Khamis, 3 Mac 2011

Hamidah Osman

Hamidah Osman


Teruskan Usaha Untuk Kemenangan Berganda

Posted: 03 Mar 2011 05:02 PM PST




PAS semakin terdesak. Melihat kelemahan jentera kempen pembangkang sejak hari penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau, menyaksikan keyakinan pengundi terhadap calon mereka semakin merosot. PAS di kedua-dua pilihan raya kecil ini sedang melalui saat sukar terpaksa menabur pelbagai janji tanpa sebarang komitmen, dengan harapan meraih sokongan pengundi.

Sebaliknya, komitmen jentera parti komponen dan peningkatan sokongan pengundi, Barisan Nasional (BN) yakin mampu melenyapkan impian PAS menawan DUN Merlimau dan Kerdau, sekali gus memberi kesan buruk kepada pembangkang, selain menggoyahkan kepercayaan sekutunya – DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Buktinya, kekalahan calon PAS di DUN Tenang, mula menghilangkan keyakinan sekutu kuatnya DAP apabila Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng secara terang-terangan menyifatkan jentera kempen PAS lemah.


Keadaan sama tidak mustahil berlaku jika calon PAS sekali lagi kecundang di Merlimau, Ahad ini. Sebagai anggota pembangkang, kekalahan PAS turut memberi kesan kepada DAP dan PKR. Guan Eng juga berhak untuk melahirkan kemarahan dan berasa kecewa dengan prestasi PAS. Sebagai pilihan raya kecil terakhir penggal ke-12 ini, kekalahan berturut-turut pembangkang di DUN Bagan Pinang, Galas dan Tenang memberi impak positif kepada BN, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya negeri Sarawak.

Keadaan terdesak PAS terserlah apabila pemimpinnya merayu pengundi memberi kemenangan calonnya kali ini bagi membolehkan wakil tunggal parti itu bersuara dalam persidangan DUN. Ini mencerminkan DAP yang mempunyai lima wakil gagal membawa suara dan kepentingan PAS dalam DUN Melaka.

Gerakan antikerajaan di Mesir juga dibawa ke Melaka untuk menjadi modal berkempen. Kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam difitnah tanpa mengkaji rasional di sebalik pelaksanaan setiap projek kerajaan negeri. Penguatkuasaan saman ekor turut dipolitikkan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Anwar, PKR serta PAS bukan saja diperalatkan DAP, malah kedua-duanya diperkudakan parti ultra rasis itu untuk mencapai matlamat politiknya.

"Tanpa bantuan kedua-dua parti Melayu ini, mereka (DAP) tidak akan dapat sebanyak mana (kerusi) yang ada sekarang," katanya sambil meminta orang Melayu sedar bahawa mereka harus tengadah sebelum terhantuk sekali lagi dengan permainan DAP seperti berlaku di tiga negeri – Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Ditanya tahap seriusnya kalau orang Melayu tidak berubah sikap dan sanggup diperalatkan pembangkang, Ahmad Zahid berkata: " Kita kehilangan kerajaan. Apakah orang Melayu mahu kehilangan kerajaan?"

Beliau berkata, kehilangan kerajaan menyebabkan agenda yang disusun bagi melaksanakan transformasi ekonomi, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) serta agenda Bumiputera tidak dapat dilaksanakan.

"Mungkin (ketika) itu akan menjadi kekesalan berpanjangan bagi orang Melayu. Saya minta orang Melayu tanpa mengira parti politik (supaya) utamakan agenda Melayu dengan tidak mengetepikan kaum lain.


(Laksanakan) agenda Islam dengan tidak mengetepikan agama lain dan (utamakan) agenda kebangsaan dengan tidak mengetepikan agenda negeri dan juga wilayah," katanya.

Rekod menunjukkan calon PAS tidak pernah memenangi kerusi DUN di Melaka (kecuali satu ketika PAS dalam BN) tetapi membantu DAP yang ketika ini menguasai lima daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka iaitu Kesidang, Kota Laksamana, Bachang, Ayer Keroh dan Bandar Hilir.

Sementara itu, Ali ketika ditemui berkata: "Kita nak menang cantik sikit dan lebih daripada undi 2008. Kita nak menang lebih. Jentera parti kena bekerja kuat dan ikhlas dalam perjuangan untuk bangsa agama serta tanah air."

Beliau berkata: "Saya tengok PAS ini 'one-man show'. Dia banyak gunakan politik Machiavelli. PAS masih gunakan isu agama untuk menarik pengundi Melayu dan (pada) pengundi Cina, dia cuba longgarkan lagi nilai-nilai Islam. Itu cara PAS... macam disarankan oleh Lee Kuan Yew...dia pun ikut.


Hari ini PAS sudah membenarkan DAP berceramah dalam masjid tempat imam sujud dan senamrobik (dalam pekarangan masjid) pun boleh."

Untuk mendapatkan sokongan PKR dan pengundi, ada sepanduk menyebut 'Undi PAS masuk syurga' dan 'PAS Melaka menyokong penuh fahaman pluralisme agama Datuk Seri Anwar Ibrahim' tetapi Ketua Penerangannya, Idris Ahmad, menafikan sepanduk itu milik parti berkenaan.

Kenyataan beliau mencetuskan banyak spekulasi dan persepsi. Antaranya, Idris menafikan kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang berulang kali menyebut fatwa politik yang sama dalam siri kempen pilihan raya kecil dan pilihan raya umum lalu.


