Pentas UMNO Kg.Serdang, Sitiawan. Perak |
Pemimpin perlu bertanggungjawab! Posted: 16 Feb 2011 05:50 AM PST Sultan Azlan Shah diiringi Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah (kanan) merasmikan Masjid Jamek Medan Klebang Restu sambil diperhatikan Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ahmad Husni Hanadzlah ketika majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak dan perasmian Masjid Jamek Medan Klebang Restu di Chemor, Perak, semalam. Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mahukan pemimpin yang diberikan amanah oleh Allah dan mendapat kepercayaan rakyat menjadi pemimpin bertanggungjawab, bersih daripada rasuah, tidak menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa. Baginda bertitah, rakyat khususnya golongan remaja kini semakin gelisah dengan urusan dunia yang mereka lihat telah menyimpang jauh dari nilai-nilai kepimpinan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Titah baginda, kejadian yang sedang berlaku di beberapa negara di dunia pada waktu ini perlulah dijadikan pengajaran oleh pemimpin. "Keresahan golongan remaja ini dipamerkan melalui pelbagai cara, melalui saluran media tempatan dan antarabangsa, melalui saluran komunikasi moden, melalui pelbagai gerakan dan bila tidak lagi dapati dikawal dijelmakan melalui tindakan-tindakan yang lebih agresif," titah baginda. Sultan Perak bertitah demikian pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri dan perasmian Masjid Jamek Medan Klebang Restu, Chemor di sini hari ini. Turut berangkat ialah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Kecil Bongsu Perak Raja Datuk Seri Asman Shah. Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Ahli Exco Kerajaan negeri Perak. Sultan Azlan Shah bertitah, demografi penduduk menunjukkan dalam tahun 1990, 20 peratus remaja dunia dalam lingkungan usia 15 ke 29 tahun adalah remaja Islam. Baginda bertitah, peratusan remaja Islam di dunia meningkat kepada 26 peratus dalam tahun 2010 dan diunjurkan mencapai 29 peratus jumlah remaja di dunia dalam tahun 2030. "Golongan remaja Islam ini tersebar di serata dunia, meskipun majoriti mereka dilahirkan dan tinggal di negara-negara yang tergolong dalam kategori negara mundur dan miskin, namun bilangan yang berpeluang berhijrah ke negara maju untuk belajar dan bekerja semakin bertambah. "Mereka ini terdedah kepada pelbagai contoh kemajuan, corak pembangunan serta pelbagai bentuk pemerintahan. Ditambah dengan tekonologi maklumat dan komunikasi yang semakin mudah, remaja Islam di serata dunia semakin terdedah dan terbuka pemikirannya," titah baginda. Titah Sultan Perak, golongan remaja pada zahirnya memiliki jiwa merdeka, idealisme yang murni dan pengharapan yang tinggi. Justeru titah baginda, golongan remaja yang terpelajar dan berilmu mempunyai daya analisis yang kritikal dapat membezakan antara kaca dengan permata, antara kepalsuan dengan kebenaran, antara yang baik dengan yang buruk. "Golongan remaja ini memiliki keberanian mengambil risiko besar dan kesediaan menerima cabaran, golongan ini juga memiliki daya tenaga mahu melakuksna perubahan untuk kebaikan," baginda bertitah. Dalam pada itu, Sultan Azlan Shah bertitah mahu umat Islam menjadikan rumah Allah atau masjid sebagai simbul perpaduan, persaudaraan serta penyebaran ilmu. "Rumah Allah ini adalah pusat menjana kebenaran berteraskan ilmu dan fakta ke arah membina umat yang cemerlang, bersaudara, bersatu padu, saling membantu dan kasih mengasihani. "Jawatankuasa dan pegawai masjid yang telah diberikan amanah menguruskan masjid ini hendaklah sentiasa berikhtiar untuk memakmurkan masjid setiap masa supaya rumah Allah ini berjaya menjana cahaya indah Islam dipersekitarannya," titah Sultan Perak. Masjid Jamek Medan Klebang Restu dibina dengan kos RM1.9 juta mula dibina di kawasan 0.8 hektar pada 25 Februari 2008 dan siap pada 20 Mei 2009. Warna-warni politik Torashah |
You are subscribed to email updates from UMNO Kg.Serdang, Sitiawan. Perak To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan