Isnin, 6 Disember 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Syed Ali bidas Soi Lek yang masih ragui keikhlasan UMNO

Posted: 05 Dec 2010 10:17 PM PST

"DATUK Seri Dr. Chua Soi Lek masih lagi meragui keikhlasan UMNO, sedangkan selama ini masyarakat Cina di negara ini sudah menikmati banyak kemewahan daripada dasar dan keputusan UMNO yang sentiasa bertolak ansur," tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Katanya, jika Presiden MCA itu ikhlas beliau tidak akan terus mempersoalkan kewajaran UMNO membuat keputusan dasar samada menerusi perhimpunan atau mesyuarat parti kerana UMNO tidak pernah mengetepikan kepentingan rakyat.

"Apa yang diputuskan oleh kepimpinan UMNO termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dibuat berasaskan kepada prinsip parti dan kepentingan rakyat pelbagai kaum.

Oleh sebab itu jelas beliau, tindakan Soi Lek yang terus membangkitkan isu tersebut bertujuan mencari popularti murahan dan cuba memberi gambaran seolah-olah UMNO mengetepikan peranan komponen lain dalam Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, semasa berucap pada Konvensyen BN Sabtu lalu, Soi Lek terus mengasak perwakilan dengan menimbulkan hubungan seperti 'abang sulung dan adik bongsu'.

"Jika Soi Lek menghormati perasaan Najib selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN, dia tidak akan membuat ucapan sedemikian rupa, seolah-olah memberi isyarat kepada umum khususnya kepada masyarakat Cina kononnya UMNO berlaku tidak adil," ujarnya.

Sebaliknya tegas beliau, Presiden MCA itu harus menerima hakikat bahawa UMNO merupakan parti yang mendominasikan perjuangan BN sejak mula merdeka sehingga sekarang.

Katanya, pemimpin MCA sepatutnya menghormati UMNO yang terus berusaha gigih untuk mengukuhkan falsafah perjuangan BN di kalangan rakyat tanpa mengira perbezaan kaum.

Syed Ali mengingatkan pemimpin MCA supaya menghormati UMNO kerana parti itu yang bekerja keras mengukuhkan BN dan sekaligus menjadikan parti-parti komponen termasuk MCA diyakini pengundi.
Soi Lek cuba popularkan diri sendiri

"Saya yang hadir sebagai perwakilan konvensyen merasakan Soi Lek sengaja menimbulkan isu itu dalam usaha beliau mempopularkan diri beliau di kalangan masyarakat Cina," katanya.

Beliau mendakwa, ucapan Presiden MCA itu jelas merujuk kepada tindakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan mata pelajaran sejarah akan dijadikan subjek wajib di sekolah, semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Katanya, Soi Lek tidak wajar mempertikaikan Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO kerana ia dibuat dengan mengambil kira kepentingan rakyat pelbagai kaum terhadap kepentingan sejarah dalam usaha membina tamadun bangsa.

"Memang UMNO mengumumkan sesuatu dasar itu menerusi mesyuarat atau majlis tertentu tetapi bukan keputusan muktamad kerana perlu dibincang dan dipersetujui oleh jemaah menteri," katanya.

Beliau berkata, sebarang keputusan dasar yang dibuat oleh UMNO sebagai tulang belakang kerajaan BN diputuskan secara kolektif dan tidak menjuruskan kepada kepentingan kaum tertentu..

Katanya, isu 'abang sulung dan adik bongsu' tidak wajar dijadikan senjata oleh MCA untuk meraih populariti sebaliknya mereka perlu berusaha mengembalikan semula sokongan pengundi Cina terhadap BN yang dilihat telah terhakis.

"Soi Lek sepatutnya terlebih dahulu mengukuhkan kemantapan barisan kepimpinan parti itu disamping memperkasakan halatuju perjuangan MCA terutama di kalangan generasi muda," tegasnya.

