Rabu, 6 Julai 2011

Ahli Parlimen Kota Belud

Ahli Parlimen Kota Belud


Soalan lazim untuk SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya)

Posted: 06 Jul 2011 10:04 AM PDT

1
Q:Siapakah yang layak untuk mendaftar sebagai pemilih?
A:
Warganegara Malaysia berumur 21 tahun dan ke atas, bermastautin di dalam sesuatu bahagian pilihan raya dan tidak hilang kelayakannya di sisi undang-undang.
2
Q:Mengapa anda perlu mendaftar?
A:
Anda perlu mendaftar sebagai pemilih untuk menjamin hak anda mengundi di dalam sesuatu pilihan raya dan menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara. Pendaftaran sebagai pemilih adalah hak warganegara di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.
3
Q:Apakah kaedah pendaftaran dan bagaimanakah cara untuk mendaftar ?
A:
i) Pendaftaran statik seperti di kaunter Ibu Pejabat SPR, Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Pejabat Pos Berkomputer. Pemohon perlu mengisi Borang A berdasarkan maklumat yang terdapat dalam kad pengenalan, resit JPN KPPK 9 atau Resit JPN KPPK 11 yang telah disahkan butirannya oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

ii) Pendaftaran Bergerak seperti Out-Reach Team SPR, Penolong Pendaftar (Parti Politik) atau Penolong Pendaftar di Pejabat-Pejabat Kerajaan yang dilantik oleh SPR. Pemohon perlu mengisi Borang A berdasarkan maklumat yang terdapat dalam kad pengenalan, resit JPN KPPK 9 atau Resit JPN KPPK 11 yang telah disahkan butirannya oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
4
Q:Di manakah pusat-pusat pendaftaran?
A:i) Ibu Pejabat SPR di Putrajaya
ii) Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di seluruh negara
iii) Pejabat Pos Berkomputer di seluruh negara
iv) Pejabat Daerah/Pejabat Majlis Daerah
v) Tempat-tempat awam seperti pasar malam,
taman-taman perumahan yang dikunjungi oleh Out-Reach Team SPR
vi) Kaunter SPR yang dibuka dari masa ke semasa di pusat-pusat
membeli belah atau pasaraya
5
Q:Bilakah tempoh urusan pendaftaran pemilih dijalankan?
A:
Bil
Tempat
Masa
1
Ibu Pejabat SPR Putrajaya
WAKTU PEJABAT
2
Pejabat Pilihan Raya Negeri
3
Pejabat Pos Berkomputer Terpilih
4
Pejabat Daerah/Majlis Daerah
5
Program Out-Reach SPR
WAKTU YANG SESUAI
6
Penolong Pendaftar (Sementara) yang dilantik oleh SPR.
6
Q:Adakah boleh nama pemilih yang panjang dimuatkan
sebagaimana yang dikehendaki ?
A:Nama pemilih adalah mengikut sepertimana yang terdapat dalam Kad Pengenalan tertakluk kepada maksimum 60 aksara (huruf).
7
Q:Bolehkah mendaftar di pejabat pos dengan menggunakan
resit JPN KPPK 9 atau resit JPN KPPK11?
A:BOLEH, dengan syarat resit JPN KPPK 11 perlu disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Manakala resit JPN KPPK9 tidak perlu disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
8
Q:Adakah boleh pasangan anggota tentera memilih untuk mendaftar sebagai pemilih awam / biasa?
A:BOLEH. Pasangan kepada anggota tentera diberi pilihan untuk memilih sebagai pengundi biasa mengikut (Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
9
Q:Adakah boleh pasangan anggota polis mendaftar sebagai pemilih pos (Pengundi Tidak hadir)?
A:
Pasangan anggota polis biasa tidak layak mendaftar sebagai pemilih pos. Hanya pasangan kepada anggota Polis Gerak Am sahaja yang layak untuk memilih sebagai pemilih pos.
10
Q:Adakah pendaftaran menggunakan kad pengenalan 8 digit masih boleh digunakan?
A:
BOLEH. Peraturan-peraturan yang digunapakai sekarang membenarkan penggunaan Kad Pengenalan lapan (8) digit untuk mendaftar sebagai pemilih.
11
Q:
Bolehkah pendaftaran pemilih menggunakan sijil lahir?
A:
Tidak Boleh.
12
Q:
Bolehkah seseorang itu mendaftar bagi pihak orang lain (warisnya)?
A:
Tidak Boleh. Mengikut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, seseorang warganegara yang layak perlu hadir sendiri untuk mendaftar sebagai pemilih.
13
Q:
Kenapa SPR tidak melaksanakan sistem pendaftaran pemilih secara automatik?
A:
Sistem pendaftaran pemilih yang digunapakai oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah berdasarkan kepada alamat bermastautin yang tertera di dalam kad pengenalan dan disemak secara 'on-line' dengan sistem ALIS yang disediakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara(JPN). Kaedah pendaftaran ini membolehkan pemilih mengundi di kawasan mengikut alamat dalam kad pengenalan masing-masing. Dengan yang demikian, pada hari mengundi, pemilih sendiri tahu di mana tempat dia mengundi.
Jika sistem pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan, ini akan menimbulkan kesulitan kepada pemilih berdaftar yang tidak menukar atau mengemaskini alamatnya dalam Kad Pengenalan jika dia telah berpindah ke tempat lain. Pangkalan data di JPN akan menunjukkan pemilih itu menetap di sesuatu alamat sedangkan dia sebenarnya sudah berpindah tetapi tidak membuat pertukaran alamat di JPN. Nama pemilih didaftarkan berasaskan alamat di JPN. Keadaan ini menyukarkan pemilih pada hari pengundian sekiranya pusat mengundinya terletak jauh daripada tempat kediamannya yang sebenar..
14
Q:
Kenapakah SPR tidak melaksanakan sistem pendaftaran pemilih secara on-line melalui Laman Web SPR ?
A:
SPR tidak melaksanakan sistem pendaftaran pemilih secara on-line kerana melalui Sistem Pendaftaran Sepanjang Tahun(SPPST) yang dilaksanakan mengikut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran pemilih) 2002 menetapkan bahawa seseorang warganegara yang layak ingin mendaftar sebagai pemilih perlu hadir sendiri di kaunter pendaftaran SPR yang ditetapkan di seluruh negara. Jika pendaftaran diterima secara 'on-line', penipuan dan penyamaran pasti berlaku di mana ada orang yang akan memasukkan pendaftaran bagi pihak orang lain.
   
