HAMIM Ledang |
Hamim Bengang FELDA Kena Kutuk.. Posted: 21 Jun 2011 02:04 AM PDT Pada 1 Julai tahun ini genaplah 55 tahun usia Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau lebih dikenali sebagai FELDA. Sepanjang 55 tahun, FELDA yang diasaskan oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak, telah mencapai pelbagai kejayaan dan pengiktirafan baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.
Antara kejayaan terhebat ialah kemampuan FELDA membayar semula hutang kepada Bank Dunia pada 1996, iaitu15 tahun lebih awal daripada tarikh sepatutnya ia dilunaskan (2011). Malangnya kejayaan-kejayaan besar Felda tidak dibangkitkan pembakang, Pelbagai cara digunakan untuk menyebarkan cerita burung (berita yang tidak berasas mengenai FELDA. Golongan yang sering mengutuk FELDA itu ibarat keli kena ketuk, bersungut dengan tiada tentu hujung pangkalnya. Kebelakangan ini perbuatan mereka sudah ke tahap melampau ibarat cacing naik ke mata. Gelagat pihak-pihak ini buat Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri,yang juga salah seorang ahli Lembaga Pengarah FELDA, naik angin. "FELDA tak pernah usik duit peneroka. Felda ada cabang sendiri untuk mengisi tabung, iaitu di bawah Felda Global Ventures Berhad yang pendapatannya diperolehi melalui aktiviti perniagaan di dalam dan luar negara," katanya. "Pembangkang sibuk mempersoalkan mengenai apa yang yang dibelanjakan oleh FELDA tanpa mengetahui fakta sebenar. Perkara-perkara yang memanfaatkan rakyat yang dibuat oleh FELDA tidak pula dibangkitkan.
"Mereka tak tahu ke setakat ini FELDA telah membelanjakan RM265 juta dalam program CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat). Apa yang FELDA dapat, kami bagi balik kepada peneroka dalam bentuk program pendidikan umpamanya di mana kami menyediakan tuisyen kepada pelajar, dan membina MSRM Felda (Trolakjaya). "Kami juga menyediakan peruntukan untuk pembangunan keluarga generasi baru, pembangunan institusi dan masyarakat digital, keceriaan kampung, serta pembangunan sukan, bantuan dan insentif (bonus) dan sebagainya. "Selain itu, kami turut menyumbang kepada pembangunan usahawan, menyediakan pelan perlindungan peneroka dan khairiat kematian. Malangnya perkara-perkara ini tidak dipandang oleh pembangkang," katanya. Hamim juga bengang apabila pembangkang memfitnah FELDA menyalahgunakan wang peneroka. "Itulah masalahnya. Orang yang menuduh tu tak faham.Terdapat dua jenis ladang diuruskan oleh FELDA, iaitu ladang peneroka dan ladang FELDA sendiri. Kedua-duanya lebih kurang 400,000 hektar. "Menerusi Global Ventures, pendapatan daripada perladangan pada tahun 2010 ialah RM1.1 billion dan kami mensasarkan ia akan meningkat kepada RM1.4 pada tahun ini. Pendapatan daripada pelaburan pula ialah RM0.1 billion pada tahun lalu dan kami mensasarkan RM0.2 billion untuk tahun 2011. Ini tidak termasuk pendapatan daripada aktiviti sampingan lain. "Target keseluruhan keuntungan yang kami sasarkan untuk ladang FELDA untuk 2011 ialah RM1.7 billion, berbanding RM1.3 billion yang diperolehi pada 2010. Ini hanya dari ladang FELDA dan bukan peneroka," katanya. Hamim turut memberi penjelasan mengenai kewajaran pembinaan Menara Felda di Jalan Tun Razak (berhadapan KLCC).
"Mereka kurang faham. Ia adalah pelaburan yang relevan dan bakal membawa keuntungan kepada Felda. Kita bercakap tentang perniagaan. Kalau kita nilaikan bangunan itu sebagai satu benda yang bersifat fizikal, memanglah nampak macam membazir. Tetapi kita kena lihat dari sudut nilainya. "Bangunan itu apabila siap nanti, nilainya akan berlipat ganda sama ada jika kita guna sendiri atau sewakan kepada orang lain," katanya. Hamim berkata, walau apapun kebaikan yang dilakukan, FELDA tetap menjadi sasaran pembangkang daripada pelbagai sudut. "Mengapa ini berlaku? Sebab mereka mahukanFELDA. Mereka dah nampak duit. Kejayaan FELDA tak boleh dinafikan dengan jumlah aset hampir RM20 billion. Nilai saham yang kita beli dulu pada pasaran terbuka, kalau kita cairkan, keuntungannya tak kurang dari RM4.3 billion. Itu baru saham, belum campur nilai pelaburan lain yang kita kekalkan seperti perladangan, kilang luar dan dalam negara dan sebagainya. "Apa yang telah dicapai oleh FELDA adalah satu kejayaan yang dulunya kita tak terfikir. Malah kejayaan kita setanding Tabung Haji. Kejayaan-kejayaan Felda adalah hasil sentuhan daripada beberapa pemimpin UMNO terutama Allahyarham Tun Razak dan kini diteruskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. "Ini adalah kejayaan warisan. Datuk Seri Najib bukan sahaja mewarisi tetapi meneruskan dan meningkatkan kejayaan FELDA yang dimulakan oleh ayahnya. Jadi orang bukan tengok kejayaan FELDA sahaja, tetapi ia juga dilihat sebagai penyebab kepada pengaruh kepimpinan BN. "Menerusi pengaruh BN, FELDA berjaya menjaga kepentingan kebanyakan peneroka yang juga majoritinya adalah pengundi setia BN. Sebab itu orang target dan irihati dengan kejayaan FELDA. Kerana itulah mereka seboleh-bolehnya nak serang FELDA dan putar belitkan fakta serta fahaman peneroka supaya mereka memberontak," kata Hamim lagi. Mengulas mengenai Pakatan Rakyat yang mensasarkan pengundi FELDA pada pilihanraya akan datang, Hamim berkata, dia yakin peneroka faham apa yang kerajaan buat untuk mereka serta bijak dan tidak mudah terpedaya dengan dakyah palsu pembangkang yang sebenarnya mempunyai motif tersendiri. "Bagaimanapun kita sekarang berdepan dengan dunia maklumat tanpa sempadan. Untuk memastikan semua maklumat sampai kepada peneroka dengan pantas, FELDA harus menggunakan pendekatan terkini. "FELDA harus menggunakan cara digital seperti media maya dan SMS. Sementara generasi muda lebih selesa menggunakan internet, golongan lain pula rasanya lebih selesa menerima berita daripada SMS kerana ia lebih pantas. Lagipun sekarang hampir semua peneroka mampu memiliki telefon bimbit. Tambahan pula kebelakangan ini saya lihat, orang semakin malas membaca suratkhabar." |
You are subscribed to email updates from HAMIM Ledang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan