Sabtu, 6 November 2010

Pentas UMNO Kg.Serdang, Sitiawan. Perak

Pentas UMNO Kg.Serdang, Sitiawan. Perak


MB Azizan tuduh projek landasan elektrik punca banjir!

Posted: 06 Nov 2010 09:09 AM PDT

Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) di beberapa kawasan dalam daerah ini antara faktor yang memburukkan lagi keadaan banjir di kawasan itu sehingga menyebabkan banyak taman perumahan ditenggelami air melibatkan lebih 10,000 penghuninya.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak memberitahu, ini kerana limpahan air akibat banjir tidak dapat mengalir kerana di tapak projek tersebut tidak terdapat saluran air yang besar.

"Selain air yang turun ke sini (Kota Setar) kesan daripada banjir di Kubang Pasu dan Padang Terap, satu faktor lagi ialah pembinaan landasan keretapi berkembar di daerah ini kerana pada tahun 2005 pun berlaku banjir tetapi ia tidak teruk sebegini.

"Banyak taman perumahan dan kawasan di sekitar tapak projek berkenaan ditenggelami air, malah ada taman-taman yang dahulu tidak pernah banjir, kali ini habis tenggelam," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat banjir melibatkan Exco Kerajaan Negeri Kedah, ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan dan wakil-wakil rakyat di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darulaman di sini, hari ini.

Antara kawasan dan taman-taman perumahan yang menerima kesan daripada projek berkenaan ialah Taman Rakyat, Taman PKNK, Taman Uda dan Taman Muhibbah manakala kediaman Azizan sendiri di Jalan Sultanah turut dinaiki air.

Sehubungan itu, kata Azizan, pihak yang terlibat dalam projek tersebut iaitu syarikat MMC-Gamuda JV Sdn. Bhd. (MMC-Gamuda) diminta supaya segera membina saluran yang dapat menyalurkan air ke tempat saliran atau sungai untuk mengatasi banjir di kawasan berkenaan.

"Jika syarikat berkenaan tidak berbuat demikian, Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) akan diarahkan membuat saluran air di kawasan berkenaan," tambah beliau.

Mengulas mengenai banjir di Kedah secara keseluruhannya, Azizan berkata, pihaknya yakin dalam masa lima atau enam hari lagi, keadaan akan pulih seperti biasa sekiranya tidak ada lagi hujan.

"Ia bergantung kepada keadaan, jika masih hujan, mungkin banjir akan berlarutan," tambah beliau.

Sementara itu : KTM nafi landasan berkembar punca banjir

Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad hari ini menafikan dakwaan bahawa pembinaan landasan berkembar elektrik di beberapa daerah di Kedah sebagai punca kejadian banjir besar di negeri itu.

KTM Berhad berkata, kejadian bencana alam itu tidak langsung disumbangkan oleh Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar yang sedang dijalankan kerana bencana alam serupa turut melanda negara jiran iaitu Thailand serta Kelantan dan Terengganu.

Dari aspek sistem saliran, pemaju projek iaitu syarikat MMC-Gamuda Joint Venture telah melaksanakannya dan struktur yang dibina adalah mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kata KTM Berhad dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan PAS Kedah hari ini mendakwa banjir buruk yang kini melanda negeri itu adalah disebabkan kerja pembinaan landasan kereta api berkembar yang sedang berjalan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menggesa kontraktor landasan kereta api berkembar itu, MMC-Gamuda Joint Venture (Gamuda) membesarkan saliran air supaya air banjir dapat disalirkan ke sungai dengan cepat.

KTM Berhad berkata, banjir besar yang melanda Kedah dan Perlis adalah berpunca daripada cuaca buruk luar biasa dan pembukaan empangan yang mana paras airnya berada di tahap bahaya untuk menaikkan paras air sedia ada.

Syarikat pengangkutan itu turut menanggung kerugian mencecah jutaan ringgit apabila bencana banjir turut menyebabkan berlakunya kerosakan pada struktur dan landasan baru yang sedang dibina.

"Projek yang bermula pada hujung 2008 itu, kini telah mencapai kemajuan 54 peratus secara keseluruhannya, namun disebabkan kejadian banjir luar biasa itu, kerja-kerja projek juga telah tertangguh," kata kenyataan itu.

Perkhidmatan tren KTM Berhad juga terjejas apabila sebanyak 20 perkhidmatan tren menuju ke arah utara terpaksa dibatalkan berikutan bencana alam itu. - bernama

KTM Berhad berharap agar situasi sedia ada akan kembali pulih supaya perkhidmatan tren dapat diteruskan dan perlaksanaan projek dapat disempurnakan mengikut jadual yang akan memberi manfaat kepada penduduk di setiap negeri yang dilaluinya termasuk Kedah.

"KTM Berhad dan pemaju projek akan memantau dari semasa ke semasa (keadaan ini) dan akan memberikan kerjasama serta menghulurkan segala bantuan yang perlu dalam memastikan keselamatan orang ramai dan kemusnahan harta benda dapat diminimumkan," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:

Pengikut