim kuasai Bersih?

Oleh NIZAM YATIMnizam.yatim@utusan.com.my
KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin sekali lagi 'membuat janji' bahawa perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini akan dibatalkan jika segala syarat yang ditetapkan pihaknya dipatuhi kerajaan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, beliau akan meminta Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga membatalkan perhimpunan itu sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa pilihan raya umum akan dijalankan secara bersih dan adil.

Janji itu dibuat ketika berucap di hadapan lebih 2,000 ahli PKR yang menghadiri satu konvensyen pilihan raya anjuran parti itu di Shah Alam, Selangor, kelmarin.

Anwar berlagak seolah-olah beliau boleh menentukan jadi atau tidak jadi perhimpunan Bersih pada 9 Julai ini. Kalau Najib tidak ikut cakapnya, himpunan itu akan diteruskan.

Apa yang menjadi persoalan ialah Anwar sudah mengambil peranan Ambiga. Dan sikap Anwar itu ditegur oleh bekas Presiden Majlis Peguam itu, "Kami telah memutuskan untuk mengadakan perhimpunan itu dan kamilah yang akan memutuskan sama ada hendak mengadakannya ataupun tidak."

Ambiga tidak perlukan Anwar dan PKR kerana Pas sudah cukup komited dengan Bersih 2. Pas juga tidak 'curi' Bersih untuk kepentingan diri.

Bagaimana pula dengan kelayakan Anwar untuk berlagak seperti hero bagi memperjuangkan pilihan raya bersih, sedangkan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada November tahun lalu telah dicemari dengan pelbagai penyelewengan.

Masyarakat masih ingat bagaimana ia berpunca daripada tindakan Anwar sendiri yang berpihak kepada 'anak emas' beliau, Azmin Ali yang bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Perkara itu diakui sendiri oleh bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Ezam Mohd. Nor yang menegaskan, Anwar tiada hak meminta Perdana Menteri menjamin pilihan raya yang adil bagi membolehkan perhimpunan haram Bersih ditangguhkan.

''Kita telah saksikan sendiri betapa rosak dan tempangnya proses pilihan raya PKR. Sehinggakan hari ini, semua isu besar yang ditimbulkan calon-calon yang bertanding masih tidak dijawab," katanya.

Apa yang disebut oleh Ezam itu ada kebenarannya jika dilihat keputusan bekas ahli MPP parti itu, Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden dan melepaskan semua jawatan dalam parti. Beliau kemudiannya keluar daripada PKR.

Ketika mengumumkan keputusan itu pada 8 November lalu, peguam yang sentiasa berpegang kepada nilai demokrasi dan tadbir urus yang baik berkata, beliau bertindak sedemikian kerana pucuk pimpinan parti secara aktif membenarkan berlakunya penyelewengan dan penipuan dalam pemilihan.

Zaid berkata, beliau tidak boleh meneruskan perjuangan dalam pemilihan yang cacat kerana yakin, parti politik yang mengamalkan nilai-nilai palsu dan hipokrit tidak mampu menawarkan sebarang pembaharuan bermakna kepada rakyat.

Zaid bertindak sedemikian setelah beberapa kali keputusan pengundian yang sebelum ini menunjukkan beliau mendahului Azmin terpaksa diubah oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail atas alasan silap kiraan.

Membuat desakan sama ialah seorang lagi calon Timbalan Presiden, Mustaffa Kamil Ayub, yang menggesa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) digantung dan proses pemilihan parti ditangguh sehingga tindakan proaktif diambil bagi membaiki segala penyelewengan.

Turut tidak berpuas hati ialah calon Ketua AMK, Badrul Hisham Shaharin yang telah menulis sepucuk surat kepada Presiden PKR , Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mendakwa Ketua Cabang Kota Marudu telah dihubungi oleh Anwar sendiri yang 'mengarahkan' sokongan kepada calon tertentu.

Selain kekecohan ketika pemilihan MPP, mesyuarat memilih kepimpinan cabang pada September dan Oktober lalu turut penuh dengan kontroversi termasuklah kerusi berterbangan, dakwaan penggunaan samseng dan penipuan kertas undi.

Di Cabang Kota Raja misalnya, calon Ketua Cabang, S. Kottapan mendakwa ditumbuk oleh penyandang jawatan itu, Dr. Xavier Jayakumar.

Pergaduhan besar juga berlaku di Cabang Sabak Bernam, Klang dan Kuala Langat apabila kotak-kotak undi dipecah manakala kerusi dibaling.

Insiden tolak-menolak turut berlaku di Cabang Hulu Selangor apabila 100 ahli parti itu bertindak menghalang sebuah kereta yang membawa kertas undi memasuki pekarangan dewan pengundian.

Perkara sama berlaku di Cabang Bayan Baru apabila ramai ahli tidak berpuas hati kerana kertas fotostat dibenarkan digunakan sebagai kertas undi.

Berdasarkan rentetan penyelewengan yang berlaku dalam pemilihan PKR, kita ingin bertanya adakah parti itu akan turut sama memenuhi segala tuntutan yang dibuat oleh Anwar dan Bersih terhadap kerajaan khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)?

Antara tuntutan itu adalah bersihkan senarai undi, akses media yang bebas serta adil, hentikan rasuah dan politik kotor. Jika tidak, ia ibarat 'meludah ke langit, kena muka sendiri'.

BIOMETRIK OLEH SPR...

Posted: 20 Jun 2011 05:22 PM PDT


SPR cadang guna sistem biometrik

PUTRAJAYA 20 Jun - Pilihan Raya Umum akan datang bakal menyaksikan penggunaan sistem biometrik yang membolehkan proses pengesahan pengundi dilakukan secara elektronik jika cadangan itu dipersetujui.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menggunakan sistem biometrik yang kini diguna pakai ke atas warga asing.

''KDN sudah praktikkan kaedah ini untuk warga asing yang hendak masuk ke dalam negara. Prinsip saya kita mahu gunakan pada pengundi," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau mengulas antara lapan perkara yang dituntut kumpulan pengacau yang mahu menganjurkan perhimpunan haram atas alasan bagi memastikan pilihan raya yang telus dan bersih menggunakan dakwat kekal.

Penggunaan sistem biometrik kini digunakan secara meluas oleh Jabatan Imigresen di pintu-pintu masuk di seluruh negara sebagai kaedah untuk menangani jenayah antarabangsa dan kebanjiran pendatang asing tanpa izin di negara ini.

Abd. Aziz berkata, menerusi penggunaan biometrik, sebelum kertas undi dikeluarkan, langkah pertama yang dilakukan adalah membuat pengesahan terhadap kad pengenalan bahawa ia dokumen asli.

"Dengan menggunakan biometrik, pemilik kad pengenalan perlu meletakkan jarinya di situ dan maklumat yang keluar pada skrin adalah sama dengan kad pengenalan yang dibawa.

''Sebaik sahaja disahkan, kita akan semak dulu sama ada namanya ada dalam daftar pemilih, jika ada, kita akan keluarkan kertas undi. Selepas mengundi, individu berkenaan tidak boleh pergi ke tempat lain untuk membawa kad pengenalan yang sama untuk mengundi di tempat lain," katanya.

Tegas beliau, penggunaan sistem biometrik adalah jalan penyelesaian terbaik berbanding menggunakan dakwat kekal seperti yang digunakan di India dan Indonesia.

Penggunaan dakwat kekal, kata beliau, tidak perlu kerana sehingga kini tidak ada laporan atau petisyen yang menunjukkan terdapat pengundi yang mengundi dua kali di negara ini dan ia hanyalah tohmahan semata-mata.

Tiada ulasan:

Pengikut