BERI PELUANG KEPADA GLC NEGERI UNTUK MELABUR DI AFRIKA Posted: 21 Jun 2011 07:23 AM PDT Antara lain, G-20 terdiri daripada Affin Holdings, Axiata Group, BIMB Holdings, Boustead, CIMB Group, Chemical Company of Malaysia, Penerbangan Malaysia (MAS), Malaysia Airports Bhd, MRCB, Maybank, Proton Holdings Bhd, Sime Darby Bhd, Telekom Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Bhd, TH Plantations, UEM Group dan UMW Holdings. Hingga 3 Jun lalu, nilai modal pasaran G-20 itu melonjak lebih sekali ganda kepada RM355 bilion daripada RM159 bilion sejak program transformasi GLC dilancarkan pada 2004.
Tahun lalu, nilai modal pasaran G-20 adalah RM252 bilion, meningkat 65.8 peratus daripada RM152 bilion yang dicatatkan sebelumnya.
PPUBJ : Syarikat yang berkaitan dengan kerajaan juga terdapat dinegeri-negeri yang menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan, dari sektor harta tanah hinggalah kepada aktiviti runcit. Walau pun volume perniagaan GLC negeri tidaklah sebesar sebagaimana yang dijalankan oleh GLC peringkat persekutuan tetapi bila kita menyebut perniagaan sahaja soal keuntungan adalah motif utama ditubuhkan GLC tersebut.
Di samping tu, dapat mengujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada syarikat kecil. Pencapaian yang memberangsangkan itu adalah berpunca dari urus tadbir yang cekap dan kakitangan yang dedikasi. Ini sewajarnya dijadikan contoh oleh GLC negeri agar dapat meningkatkan kecekapan CEO berkenaan untuk meningkatkan keuntungan serta dapat beri pulangan kepada kerajaan negeri.
Selain itu, warga kerja yang berkenaan wajar diberikan pendedahan di syarikat swasta dan GLC yang berkaitan agar pendedahan begini dapat memberikan inisiatif serta pandangan serta inovatif bagi memastikan penglibatan sektor semi kerajaan dalam penjanaan ekonomi negara dapat ditingkatkan selain dari FDI. Peranan DDI dilihat semakin penting bagi memastikan model ekonomi baru beri pulangan yang setimpal kepada rakyat dalam konsep rakyat didahulukan.
Malah jika dilihat pada persidangan LID yang baru sahaja berakhir banyak peluang-peluang baru perniagaan yang dapat diterokai di Afrika dan Carribien bagi GLC Negeri untuk meningkatkan dan mengembangkan lagi pelaburan mereka keluar negara. |
|
NI DIA NEGARA KEBAJIKAN UNJURAN KERAJAAN UMNO / BN... Posted: 21 Jun 2011 05:27 AM PDT 17,177 ketua isi rumah miskin sertai program 1Azam
21/06/2011 4:53pm
KUALA LUMPUR 21 Jun – Program Kemasyarakatan 1Azam yang ditawarkan kepada ketua isi rumah (KIR) miskin tegar dan miskin yang produktif telah menampakkan keberkesanan dengan penyertaan sejumlah 17,177 KIR sejak diperkenalkan tahun lepas.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Heng Seai Kie berkata, seramai 82 KIR daripada jumlah tersebut adalah daripada etnik Orang Asli di seluruh negara.
"Memandangkan Program Kemasyarakatan 1Azam masih di peringkat awal pelaksanaan, maka impak keberkesanan program ini hanya dapat diketahui pada penghujung tahun 2011," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) di Dewan Rakyat hari ini.
"Mereka akan dipantau oleh pakar yang dipertanggungjawabkan untuk satu tempoh yang ditetapkan dan sehingga pendapatan mereka melebihi ataupun mencecah RM3,500 sebulan bagi tiga bulan berturut-turut," katanya.
Katanya, seramai 44,535 KIR miskin tegar telah dibasmikan pada tahun lepas daripada senarai berdaftar di bawah sistem eKasih.
