PUTERI UMNO BAHAGIAN CHERAS |
PILIHANRAYA KECIL DUN MERLIMAU DAN DUN KERDAU SERENTAK Posted: 18 Feb 2011 08:39 PM PST Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihanraya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Pahang, diadakan serentak dengan PRK DUN Merlimau, Melaka, pada 6 Mac ini, manakala tarikh penamaan calon bagi kedua-dua PRK itu ditetapkan 26 Feb. Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR dapat menjimatkan banyak wang dan masa dengan mengadakan kedua-dua pilihan raya kecil itu secara serentak. Katanya bagi mengadakan pilihan raya kecil DUN Kerdau yang diadakan berikutan kematian anggota Datuk Zaharuddin Abu Kassim akibat serangan jantung pada 12 Februari lepas, SPR akan memerlukan belanja kira-kira RM915,000. Bercakap pada persidangan media selepas mengadakan mesyuarat khas mengenai pilihan raya kecil Kerdau di sini Jumaat malam, beliau berkata kawasan DUN Kerdau mempunyai 8,999 pemilih berdaftar, termasuk 8,984 pemilih biasa dan 15 pemilih pos. Pilihan Raya Umum pada 2008 menyaksikan Zaharuddin dari Barisan Nasional (BN) menewaskan calon PAS, Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi. Kerusi DUN Merlimau pula kosong selepas penyandangnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, dari BN meninggal dunia pada 20 Januari lalu kerana diserang sakit jantung. Pada Pilihan Raya Umum 2008, Mohamad Hidhir menang dengan majoriti 2,154 undi menewaskan calon PAS, Jasme Tompang. SPR sebelum ini sudahpun menetapkan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi PRK Merlimau pada tarikh tersebut. Abdul Aziz berkata selain melantik 242 petugas untuk mengendalikan proses PRK Kerdau, SPR juga akan menggunakan 10 buah sekolah, dua buah balai raya dan sebuah dewan sebagai pusat mengundi yang mengandungi kesemuanya 22 saluran tempat mengundi. Beliau berkata daftar pemilih bagi pilihan raya itu akan mula dijual pada 22 Februari dan pengundi juga boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi dan saluran mengundi melalui laman web SPR di www.spr.gov.my dan melalui SMS. Menurutnya pengundi juga boleh menghubungi ibu pejabat SPR di Putrajaya dengan menelefon 03-8885 6500 dan pejabat pilihan raya negeri Pahang di nombor 09-5165025 untuk membuat semakan. |
You are subscribed to email updates from PUTERI UMNO BAHAGIAN CHERAS To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan