Selasa, 21 September 2010

UMNO Cawangan Bukit Ampang

UMNO Cawangan Bukit Ampang


PM umum program pembangunan Selangor dalam Bajet 2011

Posted: 20 Sep 2010 03:00 PM PDT

SHAH ALAM 20 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau akan mengumumkan pelbagai program pembangunan untuk faedah rakyat negeri Selangor dalam pembentangan belanjawan bulan depan.

Menurut Perdana Menteri, semua program tersebut dirangka sebagai memenuhi keperluan masyarakat di negeri ini dan juga seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau mahu rakyat melihat sendiri kemampuan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti serta kerajaan yang boleh diharap bagi memenuhi tuntutan pelbagai lapisan rakyat.

"Di Selangor, kita boleh bergantung kepada UMNO dan BN bagi merancang masa depan, untuk memenuhi harapan dan cita-cita kita semua.

"Ini kerana kerajaan BN lebih bersedia untuk memenuhi tuntutan- tuntutan tersebut (berbanding kerajaan pakatan pembangkang)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perdana Menteri Berhari Raya Bersama Rakyat anjuran Perhubungan UMNO Selangor di Seksyen 20 di sini hari ini.

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar bersama isteri, Prof. Datin Seri Dr. Aishah Mohd. Salleh dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Majlis yang turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Mohd. Zawawi Md. Zin serta kehadiran lebih 10,000 penduduk pelbagai keturunan.

Najib juga mengingatkan setiap ahli UMNO untuk mengukuhkan perpaduan dalam erti kata sebenar dengan semangat jitu dan tulen.

Jelas beliau, perpaduan itu perlu selari dengan semangat rumah terbuka yang dianjurkan masa kini untuk mengembalikan kepercayaan rakyat.

"Kita perlu memperlihatkan UMNO sebagai parti yang progresif dan dinamik bagi memperoleh semula kepercayaan orang ramai kepada parti ini.

"Saya dan para pemimpin UMNO akan turun padang melawat kawasan di Selangor tidak lama lagi bagi mendekati orang ramai," ujarnya.

Tegas beliau, walaupun parti-parti pembangkang sering melemparkan kritikan tetapi hakikatnya UMNO dan BN mampu membawa perubahan yang lebih besar kepada negara.

Najib yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, pembangkang sebenarnya tidak kuat tetapi UMNO yang lemah kerana kecuaian sendiri dan ia perlu dipulihkan segera.

"Jadikan perubahan itu sebagai komitmen kita kepada parti seperti yang diharapkan oleh rakyat," katanya.

-utusan.

Tiada ulasan:

Pengikut