Selain itu jelas beliau, MCA hendaklah berperanan sebagai sebuah parti terbesar mewakili masyarakat Cina di negara ini dengan memberikan jaminan mereka akan setia bersama BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Mengenai tindakan Soi Lek yang sekali lagi mengulangi desakannya supaya perkataan sensitif seperti pendatang, penumpang dan tidak patriotik tidak disebut oleh pemimpin BN, Syed Ali berkata timbulnya ungkapan tersebut berpunca daripada sikap pemimpin MCA itu sendiri.

"Kebelakangan ini ada pemimpin Cina dalam BN yang sengaja mempersoalkan hak ketuanan dan keistimewaan Melayu termasuk kedudukan Raja-Raja Melayu serta bersikap seperti pembangkang, kesannya orang Melayu akan bertindak balas dengan menyifatkan mereka sebagai tidak sedar diri dan tidak tahu berterima kasih kepada perjuangan UMNO," tegasnya.

Beliau menjelaskan, orang Melayu sebenarnya tidak mahu mengungkit isu tersebut tetapi malangnya kadangkala bukan Melayu terlalu biadap sehingga ada yang mempersoalkan kontrak sosial disamping perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Pemimpin MCA buta sejarah

"Inilah puncanya apabila mereka buta kepada sejarah dan tidak mahu menerima hakikatnya, tetapi apabila ada tindak balas daripada orang Melayu, mereka melenting dengan melemparkan tuduhan kononnya sengaja menggunakan isu pendatang walhal tindak-tanduk mereka sendiri yang mencurigakan," tambahnya lagi.

Syed Ali bagaimanapun berharap ini semua akan menjadi satu pengajaran kepada anggota komponen BN kerana apa jua yang diragui atau wujud ketidakpuashatian terhadap sesuatu perkara hendaklah diselesaikan secara bermusyawarah.

"Jika ada kalangan anggota komponen BN tidak berpuashati terhadap sesuatu perkara, elok dibincang secara tertutup, bukannya meluahkan perasaan secara terbuka kerana perbuatan seperti ini seperti cuba menikam dari belakang," tegasnya.

Perancang perhimpunan haram perlu dikenakan tindakan tegas

Posted: 05 Dec 2010 10:05 PM PST

KETUA UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, demontrasi anjuran Pakatan Rakyat (PR) di Kuala Lumpur semalam bukan jalan penyelesaian terhadap apa jua isu berbangkit sebaliknya hanya mengundang kesusahan kepada orang awam.

Katanya, perhimpunan haram anjuran PR itu hanya menyusahkan rakyat terutama apabila ribuan pengguna mengalami kesesakan di jalan raya disamping menakutkan golongan peniaga.

"Perbuatan tidak bertanggungjawab kumpulan minoriti itu tidak akan menyelesaikan masalah yang berbangkit tetapi lebih banyak mendatangkan kesukaran kepada orang awam," katanya.

Menurutnya, setiap masalah mempunyai jalan penyelesaian dan tidak semestinya melakukan perhimpunan haram yang seolah-olah mencerminkan undang-undang ditangan mereka.

Beliau mengulas perhimpunan 'baju merah' di Masjid Negara semalam bagi membantah kenaikan harga air di Selangor yang berarak ke Istana Negara bagi menyampaikan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong.

Kira-kira 4000 penyokong 'baju merah' yang turut disertai beberapa wakil rakyat pembangkang bagaimanapun terpaksa bertempur dengan polis yang melepaskan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan.

Beliau mendakwa, pihak pembangkang sengaja melakukan perhimpunan haram untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka berpengaruh sedangkan isu tersebut boleh diselesaikan menerusi rundingan.

"Demontrasi membantah sesuatu perkara tidak pernah menghasilkan keputusan terbaik, tetapi sekadar melepaskan geram sambil menimbulkan kesusahan kepada masyarakat dan memusnahkan harta awam," tegasnya.

Beliau berkata, perhimpunan haram sejak kebelakangan ini seperti menjadi satu trend baru di kalangan parti-parti politik pembangkang dan budaya tersebut tidak sepatutnya berlaku di negara ini.

