Rabu, 15 Disember 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Ketuanan Melayu ; Syed Ali sangkal tuduhan Nik Aziz

Posted: 14 Dec 2010 07:19 PM PST

PERJUANGAN UMNO menegakkan ketuanan Melayu tidak bermakna meminggirkan Islam, sebaliknya terus diperkasakan untuk kesejahteraan umat, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Menurut beliau, konsep ketuanan Melayu telah disepakati sejak turun-temurun dengan kedudukan institusi raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam tetap dipertahankan.

"Ini jelas menunjukkan UMNO sebagai parti terbesar mewakili umat Melayu sentiasa menjadikan Islam sebagai teras perjuangannya walaupun dalam keadaan berbeza mengikut perubahan semasa," jelasnya.

Katanya, orang Melayu di negara ini secara semula jadinya adalah beragama Islam dan apabila hak dan kesitimewaan mereka dipertahankan bermakna merangkumi kedudukan syiar Islam itu sendiri.

Oleh sebab itu katanya, pembangunan umat dan perkembangan syiar Islam di negara ini sejak selepas merdeka adalah hasil perjuangan UMNO dan turut menjadi agenda penting dalam dasar pembangunan negara.

Sedangkan PAS kata beliau, hanya menggunakan agama sebagai alat untuk memancing undi orang Melayu sehingga tergamak mengeluarkan pelbagai fatwa termasuk mengkafirkan orang Islam yang menyokong UMNO.

Beliau menyangkal dakwaan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa perjuangan menegakkan ketuanan Melayu adalah sia-sia kerana mengetepikan Islam, sepertimana dilaporkan oleh akhbar tempatan hari ini.

Menteri Besar Kelantan itu juga dilaporkan berkata, tindakan melaung-laungkan ketuanan Melayu dengan mengetepikan Islam hanya akan menjadikan orang Melayu lebih hina, bukan lebih mulia.

Nik Aziz 'bunuh' perjuangan Melayu

Menurut Syed Ali lagi, kejayaan orang Melayu termasuk yang menyertai parti-parti pembangkang adalah hasil daripada perjuangan UMNO yang berpegang kepada konsep ketuanan Melayu dan Islam.

"Jika tidak kerana UMNO mempertahankan konsep ketuanan Melayu, belum tentu lagi orang Melayu termasuk yang menerajui PAS mampu memegang pelbagai jawatan penting dalam pelbagai bidang," katanya.

Malah jelas beliau, kenyataan Mursyidul Am PAS itu juga secara tidak langsung cuba mempersenda dan memperlekehkan kedudukan raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam sepertimana termaktub dalam perlembagaan negara.

Sehubungan itu beliau menyifatkan Nik Aziz sebagai ulama yang lebih cenderung mengeluarkan kenyataan yang mampu 'membunuh' semangat perjuangan orang Melayu secara keseluruhannya.

"Golongan ulama sepatutnya berfikiran terbuka, selalu berpandangan jauh dan memberikan idea bagi membina keupayaan umat Islam, bukannya fatwa sempit berasaskan kepada kepentingan politik," tegasnya.

Bagaimanapun Syed Ali yakin Nik Aziz hanya akan mengatakan seseorang itu Islam jika mereka menyokong perjuangan PAS dan tidak kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Inilah sebenarnya gambaran yang cuba dibawa oleh Nik Aziz kononnya apabila menyokong PAS, sudah tentu Islam dan akan masuk syurga, walhal fatwa itu sebenarnya menyesatkan pemikiran umat," katanya.

Tiada ulasan:

Pengikut