"Daripada jumlah tersebut, 17,162 KIR terdiri daripada etnik Melayu, 525 KIR etnik India, 398 KIR etnik Cina, 6,338 KIR tenik Iban, 413 KIR etnik Kadazan, 64 KIR etnik Orang Asli dan 19,743 KIR etnik Bumiputera dan lain-lain kaum di Sabah dan Sarawak," katanya. – Bernama |
|
NASIB TIAN CHUA MINGGU DEPAN Posted: 21 Jun 2011 05:12 AM PDT Status Tian Chua diputuskan minggu depan – Speaker
21/06/2011 7:15pm
KUALA LUMPUR 21 Jun – Parlimen akan memutuskan status Ahli Parlimen Batu, Tian Chua minggu depan, selepas meneliti semua aspek termasuk keputusan mahkamah dalam kes Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat itu, kata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
"Parlimen juga secara rasmi berhubung dengan penasihat undang-undang negara untuk memberi pandangan kepada kita tentang apa yang perlu kita buat, dan pada minggu depan saya akan buat perintah terhadap perkara ini," katanya selepas sesi soal jawab berakhir pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali menggesa Dewan Rakyat memutuskan dengan segera status Tian Chua, yang didapati bersalah menggigit tangan seorang anggota polis ketika ditangkap dalam satu protes berhampiran Bangunan Parlimen pada 2007.
Tian Chua dihukum penjara enam bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret pada Oktober 2009.
Bagaimanapun, pada Jun tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha, yang menolak rayuan Tian Chua berhubung sabitan itu, meringankan hukumannya kepada penjara dua bulan dan denda RM2,000 bagi mengelak pilihan raya kecil diadakan. – Bernama | APA CITER DISEBALIK PENGUGURAN MAHFUZ DAN TAIB AZZAMUDDIN Posted: 20 Jun 2011 06:20 PM PDT
PAS Kedah gugur Mahfuz dan Taib Azzamuddin 113
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan anggota Parlimen Baling Datuk Taib Azamuddin Md Taib masing-masing digugurkan sebagai Timbalan Pesuruhjaya II dan III PAS Kedah bagi penggal 2011/2013. Keputusan menggugurkan dua nama besar parti itu diputuskan dalam mesyuarat khas Badan Perhubungan PAS negeri di Kompleks PAS Kedah di Batu 9, Kota Sarang Semut, dekat sini, malam tadi.  Menteri besar merangkap pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak ( kanan) berkata tempat mereka masing-masing digantikan oleh exco kesihatan, Dr Ismail Salleh dan bekas ADUN Belantek, Md Isa Shafie. Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi kekal sebagai Timbalan Pesuruhjaya I manakala jawatan setiausaha, bendahari, ketua penerangan dan pengarah pilihan raya negeri turut berubah. Jawatan-jawatan itu diisi oleh pegawai khas (penerangan) menteri besar, Musoddak Ahmad, exco pertanian Datuk Ir Amiruddin Hamzah dan bekas setiausaha PAS Kedah, Senator Yusuf Husain. Musoddak mengambil alih jawatan setiausaha PAS negeri daripada Senator Yusuf yang dilantik pengarah pilihan raya PAS Kedah manakala Ir Amiruddin dilantik bendahari menggantikan exco agama dan pelajaran Datuk Taulan Mat Rasul. Azizan berkata jawatan ketua penerangan PAS Kedah yang sebelum ini disandang Ir Amiruddin diserahkan kepada setiausaha politik beliau, Mohamad Sanusi Md Nor manakala penolong setiausaha diisi wakil Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kedah, Aizat Zakaria. "Perubahan ini dibuat bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 supaya sesuai dengan perubahan peringkat PAS Pusat dalam muktamarnya awal bulan ini," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Kolej Universiti Insaniah (KUIN) dengan Bank Islam Thailand di Seri Mentalon hari ini. Beliau berkata Ahmad Yahya dikekalkan sebagai ketua Dewan Pemuda manakala exco kebajikan dan pembangunan Wanita, Siti Aishah Ghazali (ketua Dewan Muslimat) dan Sheikh Mohamad Abdullah (ketua Dewan Ulama). Bagaimanapun Pemimpin yang digugurkan daripada senarai jawatankuasa kepimpinan baru parti secara automatik tersenarai sebagai anggota jawatankuasa (AJK) Dewan Harian PAS Kedah, kata Azizan. - Bernama |
| FAKTA : BERSIH 2 DIBAYANGI PEMBANGKANG ? Posted: 20 Jun 2011 05:33 PM PDT Anwar Ibrahim kuasai Bersih?
Oleh NIZAM YATIMnizam.yatim@utusan.com.my KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin sekali lagi 'membuat janji' bahawa perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini akan dibatalkan jika segala syarat yang ditetapkan pihaknya dipatuhi kerajaan.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, beliau akan meminta Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga membatalkan perhimpunan itu sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa pilihan raya umum akan dijalankan secara bersih dan adil.
Janji itu dibuat ketika berucap di hadapan lebih 2,000 ahli PKR yang menghadiri satu konvensyen pilihan raya anjuran parti itu di Shah Alam, Selangor, kelmarin.