15
Q:
Berapa lamakah tempoh pengesahan pendaftaran Pemilih Baru dan pertukaran alamat pusat mengundi?
A:
Urusan pendaftaran pemilih baru bermula apabila seseorang warganegara yang layak di bawah Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan membuat permohonan kepada SPR dengan mengisi Borang A. Selepas Borang A melalui proses pendataan, SPR akan menyediakan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) mengikut empat (4) suku tahun dengan suku tahun pertama bemula daripada Januari- Mac, Suku Kedua (April-Jun), Suku Ketiga (Julai-September) dan Suku Keempat (Oktober-Disember). RDPT itu seterusnya akan dipamerkan untuk tujuan tuntutan dan bantahan. Apabila urusan tuntutan dan bantahan selesai, Pendaftar di setiap negeri membuat pemerakuan DPT kepada Ketua Pendaftar di Ibu Pejabat SPR yang kemudiannya akan mengemukakannya kepada SPR untuk disahkan dan diwartakan. Proses keseluruhan pengesahan Daftar Pemilih ini akan mengambil masa selama empat (4) bulan mulai bulan pertama setiap suku tahun.
   
PENDAFTARAN : PERTUKARAN ALAMAT DAN MAKLUMAT ....DALAM DAFTAR PEMILIH
1
Q:Bagaimana menukar alamat di dalam daftar pemilih SPR daripada alamat asal kepada alamat baru seperti di dalam Kad Pengenalan?
A:
Mereka boleh berurusan dengan semua Pusat Pendaftaran dan Penolong Pendaftar (Sementara) yang dilantik oleh SPR kecuali Penolong Pendaftar dari Parti Politik.
2
Q:Dimanakah saya boleh membuat semakan status pendaftaran?
A:i) Di Ibu Pejabat Pilihan Raya SPR, Malaysia
ii) Di Pejabat Pilihan Raya Negeri
iii) Laman web SPR - www.spr.gov.my
iv) Unit Out-Reach SPR
3
Q:
Apakah prosedur yang harus diikuti sekiranya pemilih ingin membuat pindaan maklumat seperti agama dan bangsa?
A:
Pindaan butiran maklumat seperti agama dan bangsa boleh dibuat di Pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri di seluruh negara dengan mengemukakan Kad Pengenalan dan bukti-bukti dokumen lain yang berkaitan.
4
Q:
Berapa lamakah tempoh yang diperlukan oleh SPR untuk membuat pembetulan maklumat seperti agama, bangsa dan Kad Pengenalan?
A:
i) Pembetulan apa-apa butiran maklumat yang kecil seperti agama dan bangsa diambil tindakan sebaik sahaja permohonan dibuat di Pejabat Pilihan Raya Negeri yang seterusnya akan dihantar ke Ibu Pejabat SPR untuk kelulusan.
ii) Pembetulan nama dan maklumat lain mengikut yang tertera di dalam Kad Pengenalan dibuat oleh Ketua Pendaftar dalam tempoh dua (2) minggu.
iii) iii) Untuk mempastikan butiran maklumat pemilih tepat dan
terkini, dinasihatkan supaya pemilih menyemak nama mereka dan jika ada keperluan, pemilih boleh membuat permohonan untuk pembetulan mengikut maklumat di dalam Kad Pengenalan.
5
Q:
Terdapat pasangan suami/isteri yang mengundi di tempat yang berlainan, mengapa hal ini berlaku?
A:Terdapat suami/isteri yang mendaftar menggunakan alamat yang berbeza. Selain itu, jika mereka mendaftar di alamat yang sama kemugkinan ini berpunca dari kesilapan semasa urusan kemasukan data oleh kakitangan SPR disebabkan kerana terdapat tempat-tempat yang mempunyai/menggunakan nama-nama yang serupa di negara ini.
6
Q:Mengapa wujudnya nombor kad pengenalan yang sepatutnya lelaki tetapi digunakan oleh perempuan?
A:Ini berlaku mungkin berpunca dari kesilapan semasa urusan pendataan di peringkat JPN atau mungkin sewaktu kemasukan data semasa urusan pendaftaran pemilih oleh kakitangan SPR.
7
Q:Kenapa wujud perbezaan nombor Kad Pengenalan dalam daftar pemilih dengan Kad Pengenalan asal?
A:
