Selasa, 21 September 2010

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri


BERSYUKURLAH DI AIDILFITRI

Posted: 20 Sep 2010 11:33 PM PDT

Assalamualaikum…

Alhamdulillah saya dapat menulis lagi. Maklumlah, sejak Ramadan lalu, agak sibuk dengan jadual harian yang bertambah. Maksud saya, banyak jemputan berbuka puasa dan apabila hari raya, banyak pula jemputan rumah terbuka.

Apa pun, saya tidak pernah meninggalkan perhatian saya terhadap anda semua. Saya bersyukur sebenarnya melihatkan kehidupan masyarakat kita menyambut Aidilfitri setiap tahun. Sebenarnya tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa orang kita sentiasa mewah apabila menyambut Aidilfitri.

Ini bermaksud, walaupun dalam keadaan ekonomi negara yang dikatakan masih kurang selesa (walaupun bertambah baik), kita masih mampu meraikan hari lebaran dengan penuh meriah dan bermakna.

Jika kita sedar, apa yang sedang kita kecapi dan lalui di Negara bertuah ini sebenarnya amat jauh berbeza dengan kebanyakan rakyat di Negara-negara lain terutamanya yang menjadi jiran kita. Bukan mahu memperlekehkan sesiapa, kita sebenarnya sangat bertuah.

Apa yang kita lalui dan miliki ini tidak datang bergolek. Ia adalah hasil perjuangan berpuluh tahun lamanya sehinggalah kita kecapinya sekarang. Ia tidak terhasil dari pentas ceramah. Tidak juga dengan bermodalkan air liur. Ini adalah pengorbanan dan perjuangan pemimpin terdahulu hingga sekarang.

Sebagai wakil rakyat kerajaan, saya dengan rasa bangga ingin menyatakan bahawa apa yang sedang kita kecapi hari ini adalah hasil perjuangan UMNO dan ahli komponannya. Ini hakikat yang tidak boleh diubah lagi. Ia sesuatu yang sebenar-benarnya telah berlaku.

Justeru, jika ada yang mendakwa selain daripada itu, maka ia adalah karut. Pasti!.

Saya juga gembira dengan budaya orang kita yang gemar mengadakan rumah terbuka, budaya kunjung mengunjung amat terpuji. Ia semakin meriah saban tahun sehingga Aidilfitri menjadi lebih penting dan bermakna.

Saya berharap dan berdoa agar semua ini akan terus berkekalan dan rakyat pula lebih memahami untuk bersyukur selain berterima kasih kepada kerajaan yang telah banyak berjasa kepada mereka selama ini.

Tiada ulasan:

Pengikut