Isnin, 18 Oktober 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Pemimpin UMNO perlu sahut seruan Najib – Syed Ali

Posted: 17 Oct 2010 08:19 PM PDT

UMNO tetap menjiwai perjuangan rakyat jika kesemua pemimpinnya turun padang dan memberikan tumpuan dikawasan yang dikuasai parti pembangkang, kata Setiausaha Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Ini katanya, kerana rakyat terutama di kawasan akar umbi tidak ada pilihan lain selain memberikan sokongan padu kepada UMNO yang sudah terbukti membela nasib mereka.

Beliau berkata, rakyat sentiasa menaruh keyakinan kepada UMNO dan Barsian Nasional (BN) kerana menyedari peranan parti pembangkang jauh tersasar daripada matlamat sebenarnya.

"Bagaimanapun, terbentuk sedikit ruang di sesetengah kawasan di mana rakyat kecewa dan mempersoalkan sejauhmana komitmen pemimpin UMNO dan BN terutama di kawasan dikuasai pembangkang," tegasnya.

Beliau menambah, berlaku di mana sesetengah pemimpin UMNO dan BN hanya turun padang dan menunjukkan muka apabila menjelangnya musim pilihan raya.

Syed Ali tidak menafikan di sesetengah kawasan dikuasai parti pembangkang pemimpin UMNO dan BN dilihat seperti tidak ambil kisah dan sekaligus membiarkan rakyat hilang tempat bergantung.

Oleh sebab itu katanya, ingatan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak supaya pemimpin UMNO di semua peringkat mengadakan lebih banyak program berbentuk mendampingi rakyat di kawasan pembangkang perlu diberikan perhatian segera.

Menurutnya, ingatan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO itu sesuatu yang serius bagi memastikan UMNO terus relevan dan BN disenangi rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Berucap merasmikan Karnival Skuad 1Malaysia di Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang semalam, Najib mengingatkan keutamaan perlu diberikan kepada usaha tersebut kerana sasaran UMNO adalah untuk mengembalikan sokongan rakyat terhadap BN.

Perdana Menteri berkata, memang tidak dinafikan langkah itu akan menyebabkan pemimpin dan ahli UMNO terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran tetapi ia tidak harus mematahkan semangat mereka demi masa depan parti.

Mengulas lanjut ingatan Najib itu, Syed Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Cheras berkata, banyak aktiviti dan pendekatan yang boleh dilakukan di kawasan yang dikuasai pembangkang.

"Sebagai contohnya di kawasan Parlimen Cheras, walaupun dikuasai DAP, tetapi UMNO bahagian berjaya menggerakkan pelbagai aktiviti dan pendekatan bersepadu sehingga turut disenangi oleh bukan Melayu," katanya.

Katanya, UMNO tidak ada masalah untuk mendampingi rakyat di kawasan parlimen tersebut kerana mereka menyedari peranan dan menikmati sumbangan yang telah dmainkan oleh parti selama ini.

Beliau berkata, walaupun UMNO boleh dikatakan tidak berpeluang untuk memenangi kerusi Parlimen Cheras dikuasai DAP kerana majorirti pengundinya kaum Cina, tetapi UMNO tidak pernah mengambil sikap 'lepas tangan'.

"Ia adalah amanah dan tanggungjawab yang harus kita laksanakan kerana matlamat asal perjuangan UMNO adalah untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat," tegasnya.

"Di peringkat bahagian, walaupun UMNO menjuruskan usahanya memperjuangkan kepentingan orang Melayu, tetapi masyarakat bukan Melayu seperti Cina dan India tetap diberikan perhatian," katanya.

Sehubungan itu katanya, semua pemimpin UMNO perlu menyahut seruan Perdana Menteri bagi memastikan UMNO dan BN sentiasa dilihat berperanan membela dan memperjuangkan nasib serta masa depan rakyat di negara ini.

Tiada ulasan:

Pengikut