Ahad, 5 Disember 2010

PUTERI UMNO BAHAGIAN CHERAS

PUTERI UMNO BAHAGIAN CHERAS


KONVENSYEN BARISAN NASIONAL 2010

Posted: 04 Dec 2010 08:56 PM PST


Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak mengingatkan anggota parti itu supaya tidak mudah terleka dan terpesona dengan kejayaan awal yang ditunjukkan parti itu dalam beberapa pilihan raya kecil selepas Mac 2008.

Sebaliknya, tambahnya, BN perlu terus mengukuhkan setiap parti komponennya dan memastikan supaya pentadbiran Putrajaya dapat dikekalkan di bawah parti itu.

"Berbanding pilihan raya umum 2008, BN yang cuba dimomok sebagai sudah suram, Alhamdulillah kini nampaknya semakin hari sudah semakin pulih," katanya dalam ucapan dasar di konvensyen BN di ibunegara hari ini. Jelasnya, kejayaan awal itu perlu dijadikan asas kepada kemenangan yang lebih memberangsangkan.

Beliau turut mengulangi saranannya sebelum ini kepada pergerakan sayap-sayap parti Umno pada 2008 supaya menyisihkan empat penyakit utama - agar parti itu "berubah atau berisiko rebah."

"Empat penyakit tersebut ialah delusion atau khayalan, amnesia atau kelupaan, inertia atau kejumudan dan arrogance atau keangkuhan.

"Hakikatnya parti yang terlampau lama berkuasa jarang melakukan muhasabah atau introspeksi terhadap kelemahan diri," katanya lagi.

Dalam ucapan itu juga, Najib mengingatkan anggota BN supaya mempertahankan penguasaan parti itu daripada kemaraan parti pembangkang yang "hanya ingin memenuhi nafsu serakah dan tamakkan kuasa."

"Kita tahu mereka teringin sangat nak ada pejabat di Putrajaya, teringin sangat nak tinggal di Seri Perdana. Kerana itulah mereka sanggup berbuat apapun.

"Kalau teringin sahaja tak apa, tapi teringin sangat, itu yang bahaya," katanya yang disambut ketawa sinis hadirin.

Menurut Najib lagi, "angan-angan" 16 September yang dicanang oleh Pakatan Rakyat sebagai tarikh untuk merampas Putrajaya juga kini diketahui sebagai "satu pembohongan terbesar dalam sejarah politik tanahair."

"Walau apa pun terjadi, kita perlu pertahankan Putrajaya bukan kerana ego atau kepentingan diri yang sempit, akan tetapi demi kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya," tambah Najib.



Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan menyampaikan kata kata aluan pembuka tirai Konvensyen Barisan Nasional 2010.


Tiada ulasan:

Pengikut