Sabtu, 6 November 2010

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri


KITA HARUS SEPAKAT BANTU MANGSA BANJIR

Posted: 05 Nov 2010 12:08 PM PDT

Assalamualaikum dan salam bloger,

Kita lupakan seketika kisah politik, walaupun ia masih panas di pasaran sebenarnya. Hari ini, saya mahu mengajak anda semua melihat, berfikir dan merenung sejenak mengenai pelbagai peristiwa yang berlaku di sekeliling kita, sama ada yang jauh atau dekat.

Jika kita mengambil yang jauh, apa yang sedang berlaku di negara jiran Indonesia adalah lebih baik untuk kita merenunginya. Kejadian tsunami yang berulang sehingga menyebabkan hilangnya ratusan nyawa – sudah tentu mengekalkan lebih banyak anak-anak yatim dan meletupnya Gunung Merapi adalah dua keadaan yang cukup menginsafkan.

Kita bersyukur sebenarnya, sekurang-kurangnya kita tidak berhadapan dengan bencana sedemikian. Oleh itu, sebagai rakyat, adalah satu hal yang penting untuk kita merasai keinsafan terhadap apa yang berlaku itu – betapa sebenarnya kita adalah antara manusia yang bertuah dilahirkan di Malaysia ini.

Kita semua harus menjaga apa yang kita miliki ini dengan baik dan terus berdoa agar kita sentiasa jauh dan dibebaskan daripada bencana seperti itu. Mudah-mudahan doa kita itu sentiasa dimakbulkan Allah.

Nah!, ambil pula apa yang berlaku di negara kita. Banjir. Ya, keadaan banjir menjadi semakin buruk terutamanya di negeri-negeri sebelah utara. Jika sebelum ini, apabila negara jiran Indonesia ditimpa musibah, maka cepatnya orang kita mengutip derma dan pergi ke sana atas nama misi kemusianaan dan sebagainya.

Justeru, apabila bencana turut berlaku di negara sendiri, kita juga sebenarnya ingin melihat perkara yang sama berlaku. Rata-rata "kesungguhan" untuk kita membantu sepertimana kita pernah "membantu orang" masih tidak kelihatan begitu jelas.

Saya sendiri pun kurang faham mengenai keadaan tersebut. Namun, saya amat bangga kita rakyat kita mempunyai semangat untuk membantu dengan kuat. Dalam erti kata lain, kita semua mempunyai tanggungjawab dan tidak hanya meletakkan di bahu kerajaan semata-mata.

Jika kerjasama dan sumbangan sedemikian boleh dilakukan, saya percaya kita pasti dapat melihat terzahirkan satu kumpulan masyarakat yang membanggakan kita semua.

Dalam hal ini, kita ketepikan soal perbezaan fahaman politik. Seperti yang saya katakan tadi, ketepikan dahulu soal politik. Saya ingin benar melihat keadaan itu berlaku.

Percayalah bahawa kejadian banjir yang sedang berlaku adalah satu permulaan. Kita semua harus berwaspada. Dan saya berharap, kita sebagai rakyat lebih berganding bahu bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir ini.

Tiada ulasan:

Pengikut