Anwar berlagak seolah-olah beliau boleh menentukan jadi atau tidak jadi perhimpunan Bersih pada 9 Julai ini. Kalau Najib tidak ikut cakapnya, himpunan itu akan diteruskan.
Apa yang menjadi persoalan ialah Anwar sudah mengambil peranan Ambiga. Dan sikap Anwar itu ditegur oleh bekas Presiden Majlis Peguam itu, "Kami telah memutuskan untuk mengadakan perhimpunan itu dan kamilah yang akan memutuskan sama ada hendak mengadakannya ataupun tidak."
Ambiga tidak perlukan Anwar dan PKR kerana Pas sudah cukup komited dengan Bersih 2. Pas juga tidak 'curi' Bersih untuk kepentingan diri.
Bagaimana pula dengan kelayakan Anwar untuk berlagak seperti hero bagi memperjuangkan pilihan raya bersih, sedangkan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada November tahun lalu telah dicemari dengan pelbagai penyelewengan.
Masyarakat masih ingat bagaimana ia berpunca daripada tindakan Anwar sendiri yang berpihak kepada 'anak emas' beliau, Azmin Ali yang bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Perkara itu diakui sendiri oleh bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Ezam Mohd. Nor yang menegaskan, Anwar tiada hak meminta Perdana Menteri menjamin pilihan raya yang adil bagi membolehkan perhimpunan haram Bersih ditangguhkan.
''Kita telah saksikan sendiri betapa rosak dan tempangnya proses pilihan raya PKR. Sehinggakan hari ini, semua isu besar yang ditimbulkan calon-calon yang bertanding masih tidak dijawab," katanya.
Apa yang disebut oleh Ezam itu ada kebenarannya jika dilihat keputusan bekas ahli MPP parti itu, Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden dan melepaskan semua jawatan dalam parti. Beliau kemudiannya keluar daripada PKR.
Ketika mengumumkan keputusan itu pada 8 November lalu, peguam yang sentiasa berpegang kepada nilai demokrasi dan tadbir urus yang baik berkata, beliau bertindak sedemikian kerana pucuk pimpinan parti secara aktif membenarkan berlakunya penyelewengan dan penipuan dalam pemilihan.
Zaid berkata, beliau tidak boleh meneruskan perjuangan dalam pemilihan yang cacat kerana yakin, parti politik yang mengamalkan nilai-nilai palsu dan hipokrit tidak mampu menawarkan sebarang pembaharuan bermakna kepada rakyat.
Zaid bertindak sedemikian setelah beberapa kali keputusan pengundian yang sebelum ini menunjukkan beliau mendahului Azmin terpaksa diubah oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail atas alasan silap kiraan.
Membuat desakan sama ialah seorang lagi calon Timbalan Presiden, Mustaffa Kamil Ayub, yang menggesa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) digantung dan proses pemilihan parti ditangguh sehingga tindakan proaktif diambil bagi membaiki segala penyelewengan.
Turut tidak berpuas hati ialah calon Ketua AMK, Badrul Hisham Shaharin yang telah menulis sepucuk surat kepada Presiden PKR , Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mendakwa Ketua Cabang Kota Marudu telah dihubungi oleh Anwar sendiri yang 'mengarahkan' sokongan kepada calon tertentu.
Selain kekecohan ketika pemilihan MPP, mesyuarat memilih kepimpinan cabang pada September dan Oktober lalu turut penuh dengan kontroversi termasuklah kerusi berterbangan, dakwaan penggunaan samseng dan penipuan kertas undi.
Di Cabang Kota Raja misalnya, calon Ketua Cabang, S. Kottapan mendakwa ditumbuk oleh penyandang jawatan itu, Dr. Xavier Jayakumar.
Pergaduhan besar juga berlaku di Cabang Sabak Bernam, Klang dan Kuala Langat apabila kotak-kotak undi dipecah manakala kerusi dibaling.
Insiden tolak-menolak turut berlaku di Cabang Hulu Selangor apabila 100 ahli parti itu bertindak menghalang sebuah kereta yang membawa kertas undi memasuki pekarangan dewan pengundian.
Perkara sama berlaku di Cabang Bayan Baru apabila ramai ahli tidak berpuas hati kerana kertas fotostat dibenarkan digunakan sebagai kertas undi.
Berdasarkan rentetan penyelewengan yang berlaku dalam pemilihan PKR, kita ingin bertanya adakah parti itu akan turut sama memenuhi segala tuntutan yang dibuat oleh Anwar dan Bersih terhadap kerajaan khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)?
