Ahad, 8 Mei 2011

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri


TERIMA KASIH IBU

Posted: 08 May 2011 06:24 AM PDT

Assalamualaikum.


Terima kasih kepada semua sahabat dan kenalan yang telah memberikan pandangan serta sokongan melalui laman blog saya ini. Juga, terima kasih kepada mereka yang telah menjadi sahabat Facebook saya dan telah memberikan komentar serta pandangan yang sangat berguna.

Jujurnya, saya merasai anda dekat dengan saya melalui perhubungan maya. Kita tinggalkan dahulu hal itu.


Hari ini, saya ingin mencatatkan mengenai istimewanya bulan Mei ini. hari ini misalnya, kita semua meraikan Hari Ibu, satu sambutan yang pada pandangan saya sangat memberi impak serta kesan yang mendalam terhadap hubungan kita dengan ibu kita. Di laman sosial facebook misalnya, sungguh terharu saya membaca sekian banyak ucapan Hari Ibu diluahkan dengan begitu kreatif dan berkesan sekali.


Rata-rata, warga ibu yang mampu mengikuti perkara tersebut sudah tentu dapat merasai nikmat diraikan oleh anak-anak. Sebagai seorang anak, saya juga merasai nikmatnya mempunyai ibu.


Seorang ibu adalah insan yang paling berharga, paling bernilai dan tiada gantinya jika ia pergi meninggalkan kita. Ibu adalah satu-satunya insan yang melahirkan kita, walaupun mungkin ada di kalangan ibu yang tidak sempat membesarkan kita. Pengorbanan seorang ibu untuk seorang anak, tiada batasnya.


Saya kagum dan ingin berkongsi kegembiraan dengan anda semua bahawa sambutan Hari Ibu sebenarnya semakin meriah, semakin bernilai dan menjadi semakin penting dalam kehidupan kita. Inilah hari yang tidak ada selama ini, tetapi telah kita adakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada ibu kita.


Kepada anak-anak yang masih mempunyai ibu, bajailah kasih sayang, curahkanlah segala pengorbanan untuk seorang ibu, usah dilukai hati seorang ibu. Selain syurga itu di bawah tapak kaki ibu, anak-anak yang berkorban untuk ibunya, Allah pasti akan melipatgandakan rezeki kepadanya.


Kepada mereka yang ibunya telah pergi selama-lamanya, berdoalah buat ibu. Doa seorang anak akan memberikan sekian banyak rahmat kepada arwah ibu kita.


Kepada mereka yang bergelar ibu, saya dengan rasa bangga dan rendah diri, ingin mengucapkan Selamat Hari Ibu.


Terima kasih ibu, ibu adalah permata hati kita semua.

Tiada ulasan:

Pengikut