Rabu, 1 September 2010

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri


BIADABNYA DEMO ANTI MALAYSIA DI INDONESIA

Posted: 01 Sep 2010 09:08 AM PDT

Assalamualaikum.

Saya telah mengambil masa agak lama sebelum ingin memberikan ulasan terhadap insiden membakar Jalur Gemilang dan melempar najis manusia di kedutaan Malaysia di Jakarta dalam tempoh terdekat yang lalu. Naik meluat saya dengan kisah-kisah biadab dan kurang ajar segelintir masyarakat di sana terhadap nama baik Malaysia.

Ya, memang benar dan saya amat setuju dengan andaian bahawa perkara itu hanya dilakukan oleh segelintir rakyat Indonesia yang kononnya telah diupah atau sebaliknya. Namun, apakah kerajaan Indonesia hanya membiarkan hal tersebut berlaku begitu sahaja tanpa apa-apa tindakan.

Sesiapa pun yang bernama anak Malaysia pasti marah dan sakit hati apabila melihat Jalur Gemilang dipijak, dikoyakkan dan dilemparkan dengan najis. Jelas saya melihat, kejadian yang dianggap dilakukan oleh masyarakat minoriti itu tidak diambil tindakan.

Polis Indonesia hanya memandang dan memerhati sahaja demonstrasi biadab yang dilakukan rakyat Indonesia itu. Kalaulah di Malaysia, tindakan tegas pasti diambil atas pelbagai sebab:

Pertama, atas nama untuk menjaga hubungan baik kedua-dua negara, maka sebarang tindakan yang boleh menyentuh perasaan atau maruah negara terbabit haruslah dijaga dengan baik. Dan, sebarang tindakan yang boleh merosakkan hubungan dua hala itu mesti dihalang.

Saya bangga dengan Polis Malaysia yang bertindak tegas terhadap cubaan dua lelaki yang mahu membakar bendera Indonesia di Kuala Lumpur beberapa hari lalu. Tindakan tersebut bagi memastikan perkara seperti itu tidak terus merebak.

Kedua: pihak polis Indonesia mesti memerangi petunjuk perasaan dan bukan membiarkan sahaja sehingga mereka lebih berani.

Ketiga: pihak Indonesia harus lebih peka dengan sensetiviti masyarakat Malaysia dan menyedari sumbangan Malaysia terhadap Indonesia.

Walaupun orang berkata bahawa kita turut bodoh jika mengikut jejak rakyat Indonesia itu, namun seperti kata Perdana Menteri kita, tahap kesabaran ada batasnya.

Ini bukan kali pertama tindakan biadab rakyat Indonesia terhadap negara kita. Saya masih ingat apabila rakyat mereka juga merusuh di sebuah kem tahanan suatu masa dulu dan membakar trak polis. Mereka dengan biadabnya mengibarkan bendera Indonesia seolah-olah ini negara mereka.

Memang, kita sentiasa mengalah kerana ingin menjaga hubungan dan hati Indonesia. Namun, jika ini terus berlaku, saya tidak tahulah apakah kesudahan kepada kisah ini.

Selagi boleh bersabar, bersabarlah … saya berharap pemimpin kedua-dua negara dapat mengambil satu pendekatan yang terbaik dalam menyelesaikan masalah yang berlaku ini.

Kepada rakyat Indonesia, bersyukurlah dengan apa yang orang Malaysia berikan kepada anda – keamanan, keselamatan, bantuan kemanusiaan dan lain-lain.

Mudah-mudahan, kesabaran ini mampu terus bertahan.

NILAI KEMERDEKAAN

Posted: 01 Sep 2010 08:39 AM PDT

Gambar Hiasan
Assalamualaikum.

Alhamdulillah, kita telah memasuki 53 tahun usia kemerdekaan Negara. Dalam tempoh itu, kita semua telah melalui pelbagai kisah pahit getir sehingga kita berjaya melahirkan sebuah negara Malaysia sebagaimana yang telah dan sedang kita lihat ini.

Sesungguhnya, semua itu tidak datang bergolek. Kemerdekaan negara juga begitu. Ia tidak berlaku dalam satu perjuangan yang bermodalkan air liur semata-mata.

Hari ini, saya ingin mengajak anda semua berfikir mengenai cara orang kita mengenang dan mengisi kemerdekaan. Secara jujurnya, memang ya kita sudah jauh lebih maju dan moden. Maka kata orang, cara hidup juga pasti berubah. Maklumlah, ikut trend perubahan zaman.

Saya tidak tahu, apakah anda sependapat dengan saya bahawa semangat menghargai dan mengenangkan nilai kemerdekaan negara di kalangan orang kita sebenarnya kian susut. Topik ini bukan lagi sesuatu yang menarik untuk dibual dan diperkatakan.

Malah tidak keterlaluan, bagi generasi selepas merdeka, kemerdekaan bagaikan tidak wujud dalam kamus hidup mereka. Ini adalah sebahagian daripada perkembangan yang saya anggap amat membimbangkan. Keadaan itu jika tidak diperbetulkan, ia bakal membawa impak jangka panjang terhadap masa depan negara kita sendiri.

Kebetulan tahun ini, kita meraikan ulang tahun kemerdekaan dalam bulan Ramadan, maka cabarannya menjadi lebih getir. Kempen kibarkan Jalur Gemilang tidak semeriah sebelum ini. Walaupun memang ada, namun kehambarannya tetap dirasakan. Hal itu bukanlah sesuatu yang menjadi rahsia lagi. Ia berlaku di persekitaran kita semua. Itu sangat jelas untuk kita lihat.

Bagi saya, apabila seseorang rakyat di sebuah negaranya yang merdeka tidak lagi tersentuh atau merasai penting dan nikmatnya kemerdekaan, maka ia adalah petanda yang kurang baik untuk masa depan negaranya. Saya agak terkilan dengan keadaan itu, namun ia adalah sesuatu yang sudah terlalu sukar diubah.

Saya lihat, segala-galanya telah ditenggelamkan dengan isu politik yang tidak berkesudahan. Orang kita terlalu berpolitik tanpa mengira masa dan peristiwa. Segala-galanya adalah politik dan sentiasa dipolitikkan. Itulah masalah. Oleh kerana itu, tidak hairanlah jika acara sambutan meraikan ulang tahun kemerdekaan telah tenggelam dengan isu-isu politik.

Lebih dahsyat lagi, apabila kemerdekaan juga mahu dipolitikkan. Seharusnya kita berubah. Ini soal negara dan ia sewajarnya bersifat tanggungjawab kita bersama untuk mempertahankannya.
Kepada rakyat, nasihat saya ialah agar kalian semua tidak begitu mudah terjebak dengan dakyah yang disebarkan pihak tertentu, kita harus bijak dan matang dalam melihat nilai kemerdekaan ini.

Kepada generasi muda, luangkan sedikit waktu dan berfikir mengenai sejarah negara. Baca dan hayati sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan negara lebih 53 tahun yang lalu. Anda adalah pewaris masa depan negara, sekaligus sebagai generasi yang diberikan amanah untuk mempertahankan kemerdekaan negara bertuah ini.

Kita semua harus berubah, berubah menjadi rakyat yang semakin kuat menyanyangi dan menyintai kemerdekaan negara. Apabila itu ada di dalam diri kita semua, apa sahaja cabaran yang datang, ia tidak begitu mudah boleh menggugat kita semua.

Dengan tema 1Malaysia Penjana Transformasi, saya menyeru kepada anda semua dan diri saya sendiri agar terus berusaha untuk menjadi rakyat yang setia kepada negara dan sentiasa menghargai nikmat kemerdekaan negara.

Percayalah bahawa dengan kemerdekaan itulah, kita dapat mengecapi segala-galanya hari ini.
Merdeka! … Merdeka! … Merdeka!

Tiada ulasan:

Pengikut