Persoalannya, kenapa Idris berani menafikan kenyataan Nik Aziz dengan menyatakan PAS secara rasmi tidak pernah mengeluarkan kenyataan Menteri Besar Kelantan itu.

Selain itu, Idris memberi gambaran PAS tidak menyokong Anwar yang mendukung konsep pluralisme agama.

Ditanya taktik DAP menggunakan PAS dan PKR untuk menawan DUN Melaka dalam pilihan raya umum akan datang, Ali berkata itu sekadar gimik parti pembangkang.

Beliau berkata, mereka tahu Melaka adalah kubu kuat BN dan mencipta pelbagai slogan serta gimik untuk mempengaruhi rakyat yang sebenarnya berdiri teguh menyokong kerajaan BN.

"Saya percaya orang negeri Melaka takkan bagi...takkan izin," katanya.

Kehadiran PAS dalam kempen di DUN Merlimau juga hambar dan ala-kadar seperti di DUN Tenang kerana parti itu menyedari apa saja kos dibelanjakan dan menampilkan calon terbaik tetap berkesudahan dengan kekalahan.


Menampilkan calon yang tidak 'pandai bercakap' membuktikan PAS ketandusan 'pemimpin'. Kalau ada yang bagus pun mereka terpaksa disimpan untuk diturunkan ketika pilihan raya umum kelak.

Selepas tiga kali kalah kepada BN, PAS sebenarnya mahu menyekat peningkatan sokongan terhadap BN, tetapi apakan daya, PAS yang terdesak tetap tidak berupaya merubah keadaan dan mungkin terpaksa berdepan dengan kekecewaan sekali lagi, Ahad ini.

Fanatik, Taksub dan Politik Melayu

Posted: 03 Mar 2011 04:27 PM PST


Pas seru ahli serang UMNO

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 3 Mac - Seorang bekas penyokong fanatik Pas, Rashid Wahab, hari ini tampil mendedahkan bahawa parti itu bukan sahaja memperalatkan agama bagi mengkafirkan ahli UMNO malah menyeru ahlinya supaya mengangkat senjata menentang UMNO.

Rashid yang 22 tahun mengabdikan diri kepada Pas berkata, kerana taksub dengan amanah Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau terpaksa meringkuk dalam penjara apabila ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebanyak tiga kali.

"Saya pernah ditahan di bawah ISA sebanyak tiga kali kerana membawa senjata.

"Kononnya berjuang untuk Islam tetapi saya bersyukur kerana akhirnya telah diberi hidayah daripada terus ditipu oleh Pas," katanya seperti dipetik dari portal, http://umno-online.com, hari ini.

Pendedahan itu sekali gus mengesahkan mengenai kewujudan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) yang dikaitkan dengan Pas, sehingga menyaksikan anak kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Adli dan puluhan ahli Pas ditahan di bawah ISA.

Menurutnya, kerana amanah Abdul Hadi itu juga, beliau dan rakan-rakannya bukan sahaja mengkafirkan ahli UMNO malah, tergamak mengkafirkan bapa sendiri hanya kerana insan yang membesarkan mereka itu tidak menyokong perjuangan Pas.

Pada masa sama, beliau juga mendedahkan bahawa pucuk pimpinan Pas tidak pernah ikhlas untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini sebaliknya ia dijadikan perkakas dan modal politik bagi memancing sokongan orang Melayu.

Katanya, hakikat itu terbukti apabila para pemimpin Pas berdolak-dalik setiap kali ditanya mengenai hukum hudud dan penubuhan negara Islam, sedangkan dahulu mereka berjanji sebaik sahaja memegang kuasa, Pas akan melaksanakan perundangan Islam di negara ini.

"Apabila didesak mengenai kes hudud kenapa tidak dilaksanakan selepas menguasai Kelantan, Terengganu dan Kedah, jawapan yang diberi oleh pucuk pimpinan Pas adalah hudud ini hanya satu per dua ribu sahaja dalam Islam, maknanya mereka berbohong," jelasnya.

Dedah Rashid lagi, Pas juga pernah mengeluarkan 'fatwa' bahawa solat di masjid-masjid yang dibina oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah tidak sah dan ahli parti itu diharamkan daripada beribadah di masjid terbabit kerana perjuangan nasional tidak selari dengan Islam.

Bagaimanapun jelas beliau, sebaik sahaja Pas berjaya menawan Terengganu pada 1999, segalanya berubah dan Abdul Hadi yang menjadi Menteri Besar pada ketika itu, membenarkan masjid yang dahulunya haram digunakan oleh ahli Pas bagi tujuan ibadah.

"Pas menggunakan agama. Dalam usrah dan ceramahnya, Pas sering mengelirukan pengikutnya dengan cerita-cerita keislaman pada zaman Rasulullah SAW. Jadi pengikut Pas terasa dengan menyokong Pas mereka berjuang untuk Islam tetapi mereka sebenarnya keliru.

"Mereka tidak dapat membezakan yang mana satu parti dan yang mana satu agama. Selama menyertai Pas selama 22 tahun, sekarang barulah saya sedar, Pas dan Islam adalah berbeza. Islam itu adalah agama dan Pas hanyalah sebuah parti," terangnya.

Tiada ulasan:

Pengikut