Isnin, 20 September 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


‘Nik Aziz sanggup gadai harga diri kerana politik’

Posted: 20 Sep 2010 01:09 AM PDT

TIDAK ada sesiapa pun yang berasa kerugian apabila Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata bahawa beliau tidak bangga menjadi bangsa Melayu, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

"Orang Melayu tak berasa terkilan dengan kenyataan itu, sebaliknya mereka kasihan kepada Nik Aziz yang sanggup menjadi kuda politik DAP," katanya.

Malah jelas beliau, kenyataan Mursyidul Am PAS itu mencerminkan sikap sebenar seorang pemimpin agama yang tergamak menggadaikan prinsip kemalayuan kerana agenda politik.

"Untuk dilihat setia dengan DAP, Nik Aziz sanggup lakukan apa sahaja termasuk menggadaikan harga diri dan maruah bangsanya sendiri," tegasnya.

Bagaiamanapun katanya, DAP hanya bermain sandiwara dengan PAS kerana parti perkauman itu mempunyai agenda jangka panjang yang lebih besar.

Katanya, pemimpin politik tidak sepatutnya menggadaikan maruah bangsanya hanya semata-mata untuk kekal berkuasa dengan sokongan parti yang mengamalkan dasar perkauman.

Beliau hairan bagaimana Nik Aziz sanggup mengeluarkan kenyataan tersebut sedangkan jawatan Menteri Besar yang disandangnya sekarang adalah hasil sokongan pengundi Melayu di Kelantan.

"Ini bermakna Nik Aziz seperti tidak tahu bersyukur dengan nikmat yang beliau dilahirkan sebagai bangsa Melayu," tegasnya.

Sehubungan itu kata beliau, orang Melayu dan umat Islam tidak perlu berasa terkejut jika selepas ini Nik Aziz akan mengeluarkan kenyataan yang semakin 'pelik' dan mengelirukan.

"Sebelum ini pun banyak kenyataan-kenyataan pelik Nik Aziz dilihat menyesatkan pemikiran orang Melayu," ujarnya.

Tetapi kata beliau, apa sahaja yang keluar daripada mulut Nik Aziz akan disokong oleh pengikut PAS yang taksub kepadanya.

Menurutnya, perbuatan seperti itu sebenarnya menggambarkan keangkuhan dan sikap takbur Nik Aziz yang sudah berada di kemuncaknya.

Nik Aziz dalam satu majlis dialog bersama wartawan di Kota Bharu baru-baru ini dilaporkan berkata beliau tidak bangga berbangsa Melayu kerana bangsa itu datang secara automatik dan dalam Islam tiada bangsa yang lebih dan jika ada pun, ia adalah bangsa Arab.

Hentikan segera pertikaian hubungan Perkasa,UMNO - Syed Ali

Posted: 19 Sep 2010 11:10 PM PDT

KETUA UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee mahu pertikaian berhubung isu kerjasama UMNO dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) dan pembabitan Tun Dr. Mahathir Mohamad dihentikan segera.

Beliau khuatir isu berkenaan sengaja digembar-gemburkan menerusi akhbar oleh pihak tertentu bertujuan menggambarkan perpecahan di kalangan orang Melayu di negara ini berada pada tahap paling kritikal.

"Realitinya orang Melayu masih bersatu atas semangat persaudaraan Islam, cuma berlaku sedikit pergeseran yang diakibatkan oleh perbezaan anutan politik," tegasnya.

Kerana pergeseran itu jelas beliau, pihak tertentu termasuk yang mewakili parti politik bukan Melayu mengambil kesempatan melaga-lagakan pelbagai pertubuhan yang mewakili kepentingan Melayu.

Katanya, sasaran sebenarnya adalah untuk menghancurkan perpaduan Melayu bagi membolehkan pihak berkepetingan mengaut keuntungan politik untuk berkuasa.

"Inilah agenda puak pelampau dan yang berpegang kepada fahaman politik rasis yang disokong pula seorang-dua pengkhianat Melayu," katanya.

Beliau mahu semua pihak berwaspada dengan strategi jangka panjang pihak tertentu yang berselindung di sebalik parti politik perkauman untuk melenyapkan kepentingan, ketuanan dan hak keistimewaan orang Melayu.

Oleh sebab itu tegas beliau, semua pihak perlu menghentikan segera pertikaian kepentingan Perkasa dan UMNO kerana kedua-duanya dilihat berperanan untuk masa depan orang Melayu.

Syed Ali tidak menafikan Perkasa juga berperanan melindungi kepentingan orang Melayu disamping UMNO pula tetap utuh sebagai parti yang menjuarai masa depan orang Melayu dengan tetap mempertahankan hak mereka seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh sebab itu, selagi sesama pemimpin Melayu bertikam lidah berhubung isu Perkasa dan UMNO sedangkan konflik itu boleh diselesaikan, saya pasti bukan Melayu akan bertepuk tangan melihat telatah tersebut," ujarnya.

"Dalam isu ini, saya beranggapan seperti ada perancangan halus pihak tertentu untuk melaga-lagakan Perkasa dan UMNO yang mewakili kepentingan umat Melayu disamping cubaan mengaitkan nama Dr. Mahathir dalam konflik tersebut," tegasnya.

Beliau yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan turut kesal dengan perlakuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Nazri Aziz yang dilihat masih berdendam kepada Dr. Mahathir.

Beliau berkata, serangan Nazri terhadap akhbar Utusan Malaysia yang didakwa mempunyai agenda untuk membawa balik Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri langsung tidak berasas.

"Saya berasa hairan kenapa Nazri amat membenci Dr. Mahathir dan perlakuan sebegitu tidak sepatutnya dipamerkan kepada khalayak terutama untuk tontonan generasi muda," katanya.

Diminta mengulas kenyataan keras Nazri menerusi surat yang dihantar kepada portal-portal berita hari ini bahawa beliau akan mempertahankan kerajaan daripada dikritik walaupun oleh Dr. Mahathir, Syed Ali berkata;

"Nazri berhak berbuat demikian tetapi cara beliau mengkritik Dr. Mahathir dilihat lebih cenderung kepada penghinaan dan rasa benci yang amat sangat kepada bekas Perdana Menteri itu," tegasnya.

Bagaimanapun beliau kesal kerana Nazri tidak pula lantang mengkritik bukan Melayu yang secara terbuka menghina bekas Perdana Menteri (Dr. Mahathir) dan mempertikaikan kepentingan Melayu.

Beliau juga menyifatkan kecaman Nazri terhadap akhbar Utusan Malaysia sebagai tidak bijak kerana akhbar arus perdana itu sebelum ini telah banyak berjasa kepada kemantapan UMNO dan perjuangan orang Melayu.

Tiada ulasan:

Pengikut