Perbezaan butiran nombor Kad Pengenalan kemungkinan wujud berpunca kesilapan pendataan mengikut sistem pendaftaran lama. Di bawah sistem pendaftaran semasa yang diamalkan sekarang, tidak wujud kesilapan tersebut kerana SPR menghubungi secara 'on-line' dengan Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) semasa urusan pendataan.
8
Q:
Adakah boleh kita menukar nama seseorang yang memeluk agama Islam kepada nama Islamnya sedangkan dalam
pangkalan data masih nama asal?
A:
Tidak Boleh. Seseorang yang memeluk agama Islam perlu menukar nama di dalam Kad Pengenalan terlebih dahulu sebelum nama Islam boleh dimasukkan dalam Daftar Pemilih.
9
Q:Mengapa nama pemilih masih kekal di tempat mengundi asal walaupun beliau telah membuat permohonan untuk pertukaran di alamat yang baru ?
A:
Alamat permohonan untuk pertukaran alamat itu tidak sama dengan alamatnya seperti yang tertera dalam Kad Pengenalan. Perkara ini boleh berlaku bagi permohonan yang dibuat sebelum 16 Julai 2002. Sebarang permohonan untuk pertukaran alamat dalam daftar pemilih hendaklah mengikut alamat dalam Kad Pengenalan. Sekiranya pemilih bercadang untuk berpindah tempat mengundi dia hendaklah terlebih dahulu memohon untuk pertukaran alamat di dalam Kad Pengenalan di JPN. Selepas itu dia bolehlah memohon untuk pertukaran alamat tempat mengundi dalam daftar pemilih di mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri atau di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya atau di Pejabat Pos berkomputer di seluruh negara.
10
Q:
Apakah prosedur bagi pemilih berdaftar membuat pertukaran alamat pusat mengundi dan di manakah urusan tersebut boleh dibuat?
A:
Pemilih berdaftar yang telah berpindah alamat tempat bermastautin boleh menukar alamat pusat mengundi dengan cara membuat pertukaran alamat terlebih dahulu dalam Kad Pengenalan di Pejabat Pendaftaran Negara (JPN). Selepas itu bawa resit pertukaran alamat yang dikeluarkan oleh JPN dan pergi ke mana-mana kaunter SPR untuk membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi dengan mengisi Borang A.
Urusan pertukaran alamat pusat mengundi hanya boleh dibuat di kaunter-kaunter SPR di Ibu Pejabat SPR dan Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri dan kaunter-kaunter Pejabat Pos berkomputer sahaja.
11
Q:
Kenapakah SPR tidak melaksanakan sistem pertukaran alamat pusat mengundi secara on-line?
A:
Setiap urusan permohonan pertukaran alamat pusat mengundi hendaklah dibuat oleh pemohon itu sendiri dengan mengisi Borang A seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan 12 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002. Borang A itu hendaklah diserahkan di kaunter pendaftaran SPR yang ditetapkan ataupun kepada mana-mana Penolong Pendaftar yang dilantik oleh SPR. Jika permohonan pertukaran alamat diterima secara 'on-line', pasti akan berlaku penipuan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
12
Q:
Kenapakah SPR tidak boleh menukarkan alamat pusat mengundi seseorang pemilih berdaftar secara automatik apabila seseorang itu telah menukar alamat bermastautin dalam kad pengenalan?
A:
i) Mengikut Perkara 119(4) Perlembagaan Persekutuan jika seseorang pemilih berdaftar tidak membuat apa-apa permohonan untuk bertukar pusat mengundi, namanya tetap kekal disenaraikan di alamat asal tempat dia mendaftar sebagai pemilih walaupun pada hakikatnya dia telah pun menukar alamatnya dalam Kad Pengenalan di tempat baru.
ii) Peraturan 12(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 pula menetapkan bahawa SPR hanya boleh menukar alamat pusat mengundi seseorang pemilih berdaftar jika pemilih berkenaan memohon pertukaran dan telah mengisi Borang A yang ditetapkan di bawah Peraturan 12 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
  