Antara tuntutan itu adalah bersihkan senarai undi, akses media yang bebas serta adil, hentikan rasuah dan politik kotor. Jika tidak, ia ibarat 'meludah ke langit, kena muka sendiri'. |
| BIOMETRIK OLEH SPR... Posted: 20 Jun 2011 05:22 PM PDT SPR cadang guna sistem biometrik
PUTRAJAYA 20 Jun - Pilihan Raya Umum akan datang bakal menyaksikan penggunaan sistem biometrik yang membolehkan proses pengesahan pengundi dilakukan secara elektronik jika cadangan itu dipersetujui.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menggunakan sistem biometrik yang kini diguna pakai ke atas warga asing.
''KDN sudah praktikkan kaedah ini untuk warga asing yang hendak masuk ke dalam negara. Prinsip saya kita mahu gunakan pada pengundi," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau mengulas antara lapan perkara yang dituntut kumpulan pengacau yang mahu menganjurkan perhimpunan haram atas alasan bagi memastikan pilihan raya yang telus dan bersih menggunakan dakwat kekal.
Penggunaan sistem biometrik kini digunakan secara meluas oleh Jabatan Imigresen di pintu-pintu masuk di seluruh negara sebagai kaedah untuk menangani jenayah antarabangsa dan kebanjiran pendatang asing tanpa izin di negara ini.
Abd. Aziz berkata, menerusi penggunaan biometrik, sebelum kertas undi dikeluarkan, langkah pertama yang dilakukan adalah membuat pengesahan terhadap kad pengenalan bahawa ia dokumen asli.
"Dengan menggunakan biometrik, pemilik kad pengenalan perlu meletakkan jarinya di situ dan maklumat yang keluar pada skrin adalah sama dengan kad pengenalan yang dibawa.
''Sebaik sahaja disahkan, kita akan semak dulu sama ada namanya ada dalam daftar pemilih, jika ada, kita akan keluarkan kertas undi. Selepas mengundi, individu berkenaan tidak boleh pergi ke tempat lain untuk membawa kad pengenalan yang sama untuk mengundi di tempat lain," katanya.
Tegas beliau, penggunaan sistem biometrik adalah jalan penyelesaian terbaik berbanding menggunakan dakwat kekal seperti yang digunakan di India dan Indonesia.
Penggunaan dakwat kekal, kata beliau, tidak perlu kerana sehingga kini tidak ada laporan atau petisyen yang menunjukkan terdapat pengundi yang mengundi dua kali di negara ini dan ia hanyalah tohmahan semata-mata. |
| BERSIH 2 : PEMUDA UMNO TIDAK GENTAR - RAZALI IBRAHIM Posted: 20 Jun 2011 05:13 PM PDT Bersih 2 berdepan tindak balas Pemuda UMNO
PONTIAN 20 Jun - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) tidak sepatutnya mengadakan perhimpunan haram Bersih 2 pada 9 Julai ini sekiranya tidak mahu ada tindak balas dari pihak lain seperti Pergerakan Pemuda UMNO.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, tindakan pihak penganjur yang ingin terus mengadakan perhimpunan Bersih walaupun dibantah pelbagai pihak akan mengundang banyak persoalan dari orang ramai.
Oleh itu katanya, Pemuda UMNO bersedia berhadapan dengan pihak penganjur sekiranya mereka masih terus berdegil, walaupun akan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa pada hari itu.
"Pemuda UMNO juga memikirkan tidak perlu mengadakan perhimpunan pada 9 Julai, tetapi jika Bersih tetap berkeras dan tidak berganjak dengan keputusan, kami juga akan mengambil pendekatan serupa.
"Kehadiran kami juga sebagai menyatakan sokongan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang terus menjadi sasaran Bersih walaupun penjelasan telah diberikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Kerjaya anjuran UMNO Bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan, di sini semalam.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Ir. Hasni Mohammad; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd. Fadil Muskon dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Nasrihat Turiman.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas amaran keras polis yang akan menangkap sesiapa sahaja yang menyertai perhimpunan tersebut sama ada di kalangan penyokong atau penentang perhimpunan itu. |
| BERSIH 2: AMBIGA JADI BONEKA ANWAR ? Posted: 20 Jun 2011 05:04 PM PDT Anwar tidak layak arah Ambiga hentikan Bersih
KUALA LUMPUR 20 Jun - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak untuk mengarahkan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga menghentikan perhimpunan pada 9 Julai ini.
Bekas Timbalan Setiausaha Agung PKR, P. Jenapala berkata, Ambiga bukannya 'boneka' Anwar untuk menerima arahan sedemikian kerana perhimpunan haram itu dirancang oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bukannya parti politik.
Sebagai NGO yang bebas, katanya, Ambiga tidak seharusnya mendengar kata Anwar kerana ia hanya akan membuktikan beliau ialah 'pak turut' Anwar.
''Bagi saya, Anwar tidak setanding dengan Ambiga kerana apa yang dikatakan oleh Pengerusi Bersih itu sudah pasti akan dilaksanakan, tidak seperti Ketua Pembangkang itu yang hanya tahu menabur janji kosong," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Anwar semalam yang mendakwa akan mengarahkan Ambiga membatalkan serta-merta perhimpunan haram Bersih sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) secara telus.
Jenapala dalam pada itu berkata, Anwar juga seharusnya mencermin dirinya sebelum mahu menghentikan perhimpunan Bersih itu.
Katanya, ini kerana pemilihan PKR baru-baru ini juga tidak mampu dibersihkan oleh Ketua Pembangkang tersebut. |
| BERSIH 2 : ANWAR DAN AMBIGA BERTELAGAH ? Posted: 20 Jun 2011 05:01 PM PDT Bukti Bersih didokong pembangkang
KUALA LUMPUR 20 Jun – Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau boleh meminta perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 9 Julai ini dibatalkan, jelas menunjukkan gabungan tersebut bukan didokong suara rakyat.
Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, perkara itu sebaliknya mendedahkan betapa kumpulan pengacau Bersih yang mendakwa mereka tidak menyebelahi mana-mana parti politik sebelum ini merupakan alat kepada pembangkang.
Katanya, jika tidak kerana Bersih memberi ruang luas kepada pembangkang, pastinya Anwar tidak berani membuat kenyataan sebegitu melainkan beliau merasakan mempunyai pengaruh besar dalam gabungan kumpulan pengacau itu.
"Walaupun Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan mendakwa tiada pihak boleh mengarahkan beliau untuk membatalkan himpunan, kenyataan Anwar itu memberi gambaran seolah-olah ketua pembangkang tersebut mempunyai pengaruh.
"Saya tidak tahu sama ada Anwar tersilap cakap. Tetapi itu menunjukkan memang ada agenda pembangkang di sebalik Bersih. Mereka berkompromi dengan pembangkang dan Anwar merasakan beliau mengawal Bersih.
"Disebabkan itu, adalah jelas Bersih tersimpang jauh daripada matlamat asalnya sehingga menjadi alat kepada pembangkang," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Pengerusi UDA Holdings Berhad (UDA), Datuk Nurjazlan Mohamed di pejabat syarikat itu di Bukit Bintang di sini hari ini. |
| MENGAPA PILIH DEMONTRASI JIKA ADA ALTERNATIF LAIN? Posted: 20 Jun 2011 04:54 PM PDT MB Selangor sokong Bersih
SHAH ALAM 20 Jun - Seperti diduga, perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang dirancang diadakan pada 9 Julai ini turut mendapat sokongan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Beliau menyifatkan perhimpunan haram itu sebagai saluran yang amat penting untuk menyatakan pandangan terhadap kerajaan secara terbuka.
Katanya, sekiranya pihak berkuasa menyekat pihak berkenaan termasuk Bersih, ia tidak menyelesaikan masalah sebaliknya akan mengundang lebih banyak rasa tidak puas hati terhadap kerajaan.
"Pendekatan menyekat (perhimpunan) tidak akan selesaikan masalah. Saya berpandangan menyekat perhimpunan seolah-olah menyekat demokrasi.
"Namun, pada masa sama perhimpunan itu juga harus dilakukan secara tertib," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kakitangan Awam Selangor di sini hari ini.
Abdul Khalid berkata, Malaysia sepatutnya mencontohi tindakan pemerintah di Indonesia yang membenarkan rakyatnya mengadakan demonstrasi mengkritik pentadbiran republik itu.
Katanya, amalan pemerintah republik itu memberi kesan positif kepada pertumbuhan negara itu sama ada dari sudut sosial atau ekonomi pada masa ini.
Soal Bersih tidak mengambil kira soal undang-undang negara dan ketenteraman majoriti rakyat, beliau berkata, perkara itu tidak timbul sama sekali.
"Rakyat mesti bijaksana, tak kan mereka hendak robohkan warung, rosakkan teksi bila adakan perhimpunan," katanya. |
|
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan