Ahad, 24 Oktober 2010

Pentas UMNO Kg.Serdang, Sitiawan. Perak

Pentas UMNO Kg.Serdang, Sitiawan. Perak


UMNO, Najib dan mesej!

Posted: 24 Oct 2010 09:04 AM PDT

Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir semalam meninggalkan kesan yang bukan kecil kepada parti itu bahkan kepada masyarakat Melayu.

Awang bersyukur kerana perhimpunan tersebut memperlihatkan UMNO semakin kukuh. Rata-rata perwakilan pulang dengan semangat dan keyakinan baru. Sama ada disedari atau tidak, perpaduan dan penyatuan UMNO kian kental.

Itulah mesej utama daripada perhimpunan kali ini biarpun ketika banyak pihak terutama pembangkang terus mengasak UMNO.

Awang ingin mengucapkan tahniah kepada Presiden UMNO, Mohd. Najib Tun Razak, timbalannya, Muhyiddin Yassin dan para pemimpin serta seluruh perwakilan kerana dapat menjana keyakinan masyarakat Melayu terhadap parti tersebut.

Segala keresahan bahawa UMNO sudah lesu agenda Melayu dan bumiputera kerana terlalu berhati-hati dalam landskap politik terkini, terjawab. Ia sama sekali menyangkal persepsi bahawa kepimpinan UMNO tidak lagi ke hadapan untuk membela kepentingan kaumnya.

Dalam perhimpunan tersebut, seruan agar UMNO terus memperjuangkan untung nasib bangsa, masih kuat bergema dan dominan. Ramai pembahas tidak teragak-agak menyentuh hal tersebut meskipun beberapa kerat pemimpin UMNO mula terikut rentak pembangkang - takut dilabel rasis kononnya.

Yang menjadi kemuncak ialah amanat Presiden. Ramai yang melihat ucapan beliau pada perhimpunan kali ini, terbaik. Beliau dengan lantang dan hujah konkrit, membuktikan komitmen sebagai peneraju UMNO untuk terus membela kepentingan bumiputera.

Jika ada yang menjangka Najib akan mengambil jalan tengah, mereka tersilap. Sebaliknya, beliau telah memberi ledakan untuk membuka mata semua pihak bahawa anak mantan Perdana Menteri Kedua, Tun Razak Hussein itu jangan diambil mudah.

Naik mendadak semangat Awang. Ucapannya yang menyentuh Perlembagaan, mengejutkan banyak pihak. Beliau memberi peringatan tegas agar semua kaum tidak mempersoalkan hak dan kedudukan orang Melayu. Kedudukan istimewa itu sudah terkunci kemas dan tidak boleh diubah. Mana-mana pihak yang mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen tidak mampu mengubah hak Melayu tanpa kebenaran Majlis Raja- Raja Melayu. Begitu juga kedudukan bukan Melayu termasuk status kerakyatan, sudah terpelihara.

Langkah Najib membangkitkan isu itu adalah suatu keberanian. Nada tegas dan lantang menekankan perkara itu dalam ucapannya turut mencerminkan beliau serius. Ia memberikan mesej yang jelas kepada Melayu supaya jangan terlalu bimbang.

Kepada kaum lain pula, berhentilah mempersoal kontrak sosial.

Awang berharap peringatan Presiden UMNO berhubung Perlembagaan itu setidak-tidaknya meredakan polemik mengenainya. Malah ia tamparan hebat kepada gerakan yang diatur oleh pembangkang dan pihak tertentu untuk menulis semula Perlembagaan.

Seperti biasa, pembangkang bingkas bertindak mengelirukan pemikiran ramai kononnya Najib telah memberikan isyarat yang salah. Hujah yang digunakan ialah jika kedudukan Melayu sudah terjamin maka tiada salahnya orang Melayu menyokong pembangkang dan UMNO tidak lagi relevan.

Pada Awang, jawapannya mudah. Melayu mesti terus menyokong BN terutama UMNO yang berpaksikan Perlembagaan negara kerana kedudukan Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu akan lebih terjamin. Setakat ini, UMNO sahaja yang terbukti paling komited untuk mempertahan dan menterjemahkannya dalam semua keadaan.

Sedangkan pembangkang terutama DAP dan PKR telah melakukan pelbagai usaha untuk menafikan kepentingan ketiga-tiga tunjang itu dalam Perlembagaan. Untuk apa menyokong parti politik yang matlamat akhirnya diketahui untuk menjadikan Malaysia sebuah negara republik suatu hari nanti.

Awang tidak terkejut dengan apa sahaja putar belit yang dimainkan oleh pembangkang. Itu memang budaya mereka. (Seperti kata wakil Kelantan, Md. Alwi Che Ahmad, usaha pembangkang untuk menumbangkan BN yang diterajui oleh UMNO umpama sejarah Perang Ahzab apabila Nabi Muhammad SAW diperangi satu pakatan besar-besaran dan dahsyat, yang diketuai musyrikin Quraisy.)

Lebih-lebih lagi pembangkang takut UMNO akan memperhebatkan agenda Melayu. Selagi UMNO kental dalam perjuangan untuk orang Melayu, selagi itulah ia sukar digugat kerana akan terus menjadi sandaran utama.

Awang lega sesungguhnya para pemimpin utama UMNO dalam perhimpunan kali ini responsif kepada suara orang Melayu dan ahli UMNO di akar umbi. Agenda Melayu tetap subur biarpun parti itu perlu lebih bijak mengurus aspirasi kaum lain dalam landskap politik lebih mencabar. Ucapan Muhyiddin pada perasmian persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri juga cukup baik dan sendat dengan mesej. (Cuma anehnya, buat pertama kali, ucapan Timbalan Presiden tidak mendapat liputan siaran langsung daripada RTM)

Sebarang kelesuan UMNO dalam pembelaan Melayu akan dihukum oleh orang Melayu. UMNO tidak boleh terperangkap dengan muslihat politik parti pembangkang dan komponen lain dalam BN menerusi konsep sama rata dan keadilan tafsiran politik mereka. Mengapakah UMNO tidak boleh mempertahankan kepentingan Melayu sedangkan parti-parti lain makin agresif melonjakkan perjuangan kaum masing-masing. Untuk kaum Cina sahaja, setidak-tidaknya ada tiga parti utama yang sedang berlumba-lumba iaitu DAP, MCA dan Gerakan.

Maka UMNO mesti menjadi pergerakan politik yang menyakinkan dalam apa keadaan sekalipun. Keyakinan itu semakin dirasakan di bawah kepimpinan Najib. Dalam ucapan penggulungannya semalam, nada Najib lebih pedas dan tajam yang menyerlahkan lagi karisma beliau. Namun Najib perlukan masa dan sudah tentu juga lebih pengertian, untuk memberi impak lebih besar. Janganlah hanya membaca yang tersurat daripada segala tutur kata dan gerak tindaknya. Banyak juga yang tersirat perlu diamati. Awang sentiasa yakin Najib ada cara untuk memperkasa UMNO sambil melakar keharmonian untuk semua kaum. Sejak dulu lagi, UMNO atas sifat kemurahan hati Melayu menjadi penaung yang baik dan selamat buat bukan Melayu. Malah kaum Cina terus menguasai ekonomi negara di bawah kepimpinan UMNO.

Apa pun, percayalah UMNO mempunyai keupayaan untuk terus berkuasa asalkan orang Melayu bersatu dan UMNO terus kuat. Inilah tuntutan sebenar UMNO apatah lagi pada era kritikal ini. Seperti kata Dato' Onn Jaafar pada Kongres Melayu pertama, 4 Mac, 1946. ''Bersatulah sebagaimana belum pernah kita bersatu dahulu dan berusahalah sebagaimana belum pernah kita berusaha'.' Perhimpunan Agung UMNO 2010 sudah memberikan petunjuk dan semboyannya termasuk mempertahankan kerajaan pusat. Ayuh, apa lagi ...

Awang Selamat

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:

Pengikut