Rabu, 1 September 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Persoal Perkara 153 ;Nurul Izzah ‘cemuh’ bangsa sendiri kerana agenda politik – Syed Ali

Posted: 31 Aug 2010 11:47 PM PDT

"HANYA pembelot kepada bangsanya sendiri sahaja yang sanggup mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu," tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Sebaliknya jelas beliau, manusia yang waras tetap akan mempertahankan kedudukan bangsa dan tanahair daripada dikhianati serta tidak bertolak ansur atas kepentingan politik.

"Inilah dapat digambarkan betapa rendahnya moral Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang tergamak mempersoalkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak keistimewaan orang Melayu," tegasnya lagi.

Beliau menjelaskan, tanggapan itu juga sebahagian daripada politik liberal yang dipelopori Penasihat Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, politik liberal dicanang oleh Anwar bagi mengemis sokongan daripada bukan Melayu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Oleh sebab itu katanya, sebagai seorang pemimpin politik muda yang terpelajar Nurul tidak sepatutnya membuat kenyataan yang 'mencemuh' bangsanya sendiri.

Malah katanya lagi, perbuatan tersebut seperti membuka ruang kepada bukan Melayu untuk terus mempersoal dan mendesak supaya hak keistimewaan Melayu dihapuskan.

"Perlakuan Nurul itu mengingatkan kita kepada watak Si-Kitol yang sanggup jadi pembelot kerana sedikit upah yang akhirnya membawa kepada keruntuhan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka," tegasnya lagi.

Katanya lagi, apakah perasaan Nurul yang dilahirkan sebagai orang Melayu tetapi tergamak menggadaikan maruah bangsanya sendiri.

Menurutnya, pendirian terbaru Nurul itu amat mengecewakan seluruh umat Melayu kerana memperjudikan kepentingan bangas sendiri hanya didorong kepentingan politik.

Beliau mengulas kenyataan Nurul dalam portal berita pro-pembangkang, Malaysiajn Insider yang mendakwa Perkara 153 hanya menyebut 'kedudukan istimewa' dan bukannya 'hak keistimewaan orang Melayu' seperti yang digembar-gemburkan.

Nurul juga dilaporkan sebagai mendakwa agenda Melayu yang terkandung dalam pengagihan ekonomi Perkara 153 hanyalah bersifat sementara dan bukan hak kekal orang Melayu.

"Walaupun Nurul cuba bermain dengan perbezaan istilah terhadap kandungan Perkara 153, tetapi matlamatnya mempersoalkan hak keistimewaan Melayu dan ini dilihat berbau hasutan," tegas Syed Ali lagi.

Sehubunagn itu, beliau mengingatkan Nurul supaya jangan cuba menanam satu pandangan baru di kalangan pengundi supaya menolak ketuanan Melayu kerana perbuatan tersebut merupakan pengkhianatan kepada negara.

"Kita perlu berhati-hati kerana agenda PKR membawa fahaman liberal untuk kekal berkuasa tetapi secara halusnya menghancurkan penyatuan orang Melayu dan umat Islam di negara ini," jelasnya.

Beliau berkata, orang Melayu juga berhak melahirkan rasa bimbang mereka dengan agenda PKR yang secara terang berhasrat untuk menghapuskan kepentingan Melayu.

Tiada ulasan:

Pengikut