Ahad, 1 Mei 2011

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Syed Ali bidas pemimpin UMNO hanya cari glamour

Posted: 01 May 2011 03:05 AM PDT

PEMIMPIN UMNO diingatkan jangan hanya bermegah dengan jawatan untuk mencari glamour tetapi sebaliknya memberi perkhidmnatan terbaik kepada rakyat, tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.


Katanya, jawatan dalam parti merupakan amanah dan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.


Beliau berkata, golongan tersebut sepatutnya disingkirkan daripada parti kerana akibat perbuatan mereka orang Melayu hilang kepercayaan kepada UMNO.


"Hari ini, ramai yang gilakan jawatan untuk glamour, syok sendiri dan cari kepentingan diri dengan memperalatkan parti," tegasnya.


Beliau turut menegur segelintir Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang tidak menampakkan bekerja untuk memantapkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Seri Muhyiddin Yassin.


"Mungkin mereka merajuk, lepas menang MT tetapi tidak terpilih menjadi menteri atau timbalan menteri, merajuk dan tak nak buat kerja untuk parti," tegasnya.


"Kasihan Najib dan Muhyiddin, terpaksa bertungkus lumus turun padang, ada MT UMNO, tetapi tak nampak kerjanya.


Beliau menyatakan demikian ketika berucap di majlis perasmian persidangan tahunan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Cheras, oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Saudara Khary Jamaluddin di Dewan Utama Pusat Rekreasi Cheras, pagi tadi.


Turut hadir timbalannya, Datuk Mahadi Abdul Shukor, Naib Ketua Bahagian, Datuk Haji Md. Nasir Ghani, Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian, Hajah Zurainah Musa dan Ketua Puteri, Puan Sarina Sharif.


Syed Ali juga turut mempesoalkan kemantapan barisan EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang menurut beliau agak lemah dan tidak bersatu.


"Pemilihan dah habis, sepatutnya barisan EXCO lebih mantap dan bersatu di bawah pimpinan Khairy untuk memperkasakan perjuangan pemuda," ujarnya.


Beliau berkata, walaupun Khairy tidak diberikan tempat dalam kabinet bukan bermakna beliau tidak boleh buat kerja untuk parti dan rakyat.


"Saya sendiri tak ada jawatan penting, seperti KJ, tetapi kita tetap memberi khidmat bakti kepada rakyat kerana itu adalah amanah yang dipertanggungjawabkan," katanya.


"Kita tak mengemis jawatan, yang penting kita buktikan kepada pucuk pimpinan bahawa kita sentiasa buat kerja parti demi rakyat," tegasnya lagi.


Syed Ali melahirkan keyakinan kepimpinan Khairy mampu membawa perubahan kepada perjuangan pemuda jika mendapat sokongan padu daripada seluruh ahlinya.


Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Cheras, Syed Mehdhar Syed Abdullah mencadangkan kepada Presiden UMNO supaya Khairy diberikan tempat dalam kabinet berasaskan kedudukannya sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia.


"Di depan perwakilan hari ini, saya minta Datuk Najib berikan jawatan kepada Khairy, bukan kerana KJ, tetapi menghormati jawatannya dalam parti," tegas beliau.


Syed Mehdhar juga menjelaskan bahawa walaupun beliau tidak menyebelahi Khairy semasa pemilihan jawatan Ketua Pemuda, tetapi dalam perjuangan dan kepentingan parti, tetap menyokong kepimpinan Khairy.


"Saya nak jelaskan, demi parti saya tetap menyokong dan teguh di belakang KJ sebagai Ketua Pemuda, ini soal parti, bukan soal peribadi," tegasnya lagi.



















Tiada ulasan:

Pengikut