PEMOTONGAN/PEMBERSIHAN
1
Q:
Mengapa pemilih yang telah meninggal dunia tetapi namanya masih ada dalam daftar pemilih?
A:
Kerana SPR tidak menerima laporan atau pengesahan kematian pemilih berkenaan dari Jabatan Pendaftaran Negara, atau mungkin kerana nama pemilih yang telah meninggal dunia itu masih dalam proses untuk pemotongan dari daftar pemilih.
2
Q:
Bolehkah SPR membuat pemotongan nama mereka yang telah meninggal dunia mengikut rekod JPN?
A:BOLEH, iaitu selepas SPR berpuashati dengan bukti- bukti yang dikemukakan.
3
Q:Apakah yang perlu dilakukan sekiranya pemilih meninggal dunia ataupun hilang kelayakan sebagai pemilih?
A:
Waris pemilih yang meninggal dunia hendaklah membuat laporan di Pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri dengan menyertakan bersama Sijil Kematian dan dokumen-dokumen lain yang berkaitan.
  
PENGUNDI HANTU
1
Q:Apakah yang dimaksudkan dengan pengundi hantu?
A:
Istilah sebenar "pengundi hantu" bermaksud, pengundi yang datang untuk membuang undi di tempat mengundi dengan menggunakan Kad Pengenalan palsu atas nama pengundi lain yang berdaftar dalam daftar pemilih SPR. Penipuan dan penyamaran seperti ini adalah satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan boleh dihukum penjara tidak kurang 2 tahun atau didenda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
2
Q:Adakah wujud pengundi hantu dalam daftar pemilih SPR?
A:
Urusan pendaftaran pemilih dan penyemakan daftar pemilih dibuat secara telus selaras dengan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan dan mengikut undang-undang yang ditetapkan. Sebenarnya, istilah Pengundi Hantu telah sengaja dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu dengan memberikan tafsiran yang tidak tepat untuk tujuan mengelirukan rakyat dan pengundi. Apa yang berlaku ialah pengundi berdaftar yang telahpun berpindah daripada tempat pendaftaran asal dan bermastautin di kawasan baru dan dia pulang mengundi di tempat asal pada hari mengundi. Pemilih berdaftar berkenaan yang balik untuk mengundi di tempat pendaftaran asal merupakan pemilih sah dan layak dari segi undang-undang.
3
Q:Apakah usaha-usaha SPR bagi memastikan Daftar Pemilih SPR bersih daripada pengundi hantu?
A:
SPR telah dan sentiasa menjalankan pelbagai usaha secara berterusan bagi memastikan Daftar Pemilih Induk bersih dan kemas kini, terutamanya daripada senarai mereka yang telah meninggal dunia yang seringkali dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu sebagai Pengundi Hantu. SPR telah menghantar pasukan penyemak ke balai-balai polis di seluruh negara bagi mendapatkan salinan permit mengubur bagi mengesahkan seseorang itu telah meninggal dunia. SPR juga menerusi Program Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan di seluruh negara sentiasa mengeluarkan pengumuman supaya waris pemilih yang telah meninggal dunia mengemukakan salinan sijil kematian waris mereka kepada SPR bagi tujuan pembersihan DPI. Bagi negeri Sarawak, SPR telah menghantar pasukan penyemaknya ke rumah-rumah panjang untuk mengenalpasti mana-mana anggota masyarakat rumah panjang yang telah meninggal dunia tetapi tidak dilaporkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara.
4
Q:Adakah pemilih berdaftar yang balik pada hari mengundi untuk mengundi di tempat mengundi di mana dia mendaftar dianggap sebagai Pengundi Hantu?
A:
Pengundi berdaftar yang balik untuk mengundi di tempat mengundi di mana namanya berdaftar dalam Daftar Pemilih SPR adalah bukan pengundi hantu. Seseorang pengundi dijamin haknya di bawah Perlembagaan untuk mengundi jika namanya terdapat dalam Daftar Pemilih di tempat mengundi berkenaan.
  