Syed Ali menjelaskan, perhimpunan yang didalangi parti pembangkang akan menyebabkan timbulnya penentangan secara terbuka dan berakhir dengan satu bentuk keganasan.

Sehubungan itu, beliau menyarankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan mereka yang terbabit dalam perhimpunan tersebut.

Beliau percaya polis sudah sedia maklum siapa sebenarnya dalang atau perancang dalam perhimpunan tersebut dan mereka ini wajar dikenakan tindakan tegas kerana mencetuskan kacau bilau.

Piagam Barisan Nasional 2010

Posted: 05 Dec 2010 05:36 PM PST

KAMI Pewaris Bangsa, memperakui betapa para Pengasas Negara bersatu hati dan berganding bahu, dalam menubuhkan Parti Perikatan demi memperjuangkan kemerdekaan negara, dan mencipta prinsip permuafakatan demi kemakmuran bersama.

Hari ini, KAMI ANAK MALAYSIA, Pendukung Barisan Nasional, berhimpun atas satu semangat, mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara, mendukung Perlembagaan Persekutuan, Institusi Raja Berpelembagaan dan Sistem Demokrasi Berparlimen serta mengamalkan prinsip-prinsip asas Rukun Negara, bertekad dan berjanji serta berikrar, meneruskan perjuangan untuk bangsa dan Negara, berteraskan kepada prinsip-prinsip berikut:

PERTAMA, Menjunjung keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, menghormati hak dan keistimewaan setiap rakyat di sisi undang-undang, menjamin kebebasan institusi kehakiman dan membanteras jenayah bagi menzahirkan sebuah masyarakat yang aman, stabil, makmur dan selamat.

KEDUA, Mempereratkan lagi hubungan antara kaum dan lapisan masyarakat, mencegah dan menentang segala bentuk ekstremisme dan rasisme, demi memupuk perpaduan bagi sebuah masyarakat majmuk berteraskan gagasan 1Malaysia.

KETIGA, Meneruskan usaha memajukan ekonomi Negara melalui peningkatan daya saing, di samping memberikan komitmen terhadap pembahagian ekonomi yang adil dan mengekalkan kelestarian alam sekitar, menggalak penyertaan semua kaum dalam setiap bidang ekonomi dengan seimbang, demi memastikan nikmat kemakmuran dan kekayaan Negara dapat dikecapi bersama.

KEEMPAT, Menjamin pendidikan berkualiti bagi semua, memperkasakan pembudayaan ilmu pengetahuan, sebagai asas pembentukan modal insan yang berketrampilan serta memastikan pendidikan kebangsaan, menjadi wahana utama pembentukan insan yang mulia demi pengukuhan perpaduan nasional.

KELIMA, Meneruskan tradisi membela rakyat, dengan mengutamakan pembangunan ekonomi dan kebajikan sosial, peningkatan infrastuktur asas yang menyeluruh, serta menjadikan peningkatan kualiti hidup rakyat, sebagai petanda asas utama prestasi kerajaan Barisan Nasional.

KEENAM, Memajukan institusi keluarga, menggalakkan penyertaan wanita, belia, orang kurang upaya dan isi rumah secara berkesan dalam pembangunan sosio-ekonomi negara, serta memperkasa peranan golongan muda dan masyarakat sivil sebagai rakan utama dalam pembinaan negara; dan

KETUJUH, Mendukung prinsip tadbir urus yang baik dan menolak amalan rasuah, menyokong dan membantu meningkatkan integriti dan kecekapan agensi kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, dan menghayati konsep "Rakyat Didahulukan" sebagai asas pewujudan kerajaan yang mengutamakan pencapaian dalam memenuhi keperluan dan harapan rakyat.

Inilah ikrar dan tekad kami, Pendukung Barisan Nasional, demi kesejahteraan semua rakyat dan generasi akan datang, dalam meneruskan perjuangan murni mewujudkan perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan agama, dengan keazaman semangat 1Malaysia, dengan mendahulukan rakyat, kami berikrar dan bertekad mencipta kejayaan yang lebih gemilang, bagi negara Malaysia.

Tiada ulasan:

Pengikut