Rabu, 10 November 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Isu Zaid-Anwar; apakah hanya sekadar lakonan ?

Posted: 09 Nov 2010 07:52 PM PST

Oleh SYED ALI ALHABSHEE

HAMPIR kesemua akhbar termasuk media eletronik menceritakan perihal bekas senator, Datuk Zaid Ibrahim yang meletakkan kesemua jawatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Hari ini pula, media memaparkan kenyataan Zaid yang berkata beliau tidak akan keluar daripada PKR sebaliknya menyalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin Ali sebagai punca segala masalah yang berlaku dalam parti itu.

Segala kepincangan, keburukan dan pelbagai manipulasi dalam PKR terutama ketika menjelangnya pemilihan telah didedahkan oleh Zaid secara terbuka, malah menjadi topik perbualan di merata tempat.

Dengan kata lain, segala keburukan dan kekotoran dalam PKR selama ini telah dihumbankan ke atas bahu Anwar dan 'anak emas' beliau Azmin. Maka orang ramai pun melihat bahawa Zaid seperti sudah melepaskan bom jangka.

Tetapi bagi saya, bom jangka yang dilepaskan Zaid itu sebenarnya tidak meletup malah tidak mampu untuk menyebabkan Anwar terluka atau Azmin jatuh tergolek.

Sebabnya, sasaran Zaid sekadar mendedahkan kepincangan dan manipulasi dalam PKR tetapi beliau masih teragak-agak untuk pergi lebih jauh, tidak sepertimana Ahli Parlimen Kulim Bandar-Bharu, Zulkifli Nordin dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim atau pun bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dr. Mohammad Fairus Khairuddin.
Mereka bertiga bertindak berani keluar PKR kerana sedar muslihat kotor Anwar yang telah mengkhianati perjuangan orang Melayu di negara ini.

Malah ahli-ahli akar umbi PKR juga mula meninggalkan parti itu dan ada yang menyertai PAS mahupun UMNO. Maknanya, mereka lebih bermaruah dan berani bertindak.

Dengan bahasa mudah, Zaid sebenarnya masih ada sifat pengecut dalam politik. Beliau tidak seberani Zulkifli, Zahrain, Fairuz atau pun ahli-ahli akar umbi PKR yang lain.

Dalam posting saya semalam, secara mudahnya saya buat perbandingan, iaitu jika PKR itu seumpama tong yang dipenuhi najis dan Zaid pula sedar najis itu busuk dan meloyakan, sepatutnya beliau cepat-cepat keluar daripada tong tersebut.

Tetapi agak peliknya pula, Zaid yang sedar najis itu busuk tetapi masih tetap juga membiarkan dirinya terus berada di dalam tong tersebut. Ini menyebabkan orang ramai pun akan berkata: "Zaid pun busuk juga".

Oleh sebab itu, saya tidak tergaman apabila secara tiba-tiba Zaid buat pengumuman yang agak meriuhkan dunia politik tempatan, tetapi riauhnya tidaklah sehebat mana.

Bagi saya mudah saja, jika zaid tidak suka kepada Anwar dan tahu serta sedar kepimpinan PKR sekarang ini busuk belaka, maka sepatutnya beliau keluar parti, tak perlu bermain dengan kata-kata.

Hakikatnya yang saya nampak, walaupun Zaid masih tetap berada di dalam PKR, sebenarnya dia tidak mempunyai kekuatan atau pengaruh untuk menyuruh Anwar berundur.

Sedangkan bekas rakan karib Anwar, Datuk S. Nallakarupan pun tidak mampu berbuat demikian, apatah lagi Zaid, sekadar boleh membuat desakan.Itu saja.

Saya sedikitpun tidak teruja dengan cerita kecil Zaid dengan Anwar. Saya melihat 'drama' itu seperti sengajakan dimainkan untuk mengalih perhatian rakyat terhadap kes pertuduhan Anwar meliwat Mohd. Saiful dan kekalahan pembangkang di DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi.

Kes Anwar yang dituduh meliwat Mohd. Saiful adalah isu besar yang boleh menjahanamkan masa depan politik beliau. Jika sabit kesalahan, Anwar akan dihumban ke panjara.

Oleh sebab itu, Anwar dikatakan terpaksa berusaha mencari pelbagai helah untuk menangguhkan perbicaraan kes tersebut.

Kumpulan pemikir dan strategik PKR sudah tentu akan 'meletupkan' pelbagai cerita sensasi supaya rakyat terutama orang Melayu akan melupai kes Anwar yang dituduh meliwat.

Mereka bukan sahaja beroperasi di dalam negeri, malah jauh daripada itu mereka juga menggunakan media Barat disamping menagih campurtangan kuasa asing supaya kes tersebut digugurkan.

Ini terbuka apabila Setiauasaha Amerika Syarikat, Hillary Clinton yang berada di Malaysia minggu lalu secara terbuka turut menyentuh isu liwat Anwar.

Justeru itu, saya langsung tidak melihat isu Zaid-Anwar ini sebagai cerita panas yang boleh menyebabkan Anwar berundur.

Bagaimanapun, perkembangan ini juga setidak-tidaknya mampu untuk meyakinkan rakyat bahawa begitulah sebenarnya permainan politik pemimpin PKR terutama Anwar.

Anwar sepertimana diketahui umum masih menyimpan angan-angan Mat Jenin untuk bergelar Perdana Menteri Malaysia.

Untuk menjayakan impian tersebut, maka Anwar akan melakukan apa sahaja ikthiar dan muslihat supaya beliau dan PKR dilihat hebat, malah sanggup menggadaikan maruah dan masa depan umat Melayu.

Oleh sebab itu, besar kemungkinan cerita yang diletupkan oleh Zaid ini juga sebahagian daripada skrip politik yang diolah oleh Anwar untuk mengelirukan orang ramai dengan menjadikan Zaid sebagai pelakon utamanya.

Tiada ulasan:

Pengikut