PENJALANAN PILIHAN RAYA
1
Q:Apakah yang melayakkan seseorang untuk keluar mengundi?
A:Warganegara Malaysia yang layak yang telah berdaftar sebagai pemilih dan namanya terdapat dalam Daftar Pemilih yang digunakan dalam pilihan raya.
2
Q:
Berapakah jumlah wang deposit pilihan raya yang perlu dibayar untuk bertanding bagi Parlimen dan DUN?
A:
Jumlah deposit adalah seperti berikut:
• RM 10,000 untuk deposit calon Parlimen
• RM 5,000 untuk deposit bahan kempen Parlimen
• RM 5,000 untuk deposit calon DUN
• RM 3,000 untuk deposit bahan kempen DUN
3
Q:
Bagi seseorang calon yang ingin bertanding untuk kawasan DUN dan Parlimen, perlukah dia membayar kedua-dua deposit calon untuk DUN dan Parlimen?
A:Ya, calon yang ingin bertanding bagi DUN dan Parlimen perlu membayar deposit calon bagi DUN sebanyak RM 5,000 dan deposit calon bagi Parlimen sebanyak RM 10,000.
4
Q:Di mana calon patut membayar deposit dan berapa jumlah bayaran?
A:
Kedua-dua deposit pilihan raya dan deposit bahan kempen boleh dibayar di Pusat Penamaan Calon atau di Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Bahagian Pilihan Raya berkenaan. Jumlah deposit berkenaan adalah seperti berikut :i) Deposit Pilihan Raya :- Parlimen : RM 10,000
DUN : RM 5,000
ii) Deposit Bahan Kempen :- Parlimen : RM 5,000
DUN : RM 3,000
5
Q:Di manakah pusat penamaan calon dan pukul berapa penamaan calon dibuka?
A:
Pusat penamaan calon biasanya ditetapkan di Pejabat-pejabat Daerah, Majlis Perbandaran, Majlis Daerah, Dewan Orang Ramai, bangunan-bangunan sekolah atau tempat-tempat tertentu yang difikirkan sesuai oleh SPR.
Penyerahan Kertas Penamaan Calon dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi. Manakala, dari jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi ialah tempoh kertas-kertas tersebut dipamer untuk disemak dan dibuat apa-apa bantahan jika ada. Pegawai Pengurus Pilihan Raya akan memutuskan setiap bantahan yang diterima dan keputusannya adalah muktamad.
6
Q:Bagaimanakah cara untuk seseorang pemilih berdaftar Membuat semakan untuk mengetahui tempat mengundi yang betul untuknya?
A:
Pemilih yang berdaftar dengan SPR boleh membuat semakan dalam Laman Web SPR di alamat www.spr.gov.my, atau menghubungi Ibu Pejabat SPR di Putrajaya (03-8885 6500) atau Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri atau melalui SMS yang dibuka semasa musim pilihan raya.
7
Q:Mengapakah sesetengah pusat mengundi mempunyai beberapa saluran?
A:
Pusat Mengundi (sama ada bangunan sekolah, dewan, balai raya , khemah atau sebagainya) mempunyai beberapa saluran Tempat Mengundi untuk menampung jumlah pengundi berdaftar yang ramai di kawasan tersebut. Setiap satu saluran Tempat Mengundi, SPR menetapkan tidak lebih daripada 700 nama pengundi. Dengan cara ini, masalah kesesakan di sesuatu saluran dapat dikawal dan para pengundi tidak perlu menunggu lama untuk membuang undi.
8
Q:Bilakah bermulanya waktu membuang undi?
A:
Pada hari pengundian, masa untuk mengundi bagi kebanyakan Tempat Mengundi ialah dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Walau bagaimanapun, bagi kawasan pedalaman, SPR menetapkan supaya tempat-tempat mengundi terbabit dibuka lewat dan ditutup lebih awal mengikut masa yang diumumkan oleh SPR.
9
Q:Apakah dokumen yang perlu di bawa untuk membuang undi?
A:
Dokumen yang diperlukan ialah Kad Pengenalan sama ada My Kad atau Kad Pengenalan lama sama ada KPT atau Kad Pengenalan Plastik Biru. Jika kehilangan Kad Pengenalan, pemilih berdaftar juga boleh mengemukakan Resit JPN.KP 9 atau Resit JPN.KP11 yang disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Dokumen-dokumen lain yang boleh diterima sebagai bukti pengenalan diri ialah :
• Pasport Malaysia Terhad
• Pasport Malaysia
• Lesen Memandu yang bergambar
• Kad Rasmi Pengenalan Diri yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa kerajaan yang mengandungi nama, nombor Kad Pengenalan dan gambar pemegangnya.
10
Q:Bagi pemilih yang telah mengetahui nombor saluran Tempat Mengundi, adakah perlu menyemak semula di barung SPR?
A:
Pada hari pengundian, pemilih yang telah mengetahui nombor saluran tempat mengundi tidak perlu berbaris di barung untuk menyemak nombor salurannya. Beliau hendaklah terus ke saluran yang berkenaan dan menunggu gilirannya untuk mengundi.
11
Q:Bilakah boleh dituntut deposit pilihan raya?
A:
(i) Deposit pilihan raya boleh dituntut selepas Keputusan Pilihan Raya diisytiharkan oleh Pegawai Pengurus jika calon memperolehi lebih daripada 1/8 dari jumlah undi yang diterima oleh calon-calon yang bertanding.
(ii) Deposit bahan kempen boleh dituntut selepas semua bahan kempen dibersihkan oleh calon terbabit dan disahkan oleh pihak berkuasa tempatan yang berkenaan.
12
Q:
Adakah SPR menyediakan saluran khas di tempat mengundi untuk warga tua, orang kurang upaya dan wanita mengandung?
A:
Pada hari pengundian, SPR menyediakan saluran khas, iaitu Saluran 1 untuk warga emas. Manakala bagi wanita yang mengandung dan pengundi kurang upaya, Ketua Tempat Mengundi diberi kuasa untuk memberi keutamaan kepada mereka untuk masuk ke tempat mengundi supaya mereka tidak perlu menunggu lama di luar.
13
Q:
Seseorang ingin bertanding untuk DUN dan Parlimen di mana tempat penamaan calon adalah 2 tempat yang berbeza dan berjauhan. Bagaimanakah cara mengatasainya?
A:
SPR akan sedaya upaya memastikan dalam pilihan raya serentak yang melibatkan parlimen dan DUN, pusat penamaan calon akan ditetapkan di tempat (bangunan) yang sama. Walau bagaimanapun, jika ia terpaksa dibuat di dua tempat yang berbeza, jika tidak dapat hadir sendiri, Kertas Penamaan boleh diserahkan oleh pencadang atau penyokongnya atau oleh kedua-dua mereka.
14
Q:Orang ingin mengundi tetapi namanya telah di tanda sebagai telahpun keluar mengundi?
A:Beliau tidak boleh mengundi.
15
Q:Adakah seseorang boleh menggunakan Kad Pengenalan orang lain untuk mengundi?
A:Tidak dibenarkan.
16
Q:Kenapa elaun petugas pilihan raya lambat diterima?
A:
Pejabat Pilihan Raya Negeri perlu memproses bayaran mengikut prosedur kewangan yang ditetapkan oleh Perbendaharaan. Kelewatan boleh berlaku bilamana terdapat kesilapan maklumat No. Akaun atau No. Kad Pengenalan atau Nama Petugas.
17
Q:Sekiranya seseorang tidak dibenarkan membuang undi, di manakah beliau sepatutnya membuat laporan?
A:Laporan boleh di buat di Balai Polis berdekatan.
18
Q:Bolehkah orang mengundi bagi pihak orang lain?
A:
Tidak boleh, Walau bagaimanapun, dalam kes tertentu yang melibatkan pengundi cacat penglihatan, pengundi perlu ditemani oleh seorang waris terdekat (ayah/ibu/suami/isteri/anak/cucu dan sebagainya) dan waris boleh membantu untuk memangkah kertas undi dengan syarat warisnya mengisi Borang 10 terlebih dahulu.
19
Q:Kenapa penggunaan pen tidak dibenarkan untuk menandakan kertas undi?
A:Penggunaan pen dibenarkan tetapi bagi memudahkan pengundi maka disediakan pensil di tempat mengundi.
20
Q:
Jika seseorang pengundi telah menandakan kertas undi sehingga di luar petak undi, adakah kertas undi tersebut diterima?
A:Kertas undi tersebut boleh diterima selagi niat pemilih untuk memilih calon pilihannya adalah jelas ditanda didalam petak yang dikhaskan.
21
Q:
Bolehkan orang yang mendaftar di Sabah dan Sarawak tetapi bermastautin di Semenanjung memohon mengundi secara pos?
A:
Tidak boleh kecuali mereka yang tertakluk di bawah Peraturan 3(1)(a)-(f), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya ( Pengundian Pos ) 2003.
  
PERSEMPADANAN
1
Q:Berapa lamakah tempoh sesuatu urusan persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya dijalankan?
A:
Mengikut Perlembagaan Persekutuan Perkara 113 (2) (ii), persempadanan semula Bahagian-Bahagian Pilihan Raya akan dibuat dalam tempoh tidak kurang dari 8 tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun daripada siapnya urusan persempadanan terdahulu.
2
Q:Siapakah yang dibenarkan untuk membuat representasi dalam urusan persempadanan bahagian pilihan raya?
A:
Mengikut Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan, pihak yang layak membuat representasi (bantahan/cadangan balas) semasa urusan persempadanan ialah,

i- Kerajaan Negeri
ii- Pihak Berkuasa Tempatan
iii- Pemilih berdaftar di dalam kawasan yang terlibat

3
Q:Dalam keadaan mana siasatan tempatan perlu diadakan bagi bantahan urusan persempadanan?
A:
Mengikut Seksyen 7, Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan siasatan tempatan perlu diadakan apabila bantahan diterima daripada:

i- Kerajaan Negeri
ii- Pihak Berkuasa Tempatan
iii- Tidak kurang daripada 100 orang pemilih berdaftar dalam Bahagian Pilihan Raya berkenaan
4
Q:Apakah kriteria yang digunakan semasa urusan persempadanan diadakan?
A:
Kriteria yang ditetapkan ialah mengikut Seksyen 4 Bahagian 2 Jadual Ke13 Perlembagaan Persekutuan, iaitu:i- Jumlah pemilih hendaklah lebih kurang sama kecuali bagi kawasan-kawasan luar bandar yang menghadapi masalah perhubungan.
ii- Sempadan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya tidak melangkau sempadan negeri.
iii- Terdapat kemudahan pentadbiran
iv- Pertimbangan khas untuk mengekalkan hubungan tempatan
5
Q:Apakah yang membentuk sesuatu Bahagian Pilihan Raya?
A:
Sesuatu Bahagian Pilihan Raya diwujudkan hasil daripada gabungan beberapa Daerah Mengundi selepas mengambilkira kriteria-kriteria yang ditetapkan di bawah Seksyen 4, Bhg.2 Jadual Ke 13 Perlembagaan Persekutuan. Setiap Daerah Mengundi pula mengandungi beberapa lokaliti yang menunjukkan nama dan alamat pemilih yang berdaftar di kawasan itu.
6
Q:Apakah yang dimaksudkan Daerah Mengundi?
A:
Daerah Mengundi ialah satu kawasan yang mana sempadanya ditetapkan oleh SPR dalam sesuatu Bahagian Pilihan Raya dan di dalamnya mengandungi beberapa lokaliti yang menunjukkan nama dan alamat pemilih yang berdaftar di kawasan itu.
7
Q:Apakah yang dimaksudkan dengan lokaliti?
A:Lokaliti ialah unit yang paling kecil yang terdapat di dalam Daerah Mengundi dan ia mempunyai sejumlah pemilih dan alamat masing-masing.
8
Q:
Berapakah jumlah Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri dan Parlimen seluruh Malaysia yang berkuatkuasa sekarang?
A:
Jumlah Bahagian Parlimen ialah 222 dan Bahagian Pilihan Raya Negeri ialah 576.
9
Q:Apakah pilihan lain yang membolehkan urusan persempadanan Bahagian Pilihan Raya dilakukan di Malaysia?
A:
Selain daripada lat tempoh 8 tahun, urusan persempadanan boleh juga dilakukan jika wujud keadaan berikut:i- Apabila berlakunya tambahan kerusi dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri mengikut sepertimana yang diluluskan di Parlimen mengikut Perkara 113(2A)
ii- Apabila berlakunya perubahan sempadan sesebuah negeri, misalnya pembentukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
10
Q:Bilakah Bahagian-Bahagian Pilihan Raya yang baru boleh digunakan dalam Pilihan Raya ?
A:
Mengikut Seksyen 12 Bahagian 2 Jadual Ke 13 Perlembagaan Persekutuan, Bahagian-Bahagian Pilihan Raya baru hanya sah untuk dipertandingkan selepas pembubaran Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.
11
Q:Mestikah dalam sesuatu urusan persempadanan jumlah Bahagian Pilihan Raya perlu ditambah?
A:
Tiada sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mewajibkan SPR membuat penambahan jumlah Bahagian Pilihan Raya apabila urusan persempadanan dilaksanakan.
12
Q:Adakah benar dakwaan bahawa urusan persempadanan yang dijalankan oleh SPR hanya menguntungkan parti Kerajaan?
 A:
Tidak benar. Urusan persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya yang dijalankan oleh SPR bukan bertujuan untuk menguntungkan mana-mana pihak, baik parti pemerintah ataupun parti-parti pembangkang. Urusan persempadanan Bahagian Pilihan Raya dijalankan adalah mengikut undang-undang dan prinsip-prinsip yang yang ditetapkan di bawah Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan. Sebelum sesuatu cadangan persempadanan diluluskan, ianya melalui pelbagai proses undang-undang seperti pameran, bantahan dan cadangan balas, Siasatan Tempatan dan seterusnya pembentangan untuk dibahaskan dan diluluskan oleh Parlimen.
   
UNDI POS
1
Q:Siapakah yang layak mendaftar sebagai Pengundi Pos?
A:
Peraturan 2 Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 menetapkan menetapkan bahawa semua warganegara yang telah mencapai umur 21 tahun pada tarikh kelayakan dan layak di sisi undang-undang boleh mendaftar sebagai Pengundi Tidak Hadir (Pengundi Pos) jika seseorang itu tergolong dalam mana-mana kategori seperti berikut :
1. Seseorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasangan iaitu isteri atau suami masing-masing;
2. Seseorang anggota Perkhidmatan Awam Malaysia yang sedang berkhidmat di luar negara dan pasangan iaitu isteri atau suami masing-masing; dan
3. Seorang pelajar sepenuh masa yang belajar di Institut Pengajian Tinggi di luar negara dan pasangan iaitu isteri atau suami masing-masing.

Manakala Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 pula menetapkan bahawa mana-mana warganegara yang telah mendaftar sebagai pemilih berhak untuk mengundi secara pos jika mereka tergolong di dalam salah satu daripada kategori seperti berikut :
1. Seorang pengundi tidak hadir
2. Seseorang yang diperakui oleh SPR sebagai seorang pegawai pilihan raya dan kena menjalankan tugas pada hari mengundi;
3. Seorang anggota mana-mana pasukan polis yang ditubuhkan oleh mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa di Malaysia, selain seorang anggota Pasukan Polis Sukarela Simpanan;
4. Seorang anggota SPR yang dilantik di bawah Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan; dan
5. Seorang anggota mana-mana kategori orang yang ditetapkan sebagai Pengundi Pos oleh SPR dari masa ke semasa melalui pemberitahuan warta.
2
Q:Bagaimanakah cara untuk mendaftar seorang warganegara sebagai Pengundi Tidak Hadir yang layak mengundi secara pos?
A:
Urusan pendaftaran setiap anggota ATM dan pasangannya (sama ada isteri atau suami) sebagai Pengundi Pos dibuat melalui kerjasama Jabatan Rekod dan Pencen (JRP), Kementerian Pertahanan.
Urusan pendaftaran setiap anggota polis dan pasangan, sama ada isteri atau suami daripada Pasukan Gerak Am (PGA), sebagai Pengundi Tidak Hadir dibuat melalui kerjasama Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di setiap negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara.
Pendaftaran setiap anggota tentera dan pasangan sebagai Pengundi Tidak Hadir serta setiap anggota polis PGA dan pasangan dibuat berasaskan kepada tempat di mana anggota ATM atau PDRM itu bertugas dan tidak mengikut alamat bermastautin anggota ATM atau PDRM seperti mana yang dibuat bagi pendaftaran pengundi biasa.
Bagi anggota-anggota Perkhidmatan Awam yang berkhidmat di luar negara dan para pelajar Malaysia yang belajar sepenuh masa di luar negara berserta pasangan masing-masing, urusan pendaftaran mereka dibuat melalui kerjasama Pejabat-pejabat Kedutaan atau Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di luar negara. Pemilih-pemilih berkenaan didaftarkan sebagai Pengundi Tidak Hadir mengikut alamat di Malaysia yang tertera di dalam Kad Pengenalan masing-masing dan bukannya alamat mereka di luar negara.
3
Q:Apakah tindakan yang perlu diambil oleh Pemilih Tidak Hadir seperti anggota ATM atau PDRM yang akan bersara dan anggota-anggota Perkhidmatan Awam serta pelajar-pelajar Malaysia di luar negara yang telah kembali ke Malaysia?
A:
Mereka perlu memaklumkan kepada SPR bahawa mereka telah bersara atau telah hilang kelayakan sebagai Pengundi Tidak Hadir dan perlu membuat permohonan baru sebagai Pengundi Biasa dengan mengisi Borang A di mana-mana tempat pendaftaran yang ditetapkan.
4
Q:Bagi mereka yang telah hilang kelayakan sebagai Pengundi Tidak Hadir, apakah tindakan yang akan diambil terhadap status pendaftaran mereka?
A:
Bagi mereka yang telah hilang layak, sebagai Pengundi Tidak Hadir, selepas pengesahan diterima dari pihak-pihak yang berkenaan (ATM, PDRM, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pelajaran), SPR akan memotong nama mereka dalam Daftar Pemilih selaras dengan Peraturan 25 (2)(g), Peraturan- Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002. Adalah menjadi tanggungjawab individu-individu itu sendiri untuk mendaftar semula sebagai Pemilih Awam dan boleh membuat pendaftaran di mana-mana sahaja saluran kaunter pendaftaran yang ditetapkan oleh SPR (Ibu Pejabat SPR, Pejabat Pilihan Raya Negeri, Pejabat pos berkomputer, Wakil-wakil Parti Politik dan Agensi-agensi kerajaan yang dilantik oleh SPR).

Tiada ulasan:

Pengikut