Hairan juga kerana sehari selepas Lim Kit Siang meminta kerajaan pakatan rakyat di Selangor kaji balik larangan guna logo berkenaan di papan iklan di negeri itu, cadangan itu serta merta dipatuhi.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Selangor Ronnie Liu pada Sabtu sudah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membekukan larangan itu sehingga diberitahu kelak.
Bertambah pelik, Liu mengeluarkan arahan itu tanpa merujuk kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dilaporkan sedang bercuti.
Seperti dilapor Malaysiakini, beliau akan meminta semakan semula terhadap larangan tersebut dalam mesyuarat Exco akan datang sebaik Khalid kembali daripada bercuti, yang dijangka awal Januari ini.
"Sementara itu, saya menasihatkan semua PBT supaya membekukan penguatkuasaan mereka terhadap logo 1Malaysia," katanya.
Sebelum ini, larangan penggunaan logo 1 Malaysia itu dibuat kerana dianggap melanggar undang-undang kecil kerajaan tempatan dan merupakan mesej politik Barisan Nasional (BN).
Apapun pasti ada sebab lain mengapa ahli Parlimen Ipoh Barat itu mencadangkan larangan itu dikaji semula.
Tambahan pula, Lim menekankan semua rakyat perlu menjadikan Malaysia sebagai keutamaan diikuti dengan bangsa, agama, geografi dan sosioekonomi.
Sebenarnya pemimpin DAP terutama Lim sedar bahawa dengan penguatkuasaan larangan guna logo 1Malaysia yang diilhamkan Datuk Seri Najib Tun Razak hanya akan membuktikan kebenaran bahawa DAP adalah parti berasaskan perkauman sahaja.
Rakyat Malaysia tahu 1Malaysia mewakili semua kaum dan DAP sudah tentu tidak mahu melihat parti itu hanya mewakili satu kaum sahaja dengan melaksanakan larangan penggunaan logo tersebut.
Sungguhpun, Lim sebelum ini pernah mencabar menteri-menteri kerajaan BN di Parlimen supaya mengakui mereka rakyat Malaysia dulu selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau adalah Melayu dahulu kemudian baru Malaysia, larangan guna logo itu nampak 'alasan politik bodoh' pakatan rakyat di Selangor.
Bertambah malang sebab Liu dari DAP dan bertangungjawab dengan PBT.
Justru itu, tidak sampai 24 jam selepas teguran Lim, Exco DAP yang kalah dalam pemilihan pimpinan DAP Selangor tidak perlu tunggu lama minta supaya larangan itu dibekukan dahulu.
Sebab lain, pembangkang juga sedar rakyat Malaysia sudah cukup masak retorik politik DAP, PKR dan PAS berdepan isu 1Malaysia.
Ini kerana Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini melaungkan kesamarataan hak setiap kaum di negara ini tetapi peliknya bila Najib melaksanakan gagasan 1Malaysia supaya semua kaum menikmati hak masimg-masing, pembangkang pula menolaknya.
Kesimpulannya mudah bahawa pembangkang akan jadikan apa saja dilaksanakan kerajaan sebagai modal politik mereka kerana perjuangan mereka bukan untuk rakyat sebaliknya mahu mengambil alih kerajaan semata-mata.
Inilah perbezaan pembangkang di Malaysia berbanding negara luar yang sentiasa mengkritik dan menegur kerajaan melaksanakan perubahan sehingga dihormati kerajaan dan rakyat.
Malangnya di Malaysia tiada teguran membina sebaliknya hanya kritikan keras selain tindak tanduk yang memalukan negara.
Kini perjuangan pembangkang bukan lagi untuk membela rakyat sebaliknya berharap pilihan raya umum diadakan secepat mungkin kerana mereka yakin dapat menawan Putrajaya selain berhempas pulas menyelamatkan Anwar bakal Perdana Menteri. -25/12/2010